Jumaat, 20 September 2013

FAM perlu pilihan tepat

FAM dilaporkan telah menerima lebih 30 permohonan dari para jurulatih tempatan dan luar bagi mengisi jawatan jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang akan tamat kontrak pada hujung tahun ini.

Dikatakan 90 peratus permohonan itu datang dari para jurulatih luar dan hanya 10 peratus jurulatih tempatan. Antara nama-nama besar yang disebut ialah Phillippe Troussier, Radojko Avramovic, Robert Alberts dan seorang bekas pembantu Rafael Benitez di kelab Liverpool.
Phillippe Troussier

FAM belum membuat keputusan dan juga tidak menghadapi masalah besar jika ingin mendapatkan khidmat mereka tersebut yang dikatakan memerlukan belanja yang besar.

Troussier dari Perancis adalah bekas jurulatih Jepun yang membantu negara itu menjuarai Piala Asia 2000 dan berjaya ke pusingan kedua Piala Dunia 2002. Khidmatnya dikatakan bernilai RM 5 juta setahun.

Manakala Avramovic dari Serbia sudah tidak asing lagi sebagai bekas jurulatih Singapura dari 2003-2013 dan dianggap jurulatih paling berjaya menaikkan imej pasukan Lion itu dengan menjuarai Piala AFF Suzuki sebanyak tiga kali sepanjang khidmatnya.

Robert Alberts pula telah berada di negara ini sejak zaman semi pro diperkenalkan dan membawa kejayaan pada pasukan Kedah menjuarai Piala Malaysia pada tahun 80an. Dia pernah memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Teknikal FAM sebelum menjadi jurulatih Sarawak hingga sekarang.

Kali ini FAM perlu membuat pilihan yang tepat agar dapat memastikan pasukan Harimau Malaya mendapat sentuhan bagi memulihkan imej yang tercalar dan prestasi yang tidak konsisten.

Tidak perlu kriteria nama besar sebagai faktor utama pemilihan. Sebaliknya sejarah lampau perlu dijadikan teladan seperti yang berlaku pada 1994 di mana FAM telah mengambil Claude Le Roy dari Perancis sebagai jurulatih.
Claude Le Roy

Le Roy mempunyai latar belakang hebat sebagai bekas jurulatih Cameroon dan beberapa kelab Eropah. Namun khidmatnya singkat dan terpaksa meletakkan jawatan ekoran tekanan dan kritikan dari para peminat kerana gagal menghasilkan keputusan positif pada pasukan kendaliannya.

Begitu juga Troussier dengan trek rekodnya di Jepun. Belum pasti dia bakal berjaya di sini. Secara mudah calon yang ingin mengisi jawatan ini mestilah seorang yang arif dan memahami bolasepak negara ini dan khasnya rantau Asia Tenggara.
Radojko Avramovic

Dalam konteks ini, Avramovic dan Alberts lebih dekat dan mengetahui segala aspek termasuk para pemain tempatan yang terlibat dalam Liga M. Lebih-lebih lagi Avramovic sudah masak dengan corak bolasepak tempatan dan rantau Asean.

Tambahan sentuhannya selama 10 tahun di Singapura dan kejayaan yang diraihnya bersama Lions telah terbukti.

Cuma yang sensitifnya beliau berasal dari Serbia dan bekas jurulatih musuh tradisi di seberang Tambak !


Tiada ulasan:

Catat Ulasan