LEBIH lapan tahun Tun Dr. Mahathir Mohamad meninggalkan Putrajaya dan jawatan Perdana Menteri. Namun bayangnya terus menghantui parti pembangkang, terutamanya parti DAP.
Berbagai tohmahan dan tuduhan dilemparkan pada bekas PM itu. Malah sampai Lim Kit Siang mengugut sekiranya Pakatan Rakyat berkuasa mereka akan menyiasat dan membongkar sepanjang tempoh 22 tahun Dr. Mahathir berkuasa.
Yang terbaru Kit Siang dan para pemimpin DAP dari kalangan bangsa melayu menimbulkan isu "Mahathirisme" dalam kepimpinan Umno dan kerajaan.
Semua tuduhan dan tohmahan serta ugutan dari pimpinan DAP itu telah pun dijawab oleh Dr. Mahathir menerusi kenyataan akhbar dan blognya. Jelas semua itu tidak pernah menganggu tidurnya dan beliau bersedia menghadapi apa sahaja kerana tidak ada apa yang ditakutkan dan disembunyikan.
Namun hingga kini DAP lebih fokus menyerang Dr. Mahathir seolah beliau masih lagi menjadi Perdana Menteri. DAP tahu sejauh mana kekuatan dan pengaruh Dr. Mahathir yang mampu memainkan peranan yang boleh mengecewakan hasrat Pakatan Rakyat dalam PRU 13 ini.
Buktinya pada PRU 12 pada 2008 salah satu faktor kejayaan parti pembangkang menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional ialah tindakan Dr. Mahathir yang mengecam dan mengkritik hebat Umno dibawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Semua mengetahui dalam pilihanraya 2008 ramai ahli Umno tidak mengundi calon mereka sendiri akibat tidak puas hati dengan kepimpinan Pak Lah.
Dr. Mahathir sendiri mengakui sikap dan pendiriannya terhadap Pak Lah dan Umno masa itu telah mempengaruhi ahli-ahli parti. Dan bagi Dr. Mahathir alasan beliau melakukannya adalah semata-mata mahu menyelamatkan Umno dari terus menjadi lemah akibat kesan pimpinan Pak Lah yang tidak popular dan lemah di mata ahli-ahli Umno dan orang melayu.
Hingga ada ketika Pengerusi DAP, Karpal Singh tampil membela dan mempertahankan Pak Lah dari serangan dan kritikan Dr. Mahathir. Nampak sangat DAP mahu Pak Lah terus kekal sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu. Kerana DAP tahu jika Pak Lah kekal harapan parti pembangkang menawan Putrajaya adalah lebih cerah.
Tindakan Dr. Mahathir yang disokong Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjaya memberi tekanan pada Pak Lah agar berundur lebih awal dari masa yang dikehendakinya. Bila Datuk Seri Najib Razak mengambil alih teraju Umno dan negara kelihatan jelas segala kerosakkan pada 2008 telah kembali pulih seperti sediakala.
Justeru itu Kit Siang tahu setakat mana peranan dan pengaruh Dr. Mahathir dalam PRU 13 yang semakin hampir. Lantaran itulah beliau dan partinya terus menyerang peribadi negarawan itu kerana mereka takut ketokohan dan pengaruhnya dapat mempengaruhi banyak pengundi-pengundi melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan