Jumaat, 20 Jun 2014

Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak akan jadi Perdana Menteri

TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga kini telah kelihatan sudah tidak berselera lagi untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Suasana dan perkembangan politik tanahair setakat ini tidak memberi sebarang tanda atau isyarat yang memungkinkan beliau bakal mengambil alih jawatan PM dalam masa terdekat atau pun selepas 2018.

Salah satu faktornya usia; Muhyiddin, 67 tahun lebih tua dari Najib, 61 tahun. Tambahan lagi, walau pun menjawat sebagai Timbalan Perdana Menteri; Muhyiddin hanya diberi peranan sebagai Menteri Pendidikan dalam kabinet.
Tan Sri Muhyiddin Yassin

Sedangkan kementerian lain yang dianggap lebih utama dan penting seperti Kementerian Dalam Negeri, Pertahanan dan Kewangan diserahkan kepada pemimpin lain yang lebih junior.

Dalam sejarah kabinet negara ini, Timbalan Perdana Menteri tidak pernah diberi porfolio Pendidikan. Allahyarham Tun Hussein Onn semasa menjadi TPM, beliau adalah Menteri Kewangan dalam kabinet Allahyarham Tun Razak. Begitu juga semasa Tun Dr Mahathir sebagai TPM kepada Hussein Onn, beliau memegang jawatan sebagai Menteri Perdagangan dan Perindustrian.

Bila Dr Mahathir menjadi PM, TPM Tun Musa Hitam diberi portfolio Menteri Dalam Negeri. Selepas Tun Musa letak jawatan dan diganti oleh Allahyarham Tun Ghafar Baba - Tun Ghafar diberi peranan sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Begitulah seterusnya selepas Tun Ghafar, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai TPM adalah merangkap Menteri Kewangan. Setelah Anwar dipecat dan digantikan dengan Tun Abdullah Ahmad Badawi; sekali lagi TPM Abdullah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.

Bila Pak Lah pula jadi PM, beliau melantik Najib sebagai TPM merangkap Menteri Pertahanan. Dan Najib setelah mengambil alih jawatan PM telah menyerahkan kementerian Dalam Negeri dan Pertahanan kepada dua tokoh Naib Presiden Umno. Manakala kementerian Kewangan dipegangnya sendiri.

Ini tidaklah bererti kementerian Pendidikan tidak penting. Namun sebagai TPM, Tan Sri Muhyiddin sekurang-kurangnya ditempatkan di kementerian Dalam Negeri. Atau pun paling tidak sebagai Menteri Pertahanan.

Berdasarkan kenyataan di atas termasuk faktor usia serta suasana politik dalam Umno sekarang, peluang Tan Sri Muhyiddin menjadi PM ke 7 adalah tipis sekali.

Kemungkinan besar sejarah akan berulang buat kesekian kalinya di mana Muhyiddin akan menjadi Timbalan Perdana Menteri yang tidak akan jadi Perdana Menteri.

Musa Hitam, Tun Ghafar dan Anwar Ibrahim sudah tercatat dalam sejarah sebagai Timbalan Perdana Menteri yang tidak berpeluang menjadi Perdana Menteri.

Apakah Tan Sri Muhyiddin akan turut jejak mereka dan menjadi tokoh yang ke empat ?


Tiada ulasan:

Catat Ulasan