Ahad, 11 Mac 2012

Datuk Seri Mustapa Mohamed



BN mampu tawan Kelantan


DATUK SERI MUSTAPA MOHAMED akan bertanding kerusi DUN dan parlimen di kawasan Jeli dalam PRU13 ini.

Dengan ini membolehkannya menjadi  Menteri Besar Kelantan yang baru sekiranya BN dapat menumbangkan PAS yang kini telah memerintah lebih 21 tahun.

Harapan BN menang di Kelantan bukanlah satu perkara yang mustahil. Pada 2004 BN menang 21 kerusi iaitu kurang dua kerusi bagi menawan negeri itu dari PAS.

Dalam pilihanraya umum yang lepas BN Kelantan diketuai Tan Sri Anuar Musa dan Dr. Awang Adek. Kali ini Datuk Seri Mustapa akan mengepalainya.
Rekod kerja Datuk Mustapa tidak perlu diperkatakan. Semua orang tahu beliau adalah seorang yang kuat bekerja dan begitu komited dalam membangun negeri kelahirannya.

Mustapa bukan sahaja disegani dan dihormati di kalangan UMNO dan BN malah mendapat pujian dari ahli-ahli PAS sendiri. Dengan imejnya yang bersih beliau mampu memberi harapan pada rakyat Kelantan untuk berubah angin dalam PRU13 ini.

Dengan pengalamannya yang luas dalam bidang ekonomi dan kewangan beliau sahajalah yang layak mengambilalih tugas Menteri Besar dari Datuk Nik Aziz Nik Mat.  Hubungannya yang rapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan memudahkan tugasnya membangunkan Kelantan.

BN Kelantan mampu menang 21 kerusi pada 2004. Ini bermakna ia boleh mengulanginya sekali lagi pada PRU13 nanti. Suasana kini agak berbeza kerana sudah ramai rakyat bersedia untuk berubah kali ini. Gelombang merah kini telah meresap seluruh rakyat negeri Che Siti Wan Kembang itu.

Bertepatan dengan slogan BN kali ini "Acu test sepenggal".



Pembangkang ketandusan isu

TUN DAIM ZAINUDDIN dalam wawancaranya dalam
Mingguan Malaysia beberapa minggu lalu menyatakan
parti PKR lahir dari isu fitnah dan konspirasi. Maka
parti itu juga hidup di atas isu-isu tersebut bagi meneruskan
kewujudannya.

Ertinya, tanpa politik fitnah parti itu akan ketandusan
isu bagi mengekal dan menarik para ahlinya untuk terus
kekal bersama parti.

Terbaru isu majlis perkahwinan anak Perdana Menteri
telah cuba dijadikan isu besar seolah parti itu sudah
tidak ada isu untuk diketengahkan.

Dengan segala rancangan transformasi kerajaan berjalan lancar dan sebahagian
besar masalah-masalah rakyat telah dapat diselesaikan kerajaan Najib kini berada
dalam "mood" yang baik bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13.

PKR sedar kini mereka berdepan tugas berat, terutamanya untuk mengekalkan negeri
Selangor yang dikuasainya. Oleh kerana tidak ada isu besar, maka kini tumpuannya ialah
menyerang peribadi Datuk Seri Najib dengan harapan ia berjaya dan berkesan seterusnya
menghancurkan semua usaha yang telah dicapai Perdana Menteri.

Parti yang menjadikan fitnah sebagai modal untuk meneruskan kelangsungan "survival"nya
tidak akan kekal lama.



Shahrizat kena undur

MENTERI Pembangunan Wanita, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dikaitkan dengan isu NFC perlu berundur dan meletakkan jawatan untuk kebaikan UMNO dan BN sebelum PRU13 ini.

Walaupun beliau belum tentu terbabit dan kes ini masih dalam pertimbangan Peguam Negara bagi tindakan selanjutnya adalah sesuai sekiranya beliau mengambil langkah dahulu agar kes ini tidak akan membebankan parti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengesahkan bahawa beliau akan menentukan kedudukan Shahrizat pada masa yang sesuai. Tun Dr. Mahathir Mohamad juga ada menasihatkan Shahrizat agar tidak sayangkan jawatan dan lakukan apa yang perlu untuk kebaikan parti.

Rasanya, Shahrizat tidak ada banyak pilihan. Tetapi sekiranya kes NFC ini selesai dan mampu membersihkan namanya, beliau tentu akan kembali dengan lebih gagah dan menyakinkan parti dan para penyokongnya.

Adalah tidak mungkin beliau akan terpilih menjadi calon dalam PRU13 ini dengan kesnya masih belum selesai. Kalau beliau masuk bertanding pun peluangnya untuk menang tentulah sukar.

Sehingga kini beliau belum dibuktikan bersalah. Dan namanya perlu dibersihkan dan imejnya dipulihkan akibat terpalit dengan isu NFC itu.

Jumaat, 9 Mac 2012



Mccain gesa Obama serang Iran

SENATOR Parti Republikan, John McCain telah menggesa Presiden Barrack Obama menggunakan kuasa ketenteraan untuk menyerang Iran bagi menyekat negara itu dari menjadi kuasa nuklear.

McCain mahu usaha ini dilakukan secara multi nasional dan multi lateral; dengan pembabitan negara-negara Arab lain seperti Arab Saudi, Qatar, UAE dan Jordan.

Senator itu menolak serangan terhadap Iran dilakukan secara unilateral oleh Amerika tanpa penglibatan antarabangsa.

Presiden Obama dalam ucapannya dipersidangan AIPAC beberapa hari lalu telah menegaskan sekali lagi komitmen beliau dalam mempertahankan dan melindungi Israel sebagai sekutu Amerika paling rapat. AIPAC adalah sebuah pertubuhan Yahudi yang berpengaruh di Amerika dan mempunyai pengaruh besar melobi bagi menentu kemenangan calon Presiden Amerika yang akan berlangsung November ini.

Ucapan Obama dan kenyataan McCain dibuat selang beberapa hari lawatan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Rumah Putih. Lawatan Netanyahu adalah untuk menghadiri sidang AIPAC dan yang lebih utama bertemu Obama bagi menyakinkan sekutu rapatnya itu betapa ancaman Iran sebagai satu kuasa nuklear adalah merbahaya bagi kewujudan Israel.

Presiden Iran, Mahmoud Ahmadenejad berulangkali menegaskan bahawa Israel akan musnah dari peta dunia dan berazam akan bertindak balas jika negaranya diserang. Iran mengakui kini mereka mempunyai kemampuan bertahan dan bertindak balas terhadap segala percubaan pihak luar mencabuli kedaulatannya. 

Rabu, 7 Mac 2012



Prof. Dr.Syed Muhammad Naquib Alatas

SEORANG tokoh falsafah dan metafizik yang disegani dan dihormati. Prof. adalah adik kepada Allahyarham Prof. Dr.Syed Hussein Alatas.
Pengasas ISTAC-sebuah institusi Tamadun dan pemikiran Islam.

Pada tahun lepas Dr. Naquib telah dianugerahkan sebagai Tokoh Melayu Terbilang dari Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak di atas sumbangannya dalam bidang ilmuan dan pendidikan.

Semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin ABIM dan menjadi anggota kabinet kerajaan, beliau dikatakan mempunyai hubungan baik
dengan Dr. Naquib.

Ini terbukti sehari selepas Anwar dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Dr. Naquib adalah antara orang pertama berkunjung ke rumah Anwar sebagai tanda sokongan dan simpati. Malah tokoh ilmuan itu sempat memberi ucapan pada orang ramai yang hadir.

Namun itulah pertama dan terakhir kehadiran Dr. Naquib dalam apa sahaja majlis yang melibatkan Anwar Ibrahim. Selepas itu tidak ada lagi kelibatnya bersama Anwar atau apa-apa kenyataan terbuka
dari beliau sama ada menyokong atau menentang.

Tetapi jelas tokoh tersohor ini telah berjaya menjarakkan diri beliau dengan Anwar sebagai seorang
pemimpin penuh dengan kontroversi. Sikap dan langkahnya boleh difahami. Dan tindakannya adalah
betul dan tepat.

Rupa-rupanya Dr. Naquib adalah orang pertama yang dapat membaca dan menelah sikap dan pendirian
Anwar sebagai seorang pemimpin yang bercita-cita besar. Tokoh-tokoh lain seperti Dr. Chandra Muzafar, Ezam Mohd Noor dan beberapa orang lagi telah terlanjur hingga pertengahan jalan. Mereka
bernasib kerana kini sudah pulang ke pangkal jalan.

Sikap dan penerimaan Prof. Naquib menerima anugerah sebagai Tokoh Melayu Terbilang dari Najib
sebagai Presiden UMNO adalah satu pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau dan UMNO khususnya.


Ku Li tetap bertanding

ISU Tengku Razaleigh Hamzah atau
Ku Li bertanding lagi atau tidak dalam
PRU13 ini timbul lagi.

Apakah Ku Li masih menjadi calon
Barisan Nasional (BN) di kawasan
parlimen Gua Musang ?

Ada berita mengesahkan sebahagian
para pemimpin akar umbi dibahagian
tersebut memintanya berundur dan memberi
laluan pada calon muda.

Ku Li adalah antara wakil rakyat paling
lama berkhidmat dalam sejarah politik negara. Beliau telah berada di parlimen sudah hampir
43 tahun sejak dari 1974 hingga sekarang.

Dari sejak awal Gua Musang merupakan kubu kuat beliau dan tidak ada calon yang mampu
menumbangkannya disitu. Ketika Ku Li menubuhkan parti Semangat 46 dan berada diluar BN
kedudukan beliau di Gua Musang tidak tergugat. Beliau terus menang walaupun bertanding
atas tiket pembangkang.

Bila parti 46 dibubar dan dia kembali kepangkuan UMNO beliau terus kekal disitu tanpa
terancam sedikit pun. Ketika pilihanraya kecil Galas, beliau telah mengetuai jentera BN
menewaskan calon PAS. Begitulah kuatnya pengaruh Ku Li di Gua Musang. Galas berada
di dalam kawasan parlimen Gua Musang.

BN tidak banyak pilihan berkenaan dengan bakal calon di Gua Musang dalam PRU13 nanti.
Setakat ini kedudukan Ku Li sebagai wakil rakyat tidak terjejas. Hatta jika beliau bertanding
atas tiket Bebas pun beliau berpeluang untuk menang.

Masalahnya politik Ku Li kini tidak sealiran dengan UMNO pusat dalam beberapa isu. Kadang-
kadang pendiriannya lebih condong pada pihak pembangkang. Misalnya, isu royalti minyak
di Kelantan. Dalam isu ini Ku Li bersama dengan PAS.

Begitu juga dengan penubuhan AMANAH sebuah NGO; di mana beliau salah seorang pengasas
dan pemimpinnya. AMANAH ditubuhkan untuk tujuan memperbaiki dan menegur segala dasar
dan polisi kerajaan yang difikirnya bertentangan dengan aspirasi rakyat. Namun hingga kini
pertubuhan ini tidak memberi impak besar dan pengaruh sebagaimana yang diharapkan.

Nasib Ku Li kini berada ditangan Datuk Seri Najib Razak sebagai Presiden parti. Banyak faktor
yang perlu diambil kira. Sekiranya BN mengambil keputusan memilih calon lain bagi menggantikan
Ku Li, maka kemungkinan besar Gua Musang bukan lagi kerusi milik BN.

Tetapi jika Ku Li kekal disitu masalah lain pula timbul yang sudah menjadi rahsia umum dengan
pendirian anak raja itu yang berlainan dengan pucuk pimpinan UMNO.

Dan jangan lupa selain Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ku Li adalah salah seorang calon Perdana Menteri.
Beliau masih mempunyai cita-cita dan impian setelah kecewa dari percaturan politik Tun Dr. Mahathir
dan Tun Musa Hitam pada 1981.

Isnin, 5 Mac 2012

Kelemahan Khairul



Khairul Fahmi lemah bola tinggi

DALAM perlawanan semalam
Kelantan menewaskan Negeri
Sembilan 2-1 di Kota Bharu.

Pasukan tuan rumah bernasib baik
kerana gol kemenangan itu di
perolehi dalam masa kecederaan;
minit 93.

Jelas gol jaringan Negeri Sembilan
berpunca dari kelemahan Khairul
menangkap kemas bola tinggi. Ini
diambil kesempatan oleh Effa Owona
mengumpan pada Shakir Ali menanduk
masuk menerjah jaring.

Kelemahan sebegini bukanlah kali
pertama melibatkan Khairul Fahmi.
Semasa mewakili pasukan Olimpik
negara menentang Jepun yang lalu situasi
sama berlaku dengan menghasilkan gol bagi pihak lawan.

Khairul perlu berhati-hati dengan prestasinya akhir-akhir ini. Beliau adalah penjaga
gol utama negara dan antara yang terbaik di Asia. Sekiranya tidak diperbaiki kelemahan
ini kemungkinan kedudukannya sebagai penjaga gol utama negeri dan kebangsaan akan
tergugat.

Dalam pasukan Kelantan ada dua penjaga gol muda yang berpotensi yang boleh mengancam
posisinya menjaga pintu gol. Di peringkat kebangsaan pula penjaga gol Negeri Sembilan,
Farizal Marlias adalah saingannya paling sengit untuk menjadi penjaga gol utama.

Prestasi Khairul kini tidaklah seburuk mana. Beliau masih lagi yang terbaik. Tetapi
kesilapan-kesilapan mudah seperti dalam perlawanan Negeri Sembilan semalam tidak
harus berulang.

Semua peminat masih menaruh harapan padanya untuk terus kekal sebagai penjaga gol
terbaik di peringkat negeri mahu pun kebangsaan.









Nik Aziz kena kelentong

DATUK NIK Aziz Nik Mat pernah
membuat kenyataan terbuka pada
Datuk Seri Anwar Ibrahim sama ada
menarik balik kenyataannya atau saman
Wall Street Journal berkaitan isu
keselamatan Israel.

Tetapi setelah Anwar berjumpa
dengannya dan memberi penjelasan,
mereka berdua telah bersetuju untuk
tidak bersetuju dalam pendirian masing-
masing.

PAS tetap dengan pendiriannya dengan menganggap Israel sebagai satu entiti haram. PKR pula
mengambil sikap terbuka dan liberal dalam hubungan dengan negara Yahudi itu. Selepas Anwar
bertemu dengan Nik Aziz, soal menarik balik kenyataan dan saman sudah tidak timbul lagi.

Pada hal sebelum itu kenyataan Nik Aziz seolah memberi kata dua dan mempunyai nada yang
tegas. Namun dengan hanya Anwar berbisik ditelinga Tok Guru itu semua masalah selesai.
Inilah kelebihan yang pada Anwar.

Tidak pasti apakah Anwar juga mampu mempengaruhi tokoh seperti Dr. Yusuf Qardawi dan
pemimpin Hamas, Khalid Meshal ? Kalau dua tokoh antarabangsa itu boleh dipengaruhinya,
maka apalah sangat Nik Aziz yang pernah digelarnya sebagai ulama terompah.

Nik Aziz adalah seorang pemimpin yang mempunyai pendirian tegas dan tidak mudah berkompromi
dalam isu-isu dasar. Tetapi dalam isu ini beliau mengalah dengan Anwar.


Ahad, 4 Mac 2012

Anwar Ibrahim



Anwar Ibrahim hanya fokus jadi Perdana Menteri

SETELAH kecewa gagal menjadi
Perdana Menteri menggantikan Dr. Mahathir,
Anwar Ibrahim terus mengidam jawatan
nombor satu negara itu.

Beliau seolah tidak dapat menerima hakikat
bahawa jawatan tersebut boleh terlepas
dari tangannya. Semua umum mengetahui
yang beliaulah bakal pengganti Dr. Mahathir.

Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan dan sokongan
secara terbuka oleh Dr. Mahathir terhadapnya.
Semasa Anwar menjadi orang no. 2 dalam parti
dan negara, beliau hanya menunggu saat dan ketika
sahaja untuk mengambilalih jawatan no.1.

Tetapi segala-galanya musnah dan hancur berkecai
disaat akhir bila kes berkaitan peribadinya terbongkar.
Bukan hanya kes ini menjadi faktor tersingkirnya
beliau dari UMNO; malah sikapnya yang menikam
dari belakang bagi menjatuhkan Dr. Mahathir sebagai Presiden parti.

Antara tindakannya menikam Dr. Mahathir dari belakang ialah menyusun
dan memastikan semua Ketua-ketua Bahagian parti adalah dari para
penyokongnya. Dan paling ketara ialah dengan mengarah Ketua Pemuda
UMNO pada masa itu - Datuk Zahid Hamidi- mengkritik dan menyindir
Presiden parti dalam ucapannya berkenaan dengan kronisme dan nepotisme
dalam parti. Ini diakui sendiri oleh Zahid bahawa Anwar telah menyuruhnya
berbuat demikian.

Namun segala tuduhan tersebut telah dijawab dan disanggah Dr. Mahathir
keesokkannya dengan mendedahkan semua senarai nama orang yang menerima
segala projek yang disifatkan sebagai kroni oleh Anwar sebagaimana dalam
isi ucapan Zahid Hamidi itu. Yang jelas semua senarai tersebut adalah terdiri
dari rakan-rakan dan penyokong Anwar sendiri.

Tanpa mengira kes yang melibatkannya di mahkamah, Anwar telah menunjukkan
bahawa beliau tidak jujur dengan Dr. Mahathir sebagaimana beliau sering
memuji dan memberi sokongan pada orang yang dipanggil mentor dalam
ucapan-ucapannya dikhalayak. Namun dibelakang beliau melakukan sebaliknya.

Anwar lupa orang yang telah memberi ruang untuknya dalam UMNO serta membantunya
sehingga menjadi orang no 2 dalam kerajaan adalah Dr. Mahathir. Seorang bekas
Timbalan Perdana Menteri pernah berusaha untuk menyingkirkannya dari kabinet
kerana tidak senang dengan populariti Anwar. Namun kuasa dan peranan yang
dimainkan Dr. Mahathir terus mempertahankannya sehingga ia terlalu berkuasa
ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Allah Maha Kaya kerana semua perkara banyak bergantung pada niat. Niat yang
baik , Insya Allah selamat dan terkabul segala hasrat. Takdir telah menentukan
bahawa beliau tidak mempunyai rezeki untuk menjadi Perdana Menteri. Dia
sepatutnya reda dengan ketentuan itu. Dan bermuhasabah diri tentang apa kesilapan
dan kelemahan diri beliau yang telah lalu.

Kini Anwar begitu taksub dan sanggup melakukan apa sahaja bagi memenuhi
cita-citanya menjadi seorang Perdana Menteri. Kata orang bijak pandai, berhati-hatilah
dengan orang yang mengejar jawatan !

Yang paling malang ialah rakyat massa telah diheret sama bergelumang bagi
memenuhi hasratnya yang tidak mudah padam.




             =======================================












Jumaat, 2 Mac 2012




Sentuhan "The Special One"

JOSE MOURINHO telah kelihatan
berada di kota London dan ini telah
menguatkan lagi spekulasi yang beliau
akan kembali ke Liga Perdana England.

Setakat ini tiga buah kelab telah dikaitkan
dengan Mourinho yang telah menggelarkan
dirinya sebagai "The Special One". Ketiga
kelab tersebut kebetulan pula kini bermasalah.

Pengurus Tottenham Hotspurs, Harry Rednapp,
dikatakan akan meninggalkan White Hart Lane
bagi mengisi jawatan Pengurus kebangsaan England yang kini dipangku oleh Stuart Pearce. Harry
dijangka akan berhijrah dihujung musim ini. Manakala Arsenal pula yang sudah tidak memenangi
apa-apa kejuaraan selama 10 tahun kebelakangan ini sedang mencari calon pengganti Arsene Wenger.

Di Stamford Bridge, bekas pasukan yang pernah dibimbingnya kini berada ditangga keempat Liga;
satu kedudukan yang mengecewakan pemiliknya Roman Abramovich dan mengancam jawatan
Andre Villas Boas sebagai pengurusnya.

Apakah benar Mourinho akan kembali ke England ? Apa yang pasti beliau kini gembira berada
di Santa Barnebu dan sedang mengukir sejarah membawa Real Madrid menjuarai La Liga Sepanyol
mengatasi musuh ketatnya Barcelona buat kali pertama dalam masa 10 tahun kebelakangan ini.

Walaupun Mourinho kecewa kerana tewas pada Barcelona dalam Piala Raja Sepanyol baru lalu,
namun beliau tentu berbangga dapat menebus kekecewaan itu dengan menjuarai La Liga dengan
kelebihan 10 mata memisahkan dengan musuh tradisinya Barca.

"The Special One" memang satu gelaran yang tepat untuknya. Kerana sentuhannya kelab-kelab yang
pernah dibimbingnya mencapai dan menikmati kejayaan. Bermula dengan Porto, Chelsea, Inter Millan
dan kini Real Madrid; semuanya telah mencatat sejarah. Dari Piala Juara-Juara Eropah, Piala Liga
dan sebagainya telah dikecapi Mourinho. Barangkali, hanya Piala Dunia belum lagi dimilikinya !

Seluruh dunia bolasepak sedang memerhati langkah Jose Mourinho seterusnya. Dan yang pasti
apakah sentuhannya akan " menjadi" untuk kesekian kalinya.