Selasa, 13 Disember 2022

Kes Zahid Hamidi Akan Digugurkan?

 Zahid Hamidi  setelah menjadi Timbalan Perdana Menteri kini menghadapi dua misi penting bagi menjamin masa depannya terus kekal sebagai pemimpin politik.

Pertama, mengekalkan kedudukkannya sebagai Presiden Umno sekiranya ada pertandingan merebut jawatan parti. Kedua, beliau mesti menang kes rasuahnya yang sedang berjalan sekarang.

Sekiranya Zahid berjaya mengatasi dua masalah besar ini kedudukkannya sebagai TPM dan masa depan politiknya akan semakin kukuh.

Umno akan mengadakan pemilihan jawatan parti dalam masa enam bulan dari sekarang setelah ditangguh dua kali.


Ahmad Zahid Hamidi


Kini sudah ada gerakkan dari bawah agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak ada pertandingan. Ertinya kedua penyandang jawatan tersebut dikekalkan.

Jika pelan pro Zahid berjalan lancar maka ini adalah satu perkara baru yang tidak pernah berlaku. Kerana sesuatu yang aneh bila parti kalah teruk dalam pilihanraya pemimpinnya terus kekal dan tidak meletakkan jawatan.

Umno dibawah pimpinan Zahid hanya menang 26 kerusi dari 222 kerusi parlimen dalam Pru 15. Ini adalah prestasi dan pencapaian paling buruk dalam sejarah pilihanraya Umno.

Bukan sedikit suara-suara ahli parti menggesa Zahid supaya melepaskan jawatannya.

Namun begitu apa yang berlaku adalah sebaliknya. Zahid telah bertindak dengan tegas menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke 10 dengan membawa Umno menjadi sebahagian dari kerajaan. Dan sebagai imbalannya beliau dilantik TPM.

Jadi prestasi Zahid bukan diukur pada pencapaian Umno dalam Pru 15 tetapi peranannya yang besar yang memungkinkan Umno menjadi kerajaan bukan pembangkang.

Dan pencapaian peribadinya yang terbesar adalah dilantik sebagai TPM walaupun partinya Umno ditolak para pengundi.

Inilah istimewa dan uniknya Zahid Hamidi dalam konteks situasi politik negara selepas Pru 15.

Apalagi dengan jawatan TPM merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, kuku Zahid semakin tajam bagi menguasai Umno dan terus kekal sebagai Presidennya

Anwar Ibrahim telah memainkan peranannya bagi memastikan kedudukan Zahid dalam Umno tidak tergugat. Kerana Umno kini adalah kerabat paling kuat dalam kerajaan selain DAP.

Tetapi bagaimana pula kes mahkamah Zahid Hamidi? Apakah akan ada representasi agar kes itu digugurkan??

Atau Zahid akan berusaha keras agar beliau menang dalam kes tersebut. Justeru membersihkan namanya dan memulihkan kembali imejnya di mata umum. 

Walau apapun yang berlaku sekiranya Mahkamah memutuskan Zahid bersalah diatas pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, Anwar sebagai PM perlu tegas memecatnya sebagai TPM. 

Jelas kini Zahid mampu mengatasi cabaran dan tentangan dalam Umno. 

Tetapi apakah beliau akan berjaya menghadapi kesnya di mahkamah? 

Kita tunggu dan lihat. 


Jumaat, 2 Disember 2022

Kabinet : Anwar Ibrahim Perkuatkan Kedudukkannya

 Anwar Ibrahim sudah pun mengumumkan kabinetnya yang mengambil masa lebih seminggu dari hari dia dilantik sebagai PM ke 10.

Seperti yang diramal umum Zahid Hamidi dilantik Timbalan Perdana Menteri bersama Fadilah Yusof wakil dari GPS.

Bagi saya secara umumnya kabinet Anwar ini lebih baik jika dibandingkan dengan kabinet Muhyiddin dan Ismail Sabri sebelum ini.


Anwar Ibrahim


Namun begitu saya rumuskan kabinet Anwar ini lebih terarah pada memperkuat kedudukannya dalam partinya PKR dan jawatannya sebagai PM dari sabotaj dan ancaman dari musuh-musuh politiknya yang sukar diramal.

Sebagai contoh Anwar sendiri memegang porfolio Kewangan -  suatu perkara yang bercanggah dengan beliau ucapkan sebelum ini bahawa beliau tidak akan menjawat Menteri Kewangan.

Bahkan banyak pandangan umum tidak bersetuju beliau menguasai kementerian Kewangan. Kerana beliau adalah PM. Ini membuatkan beliau kelihatan terlalu berkuasa.

Apa yang berlaku pada Najib Razak sebagai PM merangkap Menteri Kewangan tidak berulang. Perlu ada pengasingan tugas dan kuasa. Tidaklah kelihatan PM terlampau berkuasa.

Namun keputusan Anwar ini boleh difahami dari konteks politik semasa. Betul Anwar bukan Najib. Portfolio Kewangan penting disudut strategi politiknya baik dalam dan luar parti bagi menjamin kedudukannya tidak diganggu gugat mana-mana pihak. 

Begitu juga langkah Anwar melantik Saifuddin Nasution sebagai Menteri Dalam Negeri. Kementerian ini sungguh "power". Dan Anwar serahkan pada orang yang beliau percaya dan yakin. 

Saifuddin adalah Setiausaha Agung PKR. Beliau tewas pada Rafizi dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR. Saifuddin juga tewas di parlimen Kulim Bandar Baharu dalam Pru 15 baru baru ini. Namun Anwar mengangkat Saifuddin seperti dia mengangkat Zahid Hamidi. Tidak siapa boleh nafi Saifuddin adalah orang paling kanan Anwar bukan Rafizi!! 

Tetapi Rafizi sebagai Timbalan Presiden PKR dilantik Menteri Ekonomi. Ekonomi penting namun Menteri Dalam Negeri sangat berpengaruh. 

Kalau dikira sejarah dahulu Menteri Dalam  Negeri dipegang oleh Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri. Apalagi Saifuddin sekarang bukan ahli parlimen. Dia akan dilantik Senator. 

Saya tidak mahu ramalkan hubungan Anwar dan Rafizi pada masa hadapan. Tetapi yang jelas Anwar lebih selesa dengan Saifuddin. 

Lain-lain lantikkan boleh dikira keseluruhannya kabinet Anwar ditunjangi oleh para pemimpin PKR. Kewangan, Ekonomi, Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi diterajui semua Menteri PKR. Khalas! Anwar sudah kontrol situasi. 

Mulai hari ini selain tugas berat Anwar memulihkan ekonomi dan mengangkat martabat bangsa beliau harus bersedia menghadapi golongan anti Zahid Hamidi dalam Umno dan partinya sendiri PKR. 

Kerana dalam PKR benih itu sudah ada iaitu  antara Anwar/Saifuddin vs blok pro Rafizi Ramli. 

 


Khamis, 1 Disember 2022

Zahid Hamidi Dari Seorang Yang Dicemuh Kini Menjadi Wira

 Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum Pru 15 adalah seorang pemimpin yang dianggap liabiliti pada parti kerana kesnya di mahkamah dan stail kepimpinannya yang memecahbelahkan Umno menjadi beberapa puak.

Sebelum Pru 15 lagi ada suara mahukan dia meletakkan jawatan Presiden Umno. Umumnya menganggap Zahid adalah seorang pemimpin yang lemah. 

Tanggapan dan persepsi umum terhadap Zahid sebelum ini tidak silap malah tepat sekali bila keputusan Pru 15 diketahui. 

Umno dan BN dibawah pimpinannya mengalami kekalahan paling teruk dalam sejarah pilihanraya umum sejak merdeka. 

Tidak pernah berlaku dalam sejarah - Umno hanya menang 26 kerusi parlimen. Campur dengan empat lagi kerusi parti komponen BN berjumlah 30.

Bayangkan selepas sahaja keputusan Pru 15 diketahui desakan dan tekanan begitu memuncak agar Zahid letak jawatan. 

Ketika itu suasana tidak memihak pada Zahid. Umumnya mengira kali ini Zahid tidak ada pilihan melainkan berundur. 

Pada Pru 2018 Najib Razak terpaksa meletakkan jawatan Presiden Umno setelah tewas mengejut pada Pakatan Harapan. Sedangkan ketika itu Umno menang lebih 50 kerusi. Inikan Zahid hanya menang 26 kerusi untuk Umno. Ertinya pencapaian Zahid lebih teruk daripada Najib. Namun Najib letak jawatan. 

Kini Zahid tidak letak jawatan malah kelihatan semakin kembali kuat kedudukannya. Ini sesuatu yang diluar jangkaan para pemerhati politik. 

Ini semua berpunca dari mainan politiknya yang licik sehingga meletakkan Umno sebagai king maker dalam menentukan siapa PM ke 10 diantara Anwar dan Muhyiddin. 

Justeru tindakan cepatnya dengan menarik balik SD 10 wakil rakyat BN dari menyokong Muhyiddin - tercetusnya idea kerajaan perpaduan. 

Muhyiddin menolak idea kerajaan perpaduan. Dan kerana 10 SD wakil BN itu Muhyiddin kecundang disaat akhir. 

Dan yang paling terkesan adalah Umno walaupun hanya menang 26 kerusi dan dikira ditolak oleh rakyat namun berjaya menjadi sebahagian dari kerajaan pusat. Umno tidak jadi pembangkang. 

Anwar Ibrahim sebagai PM ke 10 tidak dapat menafikan peranan dan tindakan Zahid sebagai faktor utama beliau terpilih sebagai PM. 

Sehingga saat ini begitu kuat andaian bahawa Zahid akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri. Anwar tidak punya pilihan yang banyak. 

Kerana Zahid dengan jawatan TPM akan memperkuat kedudukannya sebagai Presiden Umno yang akan menghadapi pemilihan parti enam bulan lagi. 

Tanpa jawatan kabinet Zahid sukar mempertahankan jawatannya. Anwar sudah tentu menghargai peranan Zahid dan ingin terus mendapat sokongan daripada Zahid sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN. 

Sekiranya Zahid gagal pertahankan jawatan Presiden dan diganti dengan calon yang pro Muhyiddin, maka ini akan menyusahkan Anwar kemudian hari. 

Nampaknya Zahid yang sebelum ini ditohmah berbagai gelaran seperti Zahid Komedi, Zahid Ponorogo dan sebagainya namun kini dia kelihatan hebat dan dicemburui musuh-musuh politiknya. 

Apa yang pasti sekarang Zahid Hamidi tidak akan letak jawatan sehingga pada hari pemilihan parti enam bulan lagi. 




Isnin, 28 November 2022

Zahid Hamidi Dilantik Timbalan Perdana Menteri??

 Nampaknya PM ke 10 Anwar Ibrahim, tidak mempunyai banyak pilihan melainkan terpaksa melantik Presiden Umno Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Walaupun Zahid masih berdepan dengan kes mahkamah namun peranan dan tindakan cepatnya telah membantu Anwar dipilih sebagai PM. Dan sekaligus sekali lagi Zahid berjaya menyekat peluang Muhyiddin. Dia juga dahulu yang menjatuhkan Muhyiddin sebagai PM ke 8 dengan menarik balik sokongan. 

Tindakannya disaat- saat akhir baru-baru ini dengan menarik balik SD 10 wakil BN dari menyokong Muhyiddin menyebabkan Agong menyarankan agar  ditubuhkan kerajaan perpaduan kerana antara Anwar dan Muhyiddin tidak ada majoriti.

Sekiranya tanpa tindakan Zahid tentunya Muhyiddin sudah pun terpilih menjadi PM ke 10. Namun dengan penarikkan balik 10 SD itu Muhyiddin tidak cukup majoriti. 

Sudah ramai memberi pandangan agar Anwar tidak mengambil mereka yang menghadapi kes di mahkamah berada dalam kabinet. 

Tetapi Anwar sudah pun memberi bayangan bahawa selagi mahkamah tidak memutuskan seseorang itu bersalah maka hal itu masih boleh dipertimbangkan. Kecuali mahkamah telah menjatuhkan hukuman. 

Dengan ini peluang Zahid menjadi TPM adalah besar. Apa lagi peranannya yang besar membantu Anwar terpilih sebagai PM. 

Anwar tentunya memerlukan sokongan Zahid dan BN secara konsisten pada jangka masa yang lebih panjang. Dan ini memerlukan sesuatu yang boleh memperkuat kedudukan Zahid sebagai Presiden Umno dan Pengerusi BN. 

Umno akan menghadapi pemilihan parti dalam masa enam bulan lagi. Apakah Zahid dapat mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden parti?? 

Sekiranya Zahid gagal dan tokoh lain mengambil alih pimpinan parti: adakah Umno/BN akan terus menyokong Anwar?? Inilah persoalan yang mesti  diambil kira oleh Anwar dalam memilih wakil Umno sebagai TPM. 

Jika Zahid dipilih sebagai TPM sudah tentu ianya dapat memperkuat kedudukan dan pengaruhnya dalam parti. Sekiranya dia tidak ada jawatan dalam kabinet ini menyukarkannya bergerak dan mempengaruhi para perwakilan parti. 

Justeru Zahid sebagai TPM merangkap Presiden Umno tentunya lebih memperteguh kedudukan Anwar sebagai PM. Kerana keputusan Pru 15 lalu jelas BN dengan 30 kerusi telah menjadi "King Maker" dalam menentukan parti mana menguasai Putrajaya. 

Dengan senario begitu saya tidak jangka Mohamad Hasan atau Tok Mat, Timbalan Presiden Umno akan dilantik sebagai TPM. Banyak desas desus mengatakan Tok Mat akan dipilih. 

Namun apa pun boleh berlaku. Lebih-lebih lagi adanya kautim antara Anwar, Zahid dan Tok Mat dalam mencari jalan terbaik bagi mempertahankan kerjasama PKR-BN. 




Ahad, 6 November 2022

Tengku Razaleigh Masih Berimpian Jadi PM

 Tengku Razaleigh Hamzah 85 tahun,  orang lama dalam Umno masih terus bertanding dalam Pru 15 ini dengan mempertahankan kerusinya di Gua Musang. Kerusi parlimen itu ditandinginya hampir lima dekad. 

Pada era 80 an semasa Umno diharamkan, Ku Li terus kekal dan menang di Gua Musang di atas tiket Parti Semangat 46.

Begitu lah kuatnya pengaruh Ku Li di Gua Musang. Dia menang walau pun menentang calon Umno ketika itu. 

Dan pada Pru 15 ini, Ku Li tetap akan menang dengan mudah walau pun terdapat tiga lagi calon lain yang bertanding . Gua Musang dan Ku Li sudah sinonim dan sebati. 

Sebelum ini Ku Li telah menyatakan beliau tidak akan bertanding lagi dalam Pru15. Alasannya dia sudah terlalu lama di Parlimen dan ingin memberi peluang pada orang baru menjadi calon. 

Nampaknya Ku Li telah mengubah fikirannya. Kenapa? Apa alasannya? 


Ku Li


Seperti yang diketahui umum Ku Li mempunyai cita-cita terpendam yang tidak kesampaian sejak 1980 an untuk menjadi Perdana Menteri. Sejak zaman Tun Hussein Onn lagi. 

Namun Dr Mahathir menjadi pilihan Tun Hussein Onn sebagai Timbalan Perdana Menteri. 

Ku Li tewas pada Tun Musa Hitam sebanyak dua kali dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno. 

Ku Li juga tewas pada Dr Mahathir bagi jawatan Presiden Umno. 

Ku Li cuba lagi pada era Abdullah Badawi, tetapi gagal kerana tidak mendapat cukup pencalonan bagi membolehkannya bertanding menentang Badawi. 

Akhir sekali Ku Li tewas pada Zahid Hamidi dalam jawatan Presiden Umno yang ditandingi tiga penjuru - calon ketiga adalah Khairy Jamaluddin. Ku Li mendapat undi paling sedikit daripada tiga calon tersebut. 

Pada ketika kerajaan Muhyiddin tumbang Ku Li mencalonkan dirinya sebagai pengganti. Namun beliau tidak mendapat sokongan dari partinya sendiri - Umno. 

Begitulah Ku Li yang masih menyimpan cita-cita menjadi Perdana Menteri. Tetapi ini sukar berlaku kerana Ku Li tidak mempunyai jawatan tertinggi dalam parti. 

Kecuali berlaku insiden parlimen tergantung dan tidak ada parti yang mempunyai kerusi majoriti di parlimen. Justeru SPB Agong boleh menggunakan budi  bicaranya memilih seorang calon yang disokong majoriti ahli parlimen untuk mengisi jawatan PM. 

Apa pun ini mungkin tidak berlaku kerana setiap parti akan berpakat menyokong calon pilihan parti mereka masing-masing. 

Keputusan Ku Li untuk terus mempertahankan kerusinya tidak lain hanya mengharap tuah akan menyebelahinya bagi memenuhi impiannya yang begitu lama. 

Baginya kalau Dr Mahathir boleh menjadi PM kali kedua dalam usia 90 an - kenapa tidak dia. 

 

Jumaat, 4 November 2022

Dr Mahathir Sudah Sampai Masa Bersara

 Dr Mahathir Mohamad, 97 tahun tidak patut dan tidak perlu bertanding lagi dalam Pru 15 ini.  Negarawan itu telah menyatakan akan mempertahankan kerusinya di Langkawi.

Dari seorang negarawan yang disegani dan dihormati ketika menjadi PM selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 - kini imejnya semakin  tercalar teruk terutamanya kesan dari tempoh 22 bulan beliau menjadi PM kerajaan Pakatan Harapan. 

Banyak kesilapan dan kelemahan terlihat sepanjang tempoh 22 bulan tersebut. Salah satunya projek kereta terbang yang membazir dan tidak masuk akal. Dan banyak lagi tindakan dan keputusannya sebagai PM telah mengecewakan rakyat yang telah memberi mandat pada Pru 14, 2018.

Kesilapan terbesarnya adalah tindakannya meletakkan jawatan sebagai PM secara mengejut dengan tidak berbincang dengan rakan-rakan sekutu dalam PH. Dan ini merupakan satu pengkhianatan pada kerajaan PH yang disertai PKR, Amanah dan DAP. 


Dr Mahathir


Dr Mahathir sepatutnya berbincang dan membantu dalam proses peralihan mencari pengganti.

Namun tindakannya secara mengejut telah membuka ruang pada pihak lawan mengambil kesempatan mengisi ruang yang telah terbuka hasil pengunduran diri beliau sebagai PM. 

Hingga kini tidak ada pemimpin pun yang mahu bekerjasama dengan Dr Mahathir bagi menghadapi Pru 15.

Ini kerana kredibilitinya sebagai pemimpin telah terjejas teruk kesan sikap dan tindakannya dari mula hinggalah masa beliau meletakkan jawatan sebagai PM kali kedua. 

Dr Mahathir kini mengetuai Gerakan Tanah Air seperti seorang pengemis meminta kerjasama dengan Anwar (PKR) dan Muhyiddin (Bersatu) bagi menumbangkan Umno dalam Pru 15. Namun Anwar dan Muhyiddin menolak secara terang tidak akan bekerjasama lagi. Sungguh sedih dan memalukan. 

Begitulah teruknya defisit keyakinan orang pada Dr Mahathir. 

Apakah Dr Mahathir dengan partinya Pejuang dalam GTA akan memberi impak dalam Pru15 nanti? 

Saya lebih cenderung merasakan negarawan itu bersama parti gagasannya akan gagal total. Rakyat tidak akan tertarik untuk memberi sokongan. 

Apatah lagi dalam usia 97 tahun ia adalah suatu khayalan dan tidak berpijak pada realiti semasa. 

Adalah lebih baik dan terhormat Dr Mahathir tidak lagi terlibat dalam Pru15 ini dan berundur secara terhormat. Agar imejnya sebagai negarawan tidak semakin buruk dan tercalar kesan dari penglibatannya dalam kemelut politik semasa. Cukuplah. Berilah peluang pada generasi muda mengisi kekosongan. 





Rabu, 5 Oktober 2022

Selepas Pru 15 : Kerajaan Majoriti Kecil

 Dr Mahathir berjaya menjadi teraju memimpin Pakatan Harapan menumbangkan Umno/BN pada Pru 14, 2018.

Apakah kali ini pada Pru 15, Dr Mahathir dapat mengulangi kejayaan tersebut sekali lagi? 

 Pada 2018 Dr Mahathir berjaya menyatukan semua parti pembangkang bawah satu simbol terdiri dari parti Bersatu, PKR, Amanah dan DAP. Tetapi kali ini ianya tidak akan berlaku. 

Dr Mahathir,partinya Pejuang melalui Gerakan Tanah Air (GTA)  bekerjasama dengan parti Putra, Berjasa dan badan NGO bagi menghadapi pru 15.

Bersatu pula dalam Perikatan Nasional. Masing-masing mempunyai haluan sendiri. 

Satu pihak lagi adalah PKR, DAP dan Amanah. 

Ertinya, pada Pru 14 mereka semua dalam satu pakatan sehingga berjaya menewaskan Umno/BN . Namun kini mereka berpecah.

 Justeru sejarah 2018 tidak akan berulang. Mereka pasti tidak dapat menumbangkan Umno kali ini. 

Pengaruh Dr Mahathir terhadap para pengundi juga merosot kesan dari tindakannya yang meletakkan jawatan PM secara mengejut yang mengakibatkan kerajaan PH tumbang. 

Para pengundi sudah tidak yakin dengan Dr Mahathir setelah beliau tidak berbincang dengan sekutunya dalam PH sebelum meletakkan jawatan. 

Jadi pengaruh Dr Mahathir bagi menghadapi Pru 15 ini boleh dijangka. Ia tidak akan memberi impak besar seperti mana pada Pru 14 dulu. 

Begitu juga dengan Muhyiddin pemimpin Bersatu dan Perikatan Nasional. Muhyiddin akan hanyut dalam Pru 15 ini. Dia langsung tidak akan beri sebarang impak pada para pengundi lantaran tindakannya mengkhianati PH. 

Cuma tinggal PKR, DAP dan Amanah sebagai alternatif pada Umno/BN. Namun ketiga parti tersebut mempunyai bebanan yang besar bagi menarik sokongan orang melayu. Dan ini bukan mudah. 

Namun begitu ini tidak bererti Umno akan menang besar pada Pru 15 ini. Belum tentu! Kerana sebahagian besar rakyat sudah fedap dengan politik cash is king dan rasuah melibatkan para pemimpin Umno. 

Justeru itu senarionya pada Pru 15 tidak ada sebuah parti pun yang akan menang kerusi secara majoriti. 

Kemungkinan parlimen akan tergantung selepas keputusan Pru 15. Masing-masing parti akan berunding, berpakat dan berbincang untuk bekerjasama bagi menubuhkan kerajaan. 

Umno kini walau pun begitu yakin akan kembali berkuasa belum tentu lagi dapat memenangi lebih 60 kerusi dari 222 kerusi parlimen. Ertinya Umno terpaksa berkongsi kuasa dengan bantuan parti lain. 

Lebih meresahkan lagi kerajaan yang dibentuk bakal memempunyai majoriti kecil yang tentunya tidak kuat dan stabil. 

Sebuah kerajaan yang diimpikan adalah kerajaan yang mempunyai majoriti dua pertiga. Dan ini mustahil akan berlaku dalam masa terdekat ini. 


Isnin, 3 Oktober 2022

Rakyat Akan Hukum Umno

 Umno terutama Presidennya Zahid Hamidi, begitu bernafsu mahukan Pru 15 diadakan juga tahun ini. Ini bererti Pru akan diadakan pada musim banjir. Dari Oktober hingga November biasanya musim tengkujuh. Dan Disember adalah masa kritikal. Ertinya dari sekarang hingga Disember musibah banjir tidak dapat dijangka.

Sekiranya pru 15 diadakan juga sudah tentu ianya akan menyusahkan semua orang.  Suasananya tidak kondusif. Sedangkan parlimen hanya tamat tempoh matang pada Jun tahun hadapan. 

Kedudukan kerajaan kini pula stabil. Tidak ada percubaan mana-mana pihak mahu menjatuhkan kerajaan. Malah kerajaan mendapat dukungan dari parti pembangkang bagi memastikan politik stabil. 

Namun sekiranya Umno bertegas mahukan Pru 15 segera maka rakyat akan menjadi hakim di atas keputusan tersebut. 

Pada Pru 14 , 2018 rakyat telah menghukum Umno sehingga tumbang kerana skandal 1MDB. Walaupun Pakatan Harapan hanya bertahan selama 22 bulan sebagai Kerajaan namun ianya bukanlah sia-sia begitu sahaja. 

Justeru Umno tumbang maka kes 1MDB telah berjaya dilondehkan sehingga dibawa ke mahkamah. 

Sekiranya Umno masih berkuasa sudah tentu skandal 1MDB akan ditutup dan disapu ke bawah permaidani. Itu lah yang dilakukan Umno sebelum Pru 14, mereka menghalang, menutup, menyembunyikan segala maklumat atau perbahasan berkaitan 1MDB.

Bukan sedikit pemimpin dalam Umno sendiri dikena tindakan pecat dan diugut serta dihalang dari menimbulkan soalan berkenaan skandal kewangan terbesar di dunia itu. 

Tetapi bila selepas Pru 14, Umno tumbang semua yang terlibat dibawa ke mahkamah. Ini sesuatu yang mustahil berlaku jika Umno masih berkuasa. 

Jadi kerajaan PH selama 22 bulan tidak sia-sia. Walaupun singkat namun mereka telah memenuhi mandat rakyat pada Pru 14, 2018.

Dan kini datang pula Pru 15. Rakyat tidak akan lupa mereka telah pun menghukum Umno kerana skandal 1MDB lima tahun dahulu. 

Kali ini mereka akan menghukum Umno sekali lagi pada Pru 15 gara-gara para pemimpin Umno begitu gatal mahu Pru diadakan musim banjir. 

Masalah dan kesan dari banjir pada tahun lepas belum lagi pulih sepenuhnya sehingga rakyat terpaksa bergelut menghadapi kehidupan seterusnya.

Tetapi itu semua bukan menjadi pertimbangan Umno. Yang penting adalah kuasa. Tamak berkuasa mengatasi segalanya.

Jadi,  ayuh mari kita ajar dan hukum Umno, terutamanya top five kononnya - yang gila kuasa agar bala 2018 menimpa mereka buat kali kedua. 







Jumaat, 30 September 2022

Pru 15 Jangan Salah Pilih

Apakah Pru 15 akan diadakan sebulan dua ini atau tahun hadapan ? Sebenarnya rakyat tidak perlu ambil pot mainan teka teki orang-orang politik yang rakus dan gila kuasa. Mereka sebenarnya hanya mementingkan kedudukan, jawatan dan perut mereka sahaja.

Percayalah selepas diadakan Pru 15, muka-muka lama, muka-muka recycle , muka-muka sampah inilah yang akan berkuasa menjadi menteri, pengerusi itu ini dan sebagainya.

Realitinya majoriti mereka tidak ada kualiti dan tidak layak pun jadi menteri. Sebahagian besar dari menteri-menteri sekarang layak sahaja sebagai pak lawak komedi. Bila muka mulut bercakap terserlah betapa kurang cerdik dan tidak matang. Kita berharap menteri-menteri seperti ini tidak kembali diberikan jawatan.

Itu kategori menteri seperti badut. Ini pula tokoh-tokoh recycle yang masih bernafsu besar untuk kembali berkuasa. Muhyiddin Yassin masih tidak puas menjadi Perdana Menteri selama 18 bulan dan mahu buat kali kedua. Atok Mahathir 96 tahun pun mahu menjadi PM kali ketiga !!!

Zahid Ponorogo pun kepingin sangat-sangat. Bossku yang menginap di Kajang juga mahu kembali ada kuasa, kalau pun tidak boleh jadi PM kali kedua.

Inilah nasib negara yang ku cin tahx bakal mendapat para pemimpin bakul sampah menjadi pengemudi negara. Bahaya !!

Yang pastinya selepas Pru 15 tidak ada parti yang akan menang majoriti. Masing-masing akan bergantung antara satu sama lain untuk survive.  Bukan untuk survival rakyat. Tetapi demi survival perut mereka sendiri. Itu realiti. Parti pak lebai pun tidak perlu ber Al Quran  dan ber al Hadis. Mereka semua sama - pembohong, penunggang agama demi parti.

Apa pilihan rakyat dalam Pru 15 nanti ? Senang sahaja - pangkah dan undi calon yang bersih, cerdik dan amanah tanpa mengira bangsa dan parti. Pilih calon yang bekerja untuk rakyat. 

Jangan lihat rupa bentuk. Contoh janggut, jubah, songkok, kopiah. Ini semua kosmetik.  Pilih calon yang berkualiti. Bukan calon yang mahu jadi badut dan pak lawak komedi.

Sekiranya kita tersalah pilih maka mampuih lah kita untuk lima tahun lagi.

Ahad, 28 Ogos 2022

Bossku Najib Razak Empat Kali Ampun !!

 Saya tidak faham lah mentaliti dan cara berfikir para pemimpin dan ahli Umno.  Mereka sekarang sedang sibuk berusaha memohon pengampunan untuk bossku Najib Razak yang dipenjarakan selama 12 tahun di atas kesalahan dalam kes SRC. 

Belum pun sampai 24 jam bossku masuk penjara mereka sudah berusaha mendapatkan pengampunan. Adoi ...bengong betul lah. 

Depa fikir proses pengampunan daripada Yang Di Pertuan Agong seperti beli pisang goreng di gerai. 

Kalau ya pun biar lah bossku duduk dalam penjara barang dua tiga tahun dahulu. Kemudian baru lah berlaku proses pengampunan dan dibebaskan. 

Namun yang lebih tidak masuk akal lagi ialah bossku masih ada lagi empat kes di mahkamah bersabit tuduhan rasuah sedang berjalan sekarang. 

Macam mana tu proses hendak minta ampun? Kes yang selesai adalah kes 42 juta SRC. Baki empat kes lagi macam mana? 

Apakah kena minta ampun empat kali ke? Atau satu kali minta ampun untuk semua kes? 

Tetapi empat kes lagi itu belum muktamad lagi. So, macam mana? 

Aduh...  bengong betul lah orang orang  Umno. Tak dak common sense. 

Orang Umno kena baca balik buku Revolusi Mental yang ditulis oleh bekas Setiausaha Agung Umno, Allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman. 

Saya rasa ahli ahli Umno perlu perbaiki mentaliti mereka kerana cara mereka berfikir teruk sangat.