Isnin, 3 Oktober 2022

Rakyat Akan Hukum Umno

 Umno terutama Presidennya Zahid Hamidi, begitu bernafsu mahukan Pru 15 diadakan juga tahun ini. Ini bererti Pru akan diadakan pada musim banjir. Dari Oktober hingga November biasanya musim tengkujuh. Dan Disember adalah masa kritikal. Ertinya dari sekarang hingga Disember musibah banjir tidak dapat dijangka.

Sekiranya pru 15 diadakan juga sudah tentu ianya akan menyusahkan semua orang.  Suasananya tidak kondusif. Sedangkan parlimen hanya tamat tempoh matang pada Jun tahun hadapan. 

Kedudukan kerajaan kini pula stabil. Tidak ada percubaan mana-mana pihak mahu menjatuhkan kerajaan. Malah kerajaan mendapat dukungan dari parti pembangkang bagi memastikan politik stabil. 

Namun sekiranya Umno bertegas mahukan Pru 15 segera maka rakyat akan menjadi hakim di atas keputusan tersebut. 

Pada Pru 14 , 2018 rakyat telah menghukum Umno sehingga tumbang kerana skandal 1MDB. Walaupun Pakatan Harapan hanya bertahan selama 22 bulan sebagai Kerajaan namun ianya bukanlah sia-sia begitu sahaja. 

Justeru Umno tumbang maka kes 1MDB telah berjaya dilondehkan sehingga dibawa ke mahkamah. 

Sekiranya Umno masih berkuasa sudah tentu skandal 1MDB akan ditutup dan disapu ke bawah permaidani. Itu lah yang dilakukan Umno sebelum Pru 14, mereka menghalang, menutup, menyembunyikan segala maklumat atau perbahasan berkaitan 1MDB.

Bukan sedikit pemimpin dalam Umno sendiri dikena tindakan pecat dan diugut serta dihalang dari menimbulkan soalan berkenaan skandal kewangan terbesar di dunia itu. 

Tetapi bila selepas Pru 14, Umno tumbang semua yang terlibat dibawa ke mahkamah. Ini sesuatu yang mustahil berlaku jika Umno masih berkuasa. 

Jadi kerajaan PH selama 22 bulan tidak sia-sia. Walaupun singkat namun mereka telah memenuhi mandat rakyat pada Pru 14, 2018.

Dan kini datang pula Pru 15. Rakyat tidak akan lupa mereka telah pun menghukum Umno kerana skandal 1MDB lima tahun dahulu. 

Kali ini mereka akan menghukum Umno sekali lagi pada Pru 15 gara-gara para pemimpin Umno begitu gatal mahu Pru diadakan musim banjir. 

Masalah dan kesan dari banjir pada tahun lepas belum lagi pulih sepenuhnya sehingga rakyat terpaksa bergelut menghadapi kehidupan seterusnya.

Tetapi itu semua bukan menjadi pertimbangan Umno. Yang penting adalah kuasa. Tamak berkuasa mengatasi segalanya.

Jadi,  ayuh mari kita ajar dan hukum Umno, terutamanya top five kononnya - yang gila kuasa agar bala 2018 menimpa mereka buat kali kedua. 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan