Rabu, 11 Julai 2012

Kroni dan nepotisme


PARTI pembangkang sering menuduh Umno mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam urusan parti dan negara. Ini termasuklah segala projek dan tender yang diberikan pada pihak tertentu.

Segala tuduhan dilemparkan pada Umno seolah parti itu raja segala amalan kroni.

Tetapi setelah pihak pembangkang diberi peluang memerintah beberapa buah kerajaan negeri - mereka pun sama mengamalkannya, terutama di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Misalnya di Kelantan tidak lama dulu heboh tentang kedudukan menantu Menteri Besar, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang memegang jawatan dalam sebuah syarikat kerajaan negeri. Sepatutnya Nik Aziz tidak membenarkan menantunya memegang apa-apa jawatan selagi dia sebagai MB bagi mengelak sebarang tuduhan. Tetapi ini berlaku di negeri pimpinan seorang ulama.  Di Selangor dan Pulau Pinang tidak payah ceritalah.

Dalam struktur organisasi parti seperti PKR dan DAP pula sudah jadi macam parti anak beranak. Lim Kit Siang dan anaknya Guan Eng serta menantunya, Betty Chew telah menjadi orang penting dalam parti. Begitu juga dengan Karpal Singh dan dua anak lelakinya.

Manakala dalam PKR pun sama dari Anwar, Wan Azizah dan Nurul Izzah masing-masing memegang jawatan penting parti. Anwar Ibrahim sendiri bertungkus lumus memastikan Azmin Ali menjadi orang nombor dua parti dengan menyingkirkan Zaid Ibrahim yang hampir menumbangkan Azmin dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden PKR. Azmin boleh dianggap dalam keluarga Anwar juga.

Semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Anwar paling banyak mengamalkan kronisme dan nepotisme dengan memberi saham, projek dan tender pada kuncu-kuncunya. Ada setengahnya menjadi jutawan korporat macam 'mee segera'. Dan semua orang tahu siapakah mereka.

Salah satu faktor penting kejayaannya menyingkirkan Tun Ghafar Baba dari jawatan Timbalan Presiden Umno ialah tindakan dan amalan kronismenya dengan pemberian wang dan projek kepada sebahagian besar para Ketua Bahagian Umno bagi memberi sokongan padanya untuk jawatan no.2 parti.

Jadi tidak usahlah parti pembangkang, terutamanya Anwar menuduh Umno sebagai parti kroni dan sebagainya. Cerminlah diri sendiri dulu sebelum mengata orang lain. Jangan lebih sudu dari kuah.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan