Selasa, 27 Disember 2011

Kepentingan majoriti dua pertiga

ADA pandangan mengatakan bahawa kerajaan hari ini tidak perlu terlalu fokus pada kelebihan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 ini.

Apa yang penting ialah kemenangan dan seterusnya mampu membentuk kerajaan pusat dengan kelebihan kerusi yang selesa.

Apa pun pendapat, kelebihan majoriti dua pertiga amat penting bagi sesebuah kerajaan bagi melicinkan dan memudahkan ia mentadbir dan mengurus negara.

Sesebuah kerajaan dengan mempunyai majoriti kecil akan menghadapi berbagai halangan dan masalah. Ini termasuklah kemungkinan ugutan ada ahli yang akan melompat keluar parti dan sebagainya.

Sekiranya ini berlaku maka kerajaan tidak akan ada kerja lain selain dari menumpu kemungkinan itu berlaku. Dan kalau kerajaan yang sedia ada itu mempunyai kerusi lebih sedikit dari pembangkang, maka ia akan tumbang bila-bila masa.

Dengan majoriti yang besar kerajaan dapat melaksanakan apa sahaja tanpa perlu bimbang dengan ugutan ahli yang berpaling tadah dan ia boleh fokus pada perancangan membangunkan negara. Apa yang lebih penting kerajaan yang lemah adalah tidak baik bagi sebuah negara yang berbilang kaum dan agama.

Dalam konteks ini bukan bermakna kita tidak memerlukan pembangkang sama sekali. Dalam sistem demokrasi kehadiran pembangkang adalah penting dan diperlukan. Kerana dengan adanya sejumlah pembangkang yang sewajarnya perlu sebagai "check and balance" pada segala tindakan kerajaan dalam mentadbir negara.

Masalahnya ialah bila pembangkang terlalu kuat dan kerajaan pula dalam kedudukan yang lemah adalah tidak baik buat rakyat dan negara keseluruhannya. Akan berlaku banyak politiking yang tidak kesudahan yang akhirnya segala program dan kemudahan untuk rakyat terjejas dan terabai.

Jadi sebuah kerajaan yang dibentuk mesti kuat dan teguh dan dalam masa yang sama mempunyai barisan pembangkang yang mampu memain peranan sebagai "watch dog" memantau segala tindakan kerajaan.

Tidak ada pembangkang langsung pun tidak baik kerana kemungkinan kerajaan terlalu berkuasa dan ini membuka ruang berlakunya penyalahgunaan kuasa dan ketirisan dalam semua sektor.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan