Rabu, 21 Disember 2011

Kelantan lawan Persebaya Indonesia



BAHANG panas final bola sepak antara Malaysia dan Indonesia di Sukan SEA, Jakarta baru lalu belum lagi reda dan kini pertemuan dua Juara Liga dua negara akan bertembung Jumaat ini di Kota Bharu dalam perlawanan persahabatan secara timbal balik.

Kelantan sebagai Juara Liga M 2011 akan menentang Juara Liga Indonesia, Kelab Persebaya. Perlawanan tahunan ini yang julung kali diadakan adalah hasil ilham Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan rakan sejawatannya dari Indonesia, Dr. Andi Alifian Mallarangeng.

Selain untuk menjalin persahabatan kedua negara ia juga sebagai medan ujian dan pendedahan pada kedua pasukan bagi meningkatkan mutu persembahan mereka agar dapat bersaing ke peringkat lebih tinggi.

Dalam perlawanan ini juga diharap para penyokong The Red Warriors akan mempamerkan sikap dan semangat kesukanan yang tinggi dan berdisiplin sepanjang perlawanan berlangsung.

Bagi jurulatih Kelantan, Peter Butler, perlawanan ini adalah penting sebagai persiapan menghadapi musim baru untuk mempertahankan kejuaraan Liga dan merampas kembali Piala Malaysia.

Perlawanan kedua akan diadakan di Surabaya pada 28 Disember depan. Kedua-dua perlawanan akan disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro 801.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan