Isnin, 4 April 2022

Isu debat. Najib mahu mengelak

 Rafizi Ramli telah mencabar bossku Najib Razak berdebat isu Sapura Energy yang menghadapi tindakan bangkrapsi.

Kedua nya mempunyai pandangan berbeza dalam isu kewangan yang di hadapi Sapura. 

Najib sambut cabaran debat daripada Rafizi tetapi dengan bersyarat. Syarat tersebut adalah boss Rafizi,  Anwar Ibrahim mesti ikut serta dalam debat tersebut. Tambah Najib lagi, dia mahu berdebat dengan Anwar dan Rafizi boleh membantu bossnya dalam debat itu. 

Pelik juga Najib bossku ini. Rafizi cabar dia berdebat namun dia heret Anwar pula. Apa masalahnya? 

Tidakkah mudah sekiranya Najib terima sahaja cabaran Rafizi itu. Kenapa ada syarat pula? Kan mudah dan menyenangkan kedua pihak. Nampak sangat Najib buat alasan. 




Dalam Prn Johor tempoh hari sama juga plot ceritanya bila Azmin Ali mencabar Najib berdebat dengannya dalam isu Felda. 

Jawaban Najib, dia mahu Muhyiddin ikut serta debat tersebut.  Najib mahu berdebat dengan Muhyiddin dan mahu Azmin membantu bossnya itu masa berdebat. 

Hello Najib, what is wrong with you? What is your problem? Gila ke apa? 

Orang cabar debat dia jawab boleh tetapi boss kamu mesti ikut serta. 

Azmin telah jawab dengan tegas Najib boleh debat dengan dia tanpa mengheret Muhyiddin. Sebab Azmin sebagai menteri yang urus soal Felda. 

Kenapa Najib pusing-pusing cari alasan ? Sekiranya Azmin dan Rafizi cabar berdebat, jawab sahaja secara terus terang dan direct. 

Terima debat atau tidak.  Apa pasal heret nama orang lain yang tidak berkaitan. Nampak sangat Najib nak auta.... belit. 

Jawab sahaja boleh atau tidak? 

Kalau ini cara Najib, nampak sangat dia mahu mengelak dari berdebat. Cantikkk... 

Sekiranya saya berada ditempat Azmin dan Rafizi,  saya akan beri respons pada Najib bossku begini : Boleh bossku. Tetapi syarat bossku mesti bawa sekali Rosmah dalam debat tersebut supaya Kak Ros boleh, " Can i advise you? ".

Apa macam bossku Najib?  Boleh atau tidak?? 

P/S.

Dulu Najib dua kali lari tidak hadir program debat dengan Dr Mahathir dalam Forum Nothing To Hide. Pandai dia cari alasan macam-macam. 

Atok pun dia kelentong. Inikan Azmin dan Rafizi. 

Tepukkkkk..... 




Jumaat, 1 April 2022

Parti Sesat dan Parti Pelacur

 Muhyiddin Yassin pernah cakap parti Pas adalah parti sesat. Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah pula menuduh Pas adalah parti pelacur. 

Jangan marah saya bila kaitkan parti Pas dengan perkataan sesat dan pelacur. Ini bukan saya cakap. Yang cakapnya adalah Muhyiddin dan Tengku Razaleigh. 

Nak marah, marahlah pada Muhyiddin dan Ku Li. Jangan marah saya... 

Soal Pas parti sesat atau tidak itu kena tanya AbahCow. Sebab sekarang dia kawan rapat  dengan Presiden Pas, Hadi Awang. 




Soal Pas parti pelacur, sejarah politik negara boleh dijadikan dalil dan bukti. 

Pas pernah berpeluk cium dengan parti PKR dan DAP. Dan bergabung dalam satu pakatan barisan pembangkang melawan Umno. 

Lepas itu Pas bercerai talak tiga dengan PKR dan DAP. 

Kemudian Pas berdakap pula dengan Umno. Sehingga wujud Muafakat Nasional. Yang hingga kini entah tenggelam entah timbul muafakat yang menjadi geger dikalangan melayu isle. 

Yang menjadi geger Muafakat Nasional. Namun yang terhasil adalah Perikatan Nasional bersama parti Bersatu. 

Pas tinggalkan Umno kerana mahu bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional. 

Dan berita terbaru Hadi Awang merancang bertemu Dr Mahathir bagi merancang kerjasama Pas dan parti Pejuang dalam menghadapi Pru 15.

Nampaknya parti isle Pas lebih liberal dari parti-parti sekular yang lain. Masuk kandang kambing mengembek. Masuk kandang lembu mengebohhhh....Takbir 3x..!!

Saya kagum dengan firasat Ku Li yang seolah bertaraf  "kasyaf" dapat melihat kehadapan kelentong Pas sebagai parti isle. 

Apapun tahniah dan terima kasihlah Ku kerana menyedarkan kita yang tidak reti apa-apa tentang sepak terajang parti politik. Lebih-lebih lagi parti yang menunggang agama semata-mata demi undi bila sampai pilihanraya. 

Tuan-tuan tunggulah bila dekat pilihanraya geger pulok lah perkataan hudud, kerat kepala orang, kerat tangan orang dan sebagainya. 

Hmmm.... 


Khamis, 31 Mac 2022

Mahathir dan Muhyiddin perlu berundur

 Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir berbincang mengenai kemungkinan parti Bersatu dan Pejuang bekerjasama bagi menghadapi Pru 15.

Ini sesuatu yang tidak mengejutkan. Selepas Prn Melaka, Sarawak dan Johor pencapaian kedua parti tersebut amat mengecewakan. Bersatu kalah teruk di Melaka dan Johor. Manakala Pejuang kesemua calonnya hilang deposit .

Jelas Dr Mahathir dan Muhyiddin telah hilang kepercayaan dikalangan para pengundi. Mereka tidak memberi sebarang impak lagi seperti dalam Pru 14 dahulu. 



Tetapi itulah SOP para politikus mereka bermusuh pada satu masa dan dimasa yang lain mereka mencari jalan mendapatkan oksigen untuk terus hidup dan kekal relevan. 

Apa pun helah Dr Mahathir dan Muhyiddin bagi menyelamatkan parti masing-masing, mereka tidak akan berjaya. Rakyat sudah bosan dengan permainan dan janji-janji manis. 

Mahathir dan Muhyiddin telah pun mendapat peluang mendapat kuasa di Putrajaya, namun mereka berdua telah mensia-siakan peluang tersebut. 

Mahathir menjadi PM selama 22 bulan. Manakala Muhyiddin mencatat sejarah paling pendek selama 18 bulan. 

Sudah sampai masa kedua tokoh ini berundur  diri dari politik. 

Mahathir sudah pun  96 tahun. Mustahil masih mahu terus aktif. Manakala Muhyiddin tidak usah bermimpi bagi mencapai impian hati kecilnya untuk menjadi PM buat kali kedua. Tidak mungkin. Dan ia hampir mustahil. 




Kedua tokoh ini terpaksa menelan pahit dan menerima hakikat bahawa mereka tidak mampu mengatasi populariti Najib Razak yang digelar pencuri, penyamun dan penyangak. 

Begitulah sistem nilai di Malaysia. Semuanya terbalik dan tungang langang. Yang dituduh dan didapati bersalah di mahkamah dipuja dan begitu popular. 

Mahkamah seolah dipandang sepi dan tidak lagi dihormati. Yang menjadi hakim mahkamah adalah rakyat. 

Rakyat adalah hakim negara. 

Apa yang dibicarakan dan diputuskan dalam mahkamah seolah tidak relevan. 

Yang relevan adalah media sosial. 

Media sosial telah berjaya mengatasi supermasi mahkamah. 


Jumaat, 25 Februari 2022

Skandal 1MDB. Antara Najib Razak dan Jho Low

 Skandal dan kes 1MDB telah tersohor seluruh dunia dan ia memang satu kes yang telah memalukan negara. Ia adalah satu " Kemaluan Nasional" .

Apa malu bossku?? Malu apa kan?? 

Kini satu perbicaraan mahkamah di Amerika sedang berjalan melibatkan dua pegawai eksekutif bank Goldman Sachs iaitu Roger Ng sebagai orang dituduh. Manakala Tim Leissner menjadi saksi pendakwa. Leissner adalah bekas boss Ng di Goldman Sachs, bahagian operasi di Asia Tenggara. 

Kes ini melibatkan penyelewengan berbillion dollar yang diselewengkan dari dana 1MDB.

Kerja Goldman Sachs adalah membantu 1MDB memohon pinjaman bank. Kemudian setelah pinjaman diluluskan, wang tersebut telah disalurkan ke dalam akaun-akaun yang tidak ada kena mengena dengan bisnes dan operasi 1MDB.

Jumlah wang yang terlibat adalah amat besar melibatkan hampir US dollar 1.8 billion. Dan wang ini telah dibelanjakan untuk bermewah-mewah, berjoli, perempuan dan sebagainya. 

Semua duit ini adalah duit rakyat Malaysia. Bukan duit bapak mereka yang menjadi pengkhianat, penyamun dan penyangak. 

Yang paling jelas dari seluruh perbicaraan tersebut kita boleh membuat kesimpulan manusia yang menjadi God Father atau perancang segalanya adalah Low Taek Lho atau Jho Lo. 

Dia lah pelesit yang telah melibatkan semua orang dari tokoh politik, banker, pelakon dan siapa sahaja dengan sogokkan rasuah demi kepentingan diri dia sendiri. Yang akhirnya menghancurkan 1MDB, serta memalukan negara diseluruh dunia. 

Malu apa bossku? Malu apa kan? 


Jho Low bersama Najib  dan keluarga di atas sebuah kapal mewah


Najib Razak adalah bekas Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Penasihat Lembaga Pengarah 1MDB. Dia juga adalah pengasas syarikat dana IMDB. 

Jho Low adalah kenalan Najib Razak. Walaupun diperingkat awal Najib berbohong mengatakan dia tidak kenal dan tidak pernah berjumpa dengan Jho Low. Ertinya, Najib telah menipu!! 

Isteri Najib, Rosmah Mansor adalah kenalan Jho Low melalui anaknya Riza Aziz, anak tiri Najib. Riza tersohor dengan bisnesnya menghasilkan beberapa filem di Hollywood.

Jelas dari perbicaraan di mahkamah Jho Low telah berjaya mempergunakan Riza Aziz untuk berkenalan dengan ibunya Rosmah seterusnya dapat berhubung dan membuka jalan berkomunikasi dengan Najib. Begitulah  modus operandinya sehingga berjaya memanipulasi segalanya untuk kepentingan dirinya. 

Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah pun membuat keputusan majoriti bahawa Najib Razak bersalah dalam kes SRC atas semua pertuduhan melibatkan salahguna kuasa, rasuah dan pengubahan wang haram.

Najib mempunyai satu lagi peluang di Mahkamah Persekutuan bagi menentukan nasibnya. Tetap bersalah atau tidak. 

Namun satu persoalan menjadi tandatanya bagaimanakah seorang Perdana Menteri boleh diperdaya oleh seorang pemuda berusia 30 an sehingga mencemar nama parti dan memalukan negara.  Lebih trajis duit rakyat berbillion billion seperti mengalir ke dalam longkang !!

Namun, malu apa bossku?  Malu apakan? 





Isnin, 31 Januari 2022

Muhyiddin dan Bersatu Seperti Telur di Hujung Tanduk

 Nasib Muhyiddin Yassin ibarat seperti telur dihujung tanduk.  Kedudukannya sebagai Presiden parti Bersatu dan masa depannya sebagai ahli politik serta partinya Bersatu semakin terhimpit. 

Prn Johor akan berlangsung tidak lama lagi. Dia pula membuat kenyataan tidak akan bertanding mempertahankan kerusinya di Gambir. 

Keputusannya itu sebenarnya memberi tamparan besar pada seluruh ahli Bersatu. Bagaimana seorang ketua tidak akan turun ke medan perang. Tentunya ini melemahkan semangat dan moral para ahli parti. 

Sekiranya Muhyiddin yakin dengan kekuatan parti Bersatu, dia seharusnya mempertahankan kerusinya. Kerana itu adalah tindakan yang sepatutnya sebagai Presiden parti. 



Apa sahaja alasan yang diberikan Muhyiddin untuk tidak bertanding tidak boleh diterima sama sekali.  Dia perlu berada di hadapan dan berani menghadapi pilihan rakyat di peti undi. 

Alasannya hanya akan turun berkempen dalam Prn Johor adalah tidak munasabah. Nampak kelemahan dia disitu dan partinya Bersatu. 

Saya jangka nasib Muhyiddin dan Bersatu akan hanyut dan ibarat kubur tidak bernisan selepas Prn Johor. 

Dalam Prn Melaka baru baru ini, parti Bersatu hanya menang dua kerusi. Satu tamparan hebat pada Muhyiddin, Bersatu serta Perikatan Nasional yang diterajui Muhyiddin. 

Walaupun Bersatu akan bekerjasama dengan parti Pas, saya jangka ia tidak akan banyak membantu. Sama ada untuk Bersatu atau Pas. Keduanya tidak akan berjaya di Johor. 

Ironinya, Johor adalah kubu Muhyiddin dan parti Bersatu sejak Pru 2018.

Tambahan lagi sayugia, Muhyiddin tidak berpengaruh dan berkarismatik seperti Dr Mahathir dalam memikat hati para pengundi. 

Isnin, 20 Disember 2021

Piala AFF Suzuki. Indonesia Lebih Berkualiti Dan Layak Menang

Indonesia menewaskan Harimau Malaya 4 - 1 dalam Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura. Pasukan Garuda hanya memerlukan keputusan seri untuk ke separuh akhir.

 Manakala pasukan Harimau Malaya turun dengan misi mesti menang. Dengan kekalahan yang memalukan itu pasukan negara pulang awal dari kejohanan tersebut.

 Dari pemerhatian perlawanan tersebut pasukan Garuda wajar dan berhak menang kerana mereka bermain lebih berkualiti dengan semangat yang tinggi. Apa lagi pasukan Indonesia itu dibarisi para pemain muda yang berstamina dan bermotivasi tinggi bagi mencapai kemenangan.

 Ini tentunya dari pengaruh jurulatihnya Shin Tae Yong dari Korea Selatan yang mempunyai pengalaman sebagai jurulatih dalam Piala Dunia. 

Shin Tae Yong



 Faktor pertama kejayaan Garuda tahun ini yang belum tewas dalam AFF Suzuki adalah tindakan Shin Tae Yong yang menggugurkan hampir semua pemain senior dan digantikan dengan para pemain muda berusia 20an. 

 Ditambah dengan perancangan taktikal sehingga berjaya mencapai keputusan seri 0 - 0 dengan Vietnam sebelum ini. 

 Dan ini satu kejayaan besar Shin Tae Yong mengubah pasukan Indonesia kembali kuat dan disegani. Keputusan Persatuan Bolasepak Indonesia melantik Tae Yong sebagai jurulatih adalah tepat dan sudah menampakkan hasil. 

 Keputusan seri dengan Vietnam dan paling mengembirakan para penyokong Indonesia ialah dapat mengalahkan Malaysia dengan jumlah gol yang besar 4 - 1. Ini satu peningkatan dan kemajuan yang dicapai pasukan Indonesia setelah mengalami kekecewaan beberapa tahun kebelakangan ini. 

 Bagi Harimau Malaya pula dengan tersingkirnya dari kejohanan dan gagal ke separuh akhir telah terdedah banyak kelemahan yang perlu diatasi segera.

 Dari segi pemilihan para pemain, dari segi persiapan dalam menghadapi apa - apa kejohanan perlu diubah.

 Contohnya dalam Piala AFF ini, Tan Cheng Hoe hanya mengumpul para pemain selama empat hari sahaja sebelum bertolak ke Singapura.

 Berbeza dengan pasukan lain seperti Vietnam, Indonesia dan Thailand yang membuat persiapan lebih awal serta mengadakan banyak perlawanan persahabatan sebelum kejohanan bermula.

 Tidak seperti Harimau Malaya - sudah lah hanya empat hari berkumpul malah bertemu pasukan Timor Leste sebagai perlawanan pemanas badan. 

 Ini tentunya tidak memadai dan kelihatan tidak serius dalam membuat persiapan. Dalam Piala AFF kali ini memang wajar pasukan Harimau Malaya tersingkir dan gagal ke separuh akhir. Banyak perkara yang perlu diubah dan diambil tindakan selepas ini. 

Seperti kata Cheng Hoe, beliau bertanggungjawab ke atas kegagalan Harimau Malaya. Dan beliau sendiri mengatakan kita perlu "move on". 

 Bagi saya secara peribadi, saya merasakan Tan Cheng Hoe perlu meletakkan jawatan sebagai jurulatih diatas corak permainan yang lemah dan tidak bertenaga para pemain. 

Dan yang paling utama adalah cara beliau memilih barisan para pemain yang dipertikai banyak pihak sebelum ini.

Isnin, 29 November 2021

Tengku Razaleigh Hamzah Berundur Dari Politik

 Tengku Razaleigh Hamzah atau Ku Li akhirnya memberi bayangan tidak akan bertanding lagi dalam Pru15 akan datang. Ertinya,  Ku Li akan terus bersara dari dunia politik setelah menjadi ahli Parlimen paling lama sejak 1974.

Sudah menjadi rahasia umum Ku Li, 84 tahun mempunyai cita-cita dan impian untuk menjadi Perdana Menteri sejak zaman Tun Razak lagi. 

Tengku Razaleigh Hamzah



Namun impian itu tidak tercapai. Tun Razak merupakan tokoh yang membawa Ku Li masuk politik dan melatihnya sebagai salah seorang calon PM negara ini. 

Selepas Tun Razak meninggal dunia, Hussein Onn mengambil alih jawatan PM. Ketika itu orang semua tertumpu pada Ku Li akan dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri kerana beliau adalah Naib Presiden Umno paling kanan.  Dua orang lagi adalah Tun Ghafar Baba dan Dr Mahathir. 

Dari segi kedudukan dalam parti maka Ku Li berhak dipilih sebagai TPM. 

Namun Tun Hussein Onn melakukan kejutan dengan memilih Dr Mahathir, Naib Presiden Ketiga untuk menjadi Timbalannya. 

Ku Li kecewa.  Tetapi beliau boleh menerima keputusan tersebut kerana masa itu beliau masih muda dan seolah ada perjanjian mulut bahawa bila Tun Hussein berundur dan Dr Mahathir menjadi PM, beliau akan dilantik menjadi TPM. 

Namun bila Dr Mahathir menjadi PM beliau tidak memilih Ku Li sebagai Timbalannya, sebaliknya menyerahkan pada perwakilan Umno mengundi dalam pertandingan satu lawan satu dengan Tun Musa Hitam. 

Menariknya,  Dr Mahathir mengambil langkah menyokong Tun Musa Hitam secara terbuka dalam pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden Umno itu dalam tahun 1981.

Lebih menarik lagi tokoh tokoh seperti Anwar Ibrahim, Najib Razak, Muhyiddin Yassin dan tokoh besar lain menyokong Tun Musa kerana mereka pendokong tegar Dr Mahathir.  Hanya Ghafar Baba secara terbuka menyokong Ku Li. 

Ku Li tewas dengan lebih 200 undi. 

Ku Li juga tewas kali kedua dengan Tun Musa tiga tahun kemudian dengan jumlah undi hampir sama. 

Begitu lah seterusnya pada era Abdullah Badawi dan Najib Razak, Ku Li semakin tersisih dan pengaruhnya dalam parti semakin lemah. 

Akhir sekali harapannya untuk menjadi PM hancur lebur bila cakap-cakap calon PM yang bakal dipilih oleh SPB Yang Di Pertuan Agong ketika kerajaan Muhyiddin jatuh. Nama Ku Li adalah antara yang tersenarai selain dari Anwar Ibrahim dan Ismail Sabri Yaakob. 

Jadi berdasarkan urutan dan rentetan liku-liku perjalanannya sebagai antara bakal calon PM sudah sampai ke penghujungnya. 

Sudah sampai masa beliau berundur diri. Dari segi faktor usia dan suasana politik sekarang beliau tidak mungkin menjadi PM pada masa hadapan. Tidak mungkin. 

Apapun beliau akan terus diingati dan dikenang dalam lipatan sejarah politik di Malaysia sebagai seorang tokoh Umno yang telah berjasa dan mewarnai sejarah politik Umno khususnya dan negara amnya. 

Selamat bersara Ku. 

Ahad, 31 Oktober 2021

Rakyat Melaka Tidak Perlu Pilihan Raya

 Pilihan Raya Negeri (PRN)  Melaka pada 20 November ini sepatutnya tidak diteruskan. 

Kerajaan pusat dan Perdana Menteri mempunyai kuasa membatalkannya atau menangguhkan sehingga pada satu masa yang sesuai. 

Tetapi nampaknya kerajaan tidak bersungguh-sungguh mahu ia ditangguhkan. 



Kenapa PRN Sarawak boleh ditangguhkan sebelum ini.  Begitu juga isu kerajaan pusat bawah pimpinan bekas PM Muhyiddin Yassin yang hilang majoriti di Parlimen. 

Pilihan Raya Umum tidak diadakan selepas kabinet Muhyiddin jatuh. 

Hanya berlaku peralihan kuasa PM membentuk kerajaan yang baru ditubuhkan dengan sokongan majoriti ahli parlimen. 

Kenapa perkara ini tidak berlaku di Melaka? 

Kita baru sahaja berjaya memasuki fasa endemik dengan kes covid dan kes kematian semakin menurun. 

Mengapa kita tidak belajar dari apa yang berlaku di Sabah? 

Rakyat Melaka secara keseluruhannya tidak mahu dan tidak bersetuju dengan keputusan orang politik yang bernafsu sangat mahukan satu PRN. 

Mereka baru sahaja mula merasai kehidupan bebas setelah berkurung dengan segala PKP dan SOP selama ini. 

Yang berniaga dan bekerja secara kais pagi makan pagi, baru mahu memulakan kehidupan secara normal seperti sebelum masa covid. 

Dengan PRN yang bakal menjelang tidakkah risiko penularan kes covid kembali menghantui kehidupan mereka. 

PM Ismail Sabri boleh sekiranya dia mahu dengan menasihatkan SPB Yang Di Pertuan Agong membatalkan PRN ini. Dan langkah seterusnya menubuhkan satu kerajaan sementara atau peralihan sehingga situasi kes covid dalam negara dapat dilandaikan ke paras 2 digit. 

Namun orang politik sebenarnya lebih mementing kedudukan mereka daripada memikirkan nasib rakyat marhaen yang begitu teruk terjejas kehidupan mereka kesan dari covid 19.

Yang lebih membingungkan lagi adalah segala macam halangan dan peraturan diadakan sepanjang kempen PRN di Melaka. 

Antaranya dilarang membuat perhimpunan semasa kempen, larangan itu dan ini sehingga tidak memberi sebarang erti bagi semua calon yang bertanding. 

Namun yang tentunya calon kerajaan mempunyai kelebihan kerana mendapat liputan media eletronik dengan meluas jika dibandingkan dengan calon parti pembangkang. 

Dan ini sudah pasti tidak adil dan berlawan di atas padang yang tidak rata. 

Bagi saya PRN Melaka ini tidak perlu dan satu pembaziran dalam semua aspek. Apa lagi ianya membahayakan kehidupan rakyat Melaka seluruhnya dari ancaman covid. 

Negara jiran kita Singapura kini sedang menghadapi gelombang dan peningkatan kes baru covid secara mendadak. Sedangkan sebelum ini Singapura berjaya mengawal dengan begitu berkesan dan mendapat pujian dunia dalam melandaikan kes covid. 

Kini Singapura sedang berhempas pulas dengan kenaikan kes secara mendadak. 

Apakah ini tidak akan berlaku di Melaka dengan berlangsungnya PRN pada 20 November ini?? 

Sebenarnya kita mencari penyakit ! Rakyat Melaka tidak perlu dan tidak mahu pilihanraya.  

Mereka perlu bekerja mencari rezeki untuk meneruskan kehidupan. 

Bukan seperti orang politik,  semuanya buaya dan penyamun!! 


Khamis, 30 September 2021

Fasa Endemik dan Exit Plan

 Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri,  Hamzah Zainudin, berkata semua agensi penguatkuasa sudah bersiap sedia sekiranya sempadan dibuka bagi rakyat Malaysia keluar negara dan menerima kunjungan para pelancong luar. 

Menurutnya, bila negara sudah masuk ke fasa endemik dan dengan SOP yang akan dikeluarkan nanti pihak polis, imigresen, kastam dan lain-lain bersiap sedia menunaikan peranan masing-masing. 

Sekarang kita masih dalam fasa pandemik covid 19. Menurut Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan, negara akan memasuki fasa endemik selewat-lewatnya akhir Oktober ini. Ertinya kita memasuki fasa baru iaitu hidup bersama-sama covid dengan SOP yang mudah tetapi ketat. 

Ini tentunya memberi berita gembira pada seluruh rakyat yang telah hampir dua tahun dikurung dan menghadapi pelbagai sekatan dalam menjalani kehidupan seharian. 

Pada akhir Oktober juga dijangka lebih 80 peratus rakyat di negara sudah lengkap dua dos vaksin. 

Kita berharap tidak akan ada lagi gelombang keempat dan kelima yang akan menjejaskan perancangan negara untuk kembali normal. 

Sektor perniagaan, pelancongan dan sebagainya telah mengalami kesan yang amat teruk.  Dan ia memerlukan masa untuk pulih seperti sediakala. 

Begitu juga bagi mereka yang mempunyai berbagai urusan diluar negara sudah pasti tidak sabar lagi untuk keluar negeri. Mereka yang mempunyai pasangan suami/isteri diluar negara, para pelajar, para peniaga yang menguruskan perniagaan mereka dan lain-lain menanti saat pembukaan sempadan dengan penuh harapan. 

Kerajaan diharap dapat merancang exit plan ini dengan berhati-hati agar ia mencapai sasaran yang ditetapkan. 

Sudah cukup dua tahun kita berhadapan dengan pandemik ini.  Kita perlu melangkah kehadapan demi kesejahteraan rakyat dan pemulihan ekonomi negara.