Rajagopal dalam zon bahaya
RASA resah para penyokong Harimau Malaya termasuk Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tentang persediaan pasukan itu mempertahankan Piala AFF hujung bulan ini menarik tumpuan ramai.
Semuanya berpunca dari dua kekalahan dalam perlawanan persahabatan dengan Vietnam 0-1 dan Thailand 0-2. Kedua perlawanan itu berlangsung ditempat lawan.
Dengan kejohanan sebenar semakin hampir dan tinggal beberapa hari saja lagi, jurulatih kebangsaan Datuk K. Rajagopal kelihatan seperti masih tidak mempunyai senarai kesebelasan terbaik. Dari beberapa perlawanan persahabatan terdahulu dia masih bereksperimen dan mencuba para pemainnya.
Teguran Tengku Abdullah pada Rajagopal tentang betapa perlunya dia membarisi kesebelasan utamanya dalam perlawanan persahabatan bagi memantap dan keserasian para pemain menjelang perlawanan sebenar ada benarnya.
Seperti dalam perlawanan persahabatan dengan Vietnam di Kuala Lumpur baru lalu di mana kita tewas 0-2. Sebelum ini pasukan kebangsaan tidak pernah tewas dengan Vietnam di tempat sendiri. Tetapi dalam perlawanan itu jelas Rajagopal silap percaturan dengan menurunkan dua pemain yang telah merosakkan rentak pasukan serta para pemain lain.
Dua pemain tersebut ialah Zaquan Adha dan Christie Jeyaselan. Zaquan sebenarnya sudah lama tidak bersama dalam pasukan Harimau Malaya kerana kecederaan. Jelas dia belum menemui rentaknya yang sebenar. Manakala Jeyasalan pula langsung tidak berpengalaman. Yang peliknya Rajagopal hanya mengeluarkan mereka berdua dipertengahan separuh masa kedua.
Setelah kedua pemain tersebut dikeluarkan barulah ada sedikit perubahan dalam corak serangan pasukan negara. Namun ia sudah terlambat bagi mengejar Vietnam yang telah pun mendahului 2-0.
Dalam perlawanan terbaru pula nampak Rajagopal mencuba pula pemain dari Pahang, R. Gopinathan di bahagian sayap. Kes Gopinath dan Jeyaselan adalah hampir sama. Keduanya masih baru dan tidak berpengalaman.
Barangkali, Rajagopal mempunyai alasannya tersendiri dengan mencuba beberapa orang pemain. Tetapi dengan kejohanan beberapa hari saja lagi dan dia mempunyai misi besar untuk mempertahankan kejuaraan AFF yang dimenangi pada 2010 - bereksperimen adalah sesuatu yang salah.
Dengan ada dua lagi perlawanan persahabatan menentang Hong Kong dan Bangladesh sebelum perlawanan pertama dengan Singapura pada 25 November ini, Rajagopal seharusnya sudah ada senarai kesebelasan utama. Dan anak buahnya perlu menyakinkan pada para peminat dengan persembahan mantap serta menang dengan bergaya pada dua perlawanan persahabatan tersebut.
Rajagopal juga sedar dia sendiri berada dalam zon bahaya sekiranya Harimau Malaya gagal memberi persembahan menarik. Ini mungkin tugasnya yang terakhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan