Rabu, 18 September 2013

Tengku Razaleigh : Jalan Terakhir

TENGKU RAZALEIGH HAMZAH atau Ku Li pasti akan bertanding jawatan Presiden Umno kali ini walaupun sehingga sekarang beliau tidak mengisytiharkan dan mengesahkan hasratnya itu.

Setelah pernah tewas pada Dr Mahathir Mohamad dan kegagalannya memperolehi kuota yang cukup untuk bertanding melawan Abdullah Ahmad Badawi bagi jawatan Presiden parti; Ku Li tidak akan melepaskan peluang kali yang ketiga, apatah lagi sistem kuota sudah hapus dan sesiapa bebas untuk bertanding.
Ku Li dan Dr Mahathir

Ku Li sebagai politikus veteran Umno yang sebaris dengan Dr Mahathir, Tun Musa Hitam dan Allahyarham Tun Ghaffar Baba sentiasa mengira bahawa beliau adalah antara calon Perdana Menteri sejak zaman Tun Razak lagi.

Tun Razak adalah pemimpin yang bertanggungjawab membawa Ku Li ke dalam politik Umno dan negara. Semua orang tahu Tun Razak memang melatih dan mempersiapkan Ku Li yang berasal dari Istana Raja sebagai pemimpin pelapis negara.

Tidak hairanlah Ku Li dalam usia muda telah pun menduduki salah satu kerusi dari tiga Naib Presiden Umno ketika era Tun Razak. Dua lagi Naib Presiden ialah Tun Ghaffar dan Dr Mahathir. Ku Li merupakan Naib yang paling kanan.

Bila Tun Razak meninggal dunia, Tun Hussein Onn mengambil alih sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno. Dengan itu kerusi nombor dua parti dan negara kekosongan dan perlu di isi dari kalangan tiga Naib Presiden parti.

Dalam hal ini Ku Li sebagai Naib yang paling kanan mengira dia lah calon Timbalan Perdana Menteri merangkap Timbalan Presiden parti. Tun Ghaffar ketika itu bukan menteri kabinet dan dikira tidak menepati syarat. Manakala Dr Mahathir adalah Naib yang ketiga.

Tetapi kerana faktor usianya masih muda ketika itu, Tun Hussein telah memilih Dr Mahathir sebagai Timbalannya. Ku Li menerima keputusan itu dengan baik kerana dia tahu ia masih berpeluang dan harapan menggantikan Dr Mahathir atau pun menjadi orang nombor dua di masa hadapan.

Namun bila Dr Mahathir menggantikan Tun Hussein, dia tidak memilih Timbalannya sebagaimana Tun Hussein memilihnya di antara tiga Naib Presiden. Dr Mahathir tidak buat perlantikkan bagi mengisi kerusi nombor dua itu. Sebaliknya dia menyerahkan pada ahli Umno membuat pilihan melalui pertandingan kerusi Timbalan Presiden Umno.

Walaupun Ku Li agak kecewa dengan perkembangan itu namun dia percaya dia lah paling layak kerana menduduki sebagai Naib Presiden Umno paling kanan berbanding dua lagi calon; Tun Ghaffar dan Tun Musa Hitam, Naib kedua dan ketiga.

Ku Li ditentang satu lawan satu dengan Musa dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden Umno pada 1981. Tun Ghaffar tidak masuk bertanding. Dalam pertandingan itu Tun Musa berjaya menewaskan Ku Li dengan majoriti 254 undi dari 1,200 perwakilan yang mengundi.
Tun Musa dan Ku Li

Dari kekalahan itulah bermulanya kemalapan cahaya politik Ku Li dalam arus perdana politik Umno dan negara. Sehinggalah Tun Musa meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana berseliseh faham dengan Dr Mahathir - mereka berdua ( Ku Li-Musa) bergabung pula  menentang Dr Mahathir.

Sejak Ku Li kalah dengan Tun Musa sebanyak dua kali dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti dan gagal menjatuhkan Dr Mahathir di jawatan Presiden; hasratnya sejak dulu ingin menjadi Perdana Menteri tidak pernah padam.

Kali ini dia hampir pasti mencabar Najib anakanda Tun Razak yang telah berjasa padanya dan mengheretnya dalam politik Umno. Apakah Ku Li akan berjaya mencapai cita-citanya setelah hampir lima dekad mengharungi sepak terajang politik Umno khususnya ?

Apa pun bukan mudah dia mahu menewaskan Najib pada jawatan Presiden. Persoalan paling utama dan penting; apakah Ku Li berkemampuan mengembalikan kekuatan dan maruah Umno yang sudah terjejas teruk dengan pelbagai masalah dan cabaran ?

Moga-moga usahanya ini adalah yang terakhir dan menemui jalan titik.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan