Khamis, 10 September 2015

Tan Sri Muhyiddin Yassin Mesti Berani

MAJLIS Tertinggi Umno mengadakan mesyuarat pertama kalinya selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin dipecat jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ia tertangguh sebelum ini bagi meredakan ketegangan ekoran pemecatan itu.

Selepas mesyuarat kelihatan tiada apa yang besar berlaku. Najib menyatakan Muhyiddin tetap akan terus bersama dan setia dengan Umno. Begitu juga kedudukan Datuk Seri Shafie Apdal yang turut dipecat dari kabinet. Ertinya kedua tokoh ini Timbalan Presiden dan Naib Presiden akan terus bersama Presiden.

Najib dan Muhyiddin...reda sementara waktu

Sebelum dipecat dari kabinet Muhyiddin dan Shafie lantang mengkritik secara terbuka isu 1MDB dan duit derma RM2.6 billion yang dimasukkan ke dalam akaun Najib.

Tetapi lihat pada suasana selepas mesyuarat MT Umno itu semua pihak seolah berkompromi menyapu semua isu yang timbul itu dibawah permaidani - sekurang-kurangnya untuk sementara waktu.

Muhyiddin sering berkata beliau adalah ahli Umno tulen. Terbaru beliau kata beliau adalah ahli Umno totok.

Tidak pasti apakah langkah politik Muhyiddin seterusnya. Dia perlu sedar dia adalah Timbalan Presiden parti. Ertinya dia adalah orang nombor 2 parti. Dia ada peranan dan tanggungjawab besar pada para ahli.

Muhyiddin perlu tegas dan jelas dalam segala tindakan dan pendiriannya. Buat masa sekarang mesej dari langkah Muhyiddin itu agak kabur dan berbelit-belit.

Satu masa dia mengkritik Presiden secara terbuka. Satu masa lain dia berkata akan bersama membantu Presiden. Apakah Muhyiddin masih sayangkan jawatannya dalam parti ?

Sekiranya dia mahu membantu Presiden bermakna sikapnya sebelum ini telah tersilap langkah. Dan dia menyesal. Tetapi jika dia mahu menjalankan tugasnya sebagai ahli Umno tulen dan totok seperti diucapnya dia perlu berani bertindak tanpa rasa takut hilang jawatan nombor dua parti.

Dalam konteks ini Muhyiddin mesti jelas apa yang betul untuk parti dan kehendak ahli terutama dari akar umbi.

Muhyiddin melambai tangan pada para penyokongnya selepas mesyuarat MT

Apa yang jelas selepas mesyuarat MT Umno itu Najib telah berjaya menguasai keadaan dalam parti. Dia boleh dianggap sebagai pemenang dalam isu pemecatan Muhyiddin itu.Sekurang-kurangnya Najib telah berjaya meredakan ketegangan.

Namun perlu diingat Najib akan pastikan Zahid Komedi bakal mengisi jawatan Timbalan Presiden parti. Dengan suasana dalam parti begini, Muhyiddin tidak akan mampu mempertahan jawatannya sebagai orang nombor dua parti.

Walaupun sebagai Timbalan Presiden parti, Muhyiddin telah kehilangan kuasa dan segala kemudahan untuk bergerak dalam parti. Sedangkan Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri mempunyai kuasa penuh dan mutlak untuk bergerak berkempen dan sebagainya.

Sejarah lalu membuktikan ketika Tun Musa Hitam meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri tetapi kekal sebagai Timbalan Presiden Umno tidak mampu mempertahan jawatannya bila bertanding menentang Tun Ghafar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden parti.

Muhyiddin perlu menentukan kedudukannya. Dia sayang parti atau jawatannya sekarang ?

Kalau dia sayang jawatannya dia akan menerima nasib seperti Tun Musa Hitam.

Kalau dia sayang parti dia perlu melakukan sesuatu dengan tidak membiarkan Presiden menguasai keadaan. Dia perlu bertindak sebelum PRU 14. Kerana selepas PRU 14, sekiranya Najib masih berkuasa beliau bukan lagi Timbalan Presiden Umno.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan