Jumaat, 17 April 2020

Covid 19 : Andainya PM Ke 7 Bertindak Lebih Awal

PM ke 7 Tun Dr Mahathir berkata China dan Korea Selatan berjaya mengatasi wabak Covid 19 kerana rakyat mereka lebih berdisiplin. Rakyat kedua negara tersebut patuh dan mengikuti segala arahan kerajaan yang diberikan.

Tambahnya lagi, berbeza dengan negara Amerika dan Eropah yang teruk diserang Covid 19 kerana mereka kurang disiplin. Itulah antara kenyataan Dr Mahathir dalam wawancara live dalam Facebook nya.

Begitulah stail PM ke 7 yang bijak menyalahkan orang lain dan menuding jari dalam segala perkara. Dia sahaja yang betul. Orang lain semua salah.

Namun begitu ada yang dia cakap itu betul. Tetapi bukan semuanya betul.

Sekiranya kita tidak lupa pada Januari 2020 ketika Dr M masih PM ke 7, wabak Covid 19 sedang menyerang hebat di China, terutamanya di Wuhan. Ketika itu virus sedang memuncak di wilayah tersebut dan di tempat-tempat lain belum lagi dijangkiti.

Disebabkan jumlah kematian yang tinggi di Wuhan, badan WHO telah mengeluarkan arahan pada semua negara agar menyekat kemasukan pelancong China.

Tetapi di Malaysia ketika itu masih terus menerima kemasukkan pelancong dari China tanpa apa-apa sekatan dan larangan.

Dilaporkan ramai pelancong China terus tiba di Langkawi dan Johor melalui Singapura.

Apabila pihak media bertanya pada PM ke 7 dalam isu ini dan larangan WHO itu, dia menjawab, " Tiada sekatan. Lagi pun takkan kita nak letak mereka dikandang lembu?"...

Tetapi terbukti kes pertama positif Covid 19 di Malaysia adalah bermula bila dikesan tiga pelancong China telah memasuki Johor dari Singapura.

Tidak pasti bagaimana tiga warga China tersebut boleh terlepas dari pihak berkuasa kedua negara.

Kita tidak berhasrat menyalahkan PM ke 7  dalam isu ini. Tetapi ini menunjukkan pihak berkuasa dibawah perintah PM ke 7 ketika itu tidak ambil serius larangan dan amaran yang dikeluarkan WHO. Depa mengambil sikap tidak apa. Termasuklah Menteri Pelancongan masa itu adalah Datuk KETAPI !!

Seandainya PM ke 7 yang lebih berdisiplin itu dan selalu menganggap dia sahaja yang betul dalam semua perkara mengambil tindakan cepat ekoran nasihat WHO itu - apakah Covid 19 di Malaysia dapat ditanggani lebih berkesan dari merebak ?

Tidak payah lah nak salahkan puak Tabligh semata-mata. Kerana mereka adalah kluster yang kedua.

Kluster yang lebih awal adalah para pelancong dari China.





Khamis, 26 Mac 2020

Covid-19 : Pak - Pak Menteri Bila Nak Berkorban?

Akibat virus Covid-19 seluruh dunia berkurung. Di negara kita arahan hanya duduk di rumah bermula 18 hingga 31 March. Dan kini dilanjutkan sehingga 14 April.

Tidak pernah dalam sejarah peristiwa sebegini berlaku yang menyusahkan semua orang. Bukan sahaja ditakuti serangan virus itu boleh meragut nyawa malah kehidupan manusia seharian juga turut terganggu.

Syarikat kapal terbang mungkin bangkrap. Para pedagang impot ekspot hampir lumpuh. Apa lagi para peniaga kecil, pemandu teksi, nelayan, petani dan sebagainya hilang mata pencarian. Lebih mencengkam lagi seluruh sempadan negara ditutup bagi mencegah penularan Covid-19 yang membunuh itu.

Langkah kerajaan memberi bantuan dan kemudahan pada rakyat bawahan disambut baik. Termasuk kelonggaran pada para peminjam bank. Bantuan tunai dan sebagainya.

Semoga segala bentuk bantuan ini akan menyeluruh lapisan masyarakat. Bimbang sekiranya ada golongan yang tercicir. Adalah pasti golongan rakyat bawahan yang kais pagi makan pagi yang perlu diutamakan. Mereka semua tiada simpanan. Jika tidak bekerja atau berniaga mereka tidak ada pendapatan.

Cuma apa yang terlintas dalam fikiran saya, kenapa sampai sekarang Pak-Pak Menteri yang berpuluh-puluh orang itu belum lagi bersuara sekurang-kurangnya mengambil initiatif bersedia memotong 10 peratus dari gaji mereka sebagai sumbangan pada rakyat yang memerlukan.

Seperti kita maklum gaji setiap seorang daripada mereka mencecah puluhan ribu sebulan. Elaun sebagai wakil rakyat sahaja berbelas ribu. Itu pun belum dikira elaun etc.

Sampai hati mereka masih membisu. Tidak ada perasaan langsung dan prihatin nasib rakyat. Bagi lah sedikit pengorbanan dan sumbangan pada rakyat yang telah mengundi dan memilih kita.

Lebih-lebih lagi pada Pak-Pak Menteri dan wakil rakyat yang berkopiah, berjubah dan berjanggut. Jangan hanya pandai berkata-kata, manis dibibir mulut... Jangan hanya pandai meminta derma daripada rakyat pada waktu senang. Bila susah semua menikus... menyorot diri.

Kepada yang menjadi menteri, sumbanglah dari gaji itu. Tidak terkesan pun. Elaun wakil rakyat pun lebih dari mewah.

Fikirkanlah nasib rakyat bawahan yang hanya perlu menyuap mulut isteri, anak-anak dan keluarga mereka. Bukannya mereka mahu kemewahan pun.

Berkorbanlah sedikit... Takkan nak tunggu hari raya Haji kut....

Rabu, 11 Mac 2020

Anwar Ibrahim PM Ke 9 ?

Ada buku politik bertajuk,  "Anwar Ibrahim PM Ke 8". Apakah selepas ini akan terbit buku baru, " Anwar Ibrahim PM Ke 9" ??

Saja tanya... 

Selasa, 10 Mac 2020

Azmin Ali Dan Hamzah Zainuddin Pemimpin Kanan Muhyiddin

Dua orang arkitek atau perancang yang menghimpun semua wakil rakyat dari parti Bersatu, Umno, Pas, MCA dan MIC di hotel Sheraton - tujuan menubuhkan Perikatan Nasional, telah pun dilantik jawatan kanan dan penting dalam kabinet Muhyiddin.

Mereka berdua ialah Hamzah Zainuddin (Bersatu) dan Azmin Ali (ex PKR kini ahli Bersatu).

Azmin dilantik sebagai Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Hamzah sebagai Menteri Dalam Negeri (KDN)  - satu jawatan berpengaruh dan power dalam kabinet.

Menteri KDN...Hamzah Zainuddin

Dari PM pertama hingga PM ke 7, jawatan Menteri KDN hanya diberikan pada pemimpin kanan dalam parti. Setiap PM tidak melantik sebarangan. Sama ada PM sendiri memegang jawatan tersebut atau diserahkan pada orang yang dipercayainya.

Misalnya, pada era Najib, dia pilih Zahid Hamidi. Masa PH bawah Mahathir, dia pilih Muhyiddin. Kerana Muhyiddin adalah
Presiden Bersatu.  Manakala Mahathir adalah Pengerusinya.

Zaman Tun Hussein Onn PM ke 3, dia memilih Tan Sri Ghazali Shafie.

Ertinya setiap PM akan melantik orang kepercayaannya sebagai Menteri KDN. Jabatan KDN amat penting kerana ia melibatkan soal keselamatan dan ketenteraman negara.

Dr Mahathir sebagai PM ke 4 pernah memegang jawatan tersebut setelah timbalannya Musa Hitam meletakkan jawatan pada 1986.

Dalam konteks sekarang ini, Datuk Hamzah Zainuddin adalah orang kanan Muhyiddin selain daripada Azmin Ali sebagai Menteri Kanan.

Azmin Ali... Menteri Kanan

Kalau hendak dikira, Hamzah adalah bekas ahli Umno yang melompat masuk Bersatu. Dan dia tidak mempunyai apa-apa jawatan penting dalam parti Umno dan parti barunya, Bersatu.

Namun kini dia adalah orang penting dalam kabinet Muhyiddin. Dan dia adalah penggerak dan perancang utama bersama Azmin dalam langkah Sheraton yang menumbangkan kerajaan PH dibawah Dr Mahathir.

Ironinya, Hamzah dan Azmin merupakan penyokong tegar Dr Mahathir dan mahu PM ke 4 dan ke 7 itu meneruskan tugasnya sebagai PM sehingga habis penggal. Mereka berdua adalah musuh ketat Anwar Ibrahim dan tidak rela Mahathir menyerahkan kuasa pada Anwar.

Sebab itu setelah Mahathir hilang sokongan dari Umno dan Pas, mereka menyokong Muhyiddin sebagai PM ke 8 sebagai langkah menghalang laluan Anwar.

Hamzah mempunyai kes peribadi dengan Anwar di mahkamah lama dahulu. Kes tersebut telah pun diselesaikan diluar mahkamah.

Azmin pula tidak perlu dicerita lagi. Dia merupakan bekas orang kanan Anwar semasa era reformasi. Dan antara pengasas parti Keadilan.

Namun kini Hamzah dan Azmin merupakan tulang belakang PM ke 8.

Politik terus bergerak dan akan berubah setiap saat dan minit. Hari, minggu, bulan ia terus aktif.

Tiada siapa dapat menjangka perubahan dan apa perkembangan pada masa hadapan.

Dalam politik tiada musuh yang kekal dan sahabat yang abadi...






Khamis, 27 Februari 2020

Langkah Sheraton

Saya bukan seorang pemuja Anwar Ibrahim. Tetapi peristiwa di Sheraton - satu pakatan untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang yang digerakkan Azmin Ali telah menaikkan imej Anwar dari sudut politik.

Apa lagi terbukti langkah Sheraton itu menemui jalan buntu dan gagal. Malah telah memberi gambaran negatif pada Azmin dan Muhyiddin serta parti Bersatu khususnya.

Bukan itu sahaja ia juga telah mencemarkan imej Mahathir sebagai negarawan yang dihormati.

Usaha Azmin dan Muhyiddin telah memakan diri sendiri. Mahathir pula tersilap langkah dengan meletak jawatan PM dan pengerusi Bersatu.

Muhyiddin dan Azmin di Sheraton Hotel...mulakan langkah..

Tindakan Mahathir itu telah mengakibat keadaan negara kelam kabut dan tidak stabil. Rakyat bingung. Di bursa saham BSKL , RM 46 billion mengalir keluar sekelip mata !

Ironinya, Mahathir menerima perlantikan sebagai PM interim. Dan selepas itu pegang balik jawatan Pengerusi Bersatu. Memang pelik dan memalukan.

Sayugia, Mahathir perlu berundur terus dari semua jawatan politik. Saya kira ia sudah memadai dengan apa yang telah berlaku ekoran malam di Sheraton itu.

Cadangannya menubuhkan kerajaan perpaduan tanpa parti politik nampak cantik namun ia memperlihatkan segala kuasa berpusat ditangannya. Ini tidak sihat dalam sistem demokrasi.

Pokoknya kenapa dia letak jawatan PM sehingga politik negara huru hara dan kemudian cuba berkuasa kembali itu menjadi tanda tanya.

Jelas sekarang yang apa berlaku itu telah menjejaskan imejnya, Azmin Ali, Muhyiddin dan parti Bersatu khasnya.

Bukankah sehari sebelum Sheraton itu dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH telah sebulat suara bersetuju bahawa Mahathir akan terus jadi PM sehingga Sidang APEC November ini. Dan kemudian semua bersetuju menyerahkan pada Mahathir menentukan bila dia mahu serahkan kuasa pada Anwar Ibrahim.

Anwar juga menerima keputusan tersebut. Dan dia sanggup menunggu tempoh peralihan kuasa sebagai PM ke 8 diserahkan pada Mahathir.

Tup, tup.... esoknya Azmin dan Muhyiddin melancarkan langkah Sheraton yang menghimpun semua MP Umno dan Pas bagi menubuhkan gabungan baru dan mahu memintas Anwar Ibrahim.

Malangnya pakatan itu gagal. Ia bukan sahaja gagal malah mereka telah terjerat dengan jerat yang mereka pasang sendiri.

Mahathir, Muhyiddin dan Azmin ternyata tersilap langkah. Imej mereka juga telah tercalar dimata rakyat ekoran langkah pintu belakang itu.

Sekarang apa jadi?  Kerajaan runtuh. Semua hilang jawatan. Mahathir pula yang disokong majoriti ahli parlimen kini telah berkurangan sokongan dari sebelumnya.

Anwar Ibrahim mungkin sukar untuk menjadi PM ke 8. Namun apa yang berlaku semuanya berpunca dari Mahathir, Muhyiddin dan Azmin. Kini mereka bertiga menggigit jari.

Anwar pula kelihatan tenang dan seperti orang yang dikhianati.

Saya lihat apa yang berlaku ini telah merugikan masa depan politik Azmin dan Muhyiddin. Kerana mereka seperti watak pengkhianat dimata para pengundi.

Majlis PH telah sebulat suara menyokong dan menyerahkan pada Mahathir dalam isu peralihan kuasa.

Kenapalah mereka begitu rakus bertindak. Sekarang apa jadi?  Nasi dah jadi bubur.

Saya tidak fikir Azmin berani bertanding dan berdepan para pengundinya dalam Pru 15 nanti.


Sabtu, 22 Februari 2020

Terang Lagi Sahih Anwar Ibrahim Bukan PM Ke 8

Selepas selesai mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan semalam maka sudah jelas lagi terang, Anwar Ibrahim bukan calon Perdana Menteri ke 8.

Dalam sidang media setelah mesyuarat itu tamat, Dr Mahathir telah memperlihatkan bahawa dia telah berjaya menguasai sepenuhnya Majlis Presiden PH dan juga suasana sidang media tersebut sekaligus.

Antara kenyataan jelas, tegas lagi terang Dr Mahathir dalam sidang media itu bahawa tidak ada tarikh dan masa ditetapkan dalam isu peralihan kuasa. Ia hanya akan berlaku selepas sidang APEC November ini.

Dan yang paling kuat pukulan noktah pada Anwar adalah kenyataannya bahawa selepas APEC hanya beliau yang akan membuat keputusan seterusnya... bla.. bla...

Ironinya, Anwar yang berada disebelahnya menyokong penuh dan menyerahkan segalanya pada Dr Mahathir.

Menurut Dr Mahathir lagi, Majlis Presiden sebulat suara menyerahkan padanya menentukan dalam isu peralihan kuasa.

Anwar Ibrahim...Saya sabar...

Saya kira rumusannya selepas sidang media itu isu PM ke 8  telah sampai titik noktah. Full stop. Selepas ini tidak ada lagi yang bertanya bila Mahathir akan serah kuasa PM pada Anwar atau apakah Anwar akan mencapai impiannya menjadi PM ke 8.

Kerana Anwar Ibrahim tidak akan berjaya memenuhi impiannya sebagai PM ke 8. Ia tidak akan berlaku. Lebih-lebih lagi Dr Mahathir masih berada dikerusi tersebut.

Hanya mereka yang kena virus Corona sahaja masih percaya Anwar akan menggantikan Dr Mahathir.

Isunya amat mudah. Sekiranya Dr Mahathir mahu Anwar sebagai penggantinya, dia akan sebut sahaja bahawa Anwar akan mengambil alih kuasa daripadanya pada sekian, sekian..

Dan dia akan sebut nama Anwar dengan jelas satu persatu dan jawatan PM ke 8.

Namun semua itu tiada. Semuanya dalam keadaan samar dan berkelabu asap.

Yang jelas dan terang hanya kenyataannya yang tegas bahawa hanya beliau akan buat keputusan selepas APEC November ini. Soal Anwar tidak timbul, katanya menjawab soalan para media. Satu statement yang mematikan semua persoalan isu peralihan kuasa sekiranya dibangkitkan kelak.

Jelaslah siapa yang kena main dan di liwat?

Mahathir... Depa ikut cakap saya..

Mahathir telah memperlihatkan dia adalah "master politician". Tidak ada siapa dalam Majlis PH mampu menundukkannya.

Saya teringat beberapa bulan dahulu, Lim Kit Siang telah membuat kenyataan tegas sekiranya Dr Mahathir tidak serahkan kuasa PM pada Anwar Ibrahim dan mungkir janji, dia akan bersara dari dunia politik.

Sayugia diingatkan bersara dari politik dengan letak jawatan dalam politik adalah dua perkara berbeza.

Letak jawatan boleh come back.

Bersara dari politik adalah "mati" terus. Titik nokhtah.

Kita tunggu tindakan Uncle Lim selanjutnya. Atau pun mungkin statementnya itu bukan dari kitab suci...






Rabu, 12 Februari 2020

Anwar Ibrahim Tidak Akan Jadi PM Ke 8 ?

Dr Mahathir Mohamed menjadi PM ke 4 selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003. Sepanjang tempoh itu Tun telah berjaya menerajui parti Umno dan BN memenangi pilihan raya umum sebanyak lima kali dengan kemenangan majoriti lebih dua pertiga di parlimen.

Walaupun dalam tempoh tersebut Tun menghadapi berbagai krisis seperti perpecahan dalam Umno yang mengakibatkan tertubuhnya parti Semangat 46 dan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai TPM dan ahli Umno - ia tidak memberi kesan besar pada kedudukannya sebagai PM dan parti pemerintah (BN).

Selepas Tun meletakkan jawatan pada 2003 dan menyerahkannya pada Pak Lah Badawi,  BN terus menang besar pada Pru 2004.

Namun kekuatan Umno dan BN selepas itu dibawah pimpinan Pak Lah mula menurun dan merosot. Buat pertama kali dalam sejarah Umno dan BN dibawah pimpinan Pak Lah hilang majoriti dua pertiga dalam parlimen dengan lima buah negeri jatuh ke tangan pembangkang. Ini berlaku dalam Pru 12, 2008.

Ironinya, pembangkang ketika itu Pkr, DAP dan Pas bergabung diketuai Anwar Ibrahim.

Pada Pru 13, 2013, Umno dan BN diketuai Najib Razak sekali lagi gagal memperolehi kemenangan majoriti dua pertiga dalam parlimen. Pun begitu Najib masih kekal sebagai PM.  Dan Anwar buat kali kedua gagal sebagai Ketua blok pembangkang bagi menjatuhkan kerajaan Umno dan BN.

Ertinya, Anwar telah gagal dua kali dalam Pru sebagai pembangkang untuk mengambil alih kuasa di Putrajaya.

Sehinggalah pada Pru 14, 2018 kerajaan pusat buat pertama kali dalam sejarah bertukar tangan pada pihak pembangkang menguasai Putrajaya.

Tetapi kejayaan pembangkang ini diterajui oleh Tun Dr Mahathir. Yang sebelum ini telah memenangi lima kali Pru. Dan Pru 14 menjadikannya yang ke enam dibawah pimpinannya.

Pada rekodnya, Anwar sebagai calon PM ke 8 belum pernah mencapai sebarang kejayaan tersebut sepertimana pencapaian Tun Dr Mahathir.


Sekiranya ditakdirkan Tun menunaikan janjinya menyerahkan kuasa pada Anwar sebagai PM ke 8,  apakah Anwar mampu mempertahankan kemenangan Pakatan Harapan pada Pru 15 ?

Tun telah buktikan sebagai kepala beliau  mampu membawa kemenangan. Dan pimpinannya memberi impak besar.

Apakah Anwar mampu mengulangi kejayaan tersebut?  Setidak -tidaknya apakah dia dapat mempertahankan kuasa PH di Putrajaya ?

Apakah ini antara banyak alasan yang tersirat dalam diri Tun yang kelihatan berdolak dalik dalam isu penyerahan kuasa PM pada Anwar Ibrahim?

Kerana Tun sendiri pernah membuat kenyataan bahawa beliau masih sangsi dengan kemampuan penggantinya bagi meneruskan menerajui negara.

Namun Tun tidak menyebut nama Anwar ketika kenyataan itu dibuat.





Sabtu, 8 Februari 2020

Dr Mahathir.... My Way...

Orang menuduh Dr Mahathir adalah kuda DAP. Tidak mempunyai kuasa dan hanya mengikut telunjuk  Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.

Malah ada mengatakan penubuhan parti Bersatu adalah idea Lim Kit Siang bertujuan memecahbelahkan parti politik orang melayu.

Betul ke Tun M diperkudakan dan hanya PM boneka?

Tun Dr Mahathir bin Mohamad

Tengoklah apa yang berlaku sekarang. Masalah jawatan PM yang perlu diserahkan pada Anwar Ibrahim sebagai PM ke 8 semakin hari semakin menjadi kelabu asap.

Sekejap alasan begitu sekejap begini. Sekejap dua tahun. Sekejap lepas November 2020. Lepas itu kata mungkin lepas tiga tahun. Kini ada berbunyi pula boleh terus habis penggal.

Sekarang pula sedang berklu klek dengan parti PAS dan beberapa MP Umno bagi menubuhkan pakatan dan kerajaan yang baru.

Sikap Tun M ini tentu tidak menyenangkan PKR dan DAP kerabat penting dalam Pakatan Harapan.

Tetapi mengapa tidak ada tindakan terhadap Tun M yang boleh dikira sebagai mengkhianati PH ?

Nampaknya Tun M dilihat sambil lewa sahaja mempermainkan PKR dan DAP.

Sekiranya benar Tun M adalah PM boneka dan diperkudakan DAP,  kedudukan dia sebagai PM telah pun diusul undi tidak percaya di Parlimen.

Itu sahaja cara memecat dan menjatuhkan seseorang PM.

Namun ini tidak berlaku. Malah tidak akan berlaku. Why?? The reason is PKR and DAP dont have the numbers....

Mereka tidak cukup sokongan untuk membolehkan mereka mengambil langkah dan bertindak.

Tun M telah membuktikan dia bukan boneka pada sesiapa. Cengkamannya semakin menjadi-jadi. Dia tidak mempeduli sesiapa.

Dia boleh buat apa yang dia suka. Go to hell you all..... barangkali itulah bisikan dalam sanubarinya.

Sebenarnya sebagai tokoh politik negarawan, Tun M memperlihatkan dia adalah boneka pada dirinya sendiri, anak-anak dan seluruh kroninya. Period....

Kesian Anwar Ibrahim yang cukup bertoleransi dan bersabar dengan sikap Tun M dalam isu penyerahan jawatan PM 8.

Seperti ungkapan tersohor Tun M semasa menjadi PM 4 dari 1981 hingga 2003 - I do it My Way...!! 

Khamis, 23 Januari 2020

Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Malaysian Airlines System (MAS)

Bekas Pengarah Urusan dan CEO Malaysian Airlines System (MAS)  dari 1982 hingga 1991, Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, 87 telah meninggal dunia.

Allahyarham Aziz tidak dapat dipisahkan dengan sejarah kejayaan syarikat penerbangan MAS.

Dibawah pengurusannya MAS adalah salah satu syarikat penerbangan yang cemerlang di dunia. Bukan sahaja cemerlang dan gemilang pada jenamanya, malah MAS telah mencatat keuntungan.

Tidak tercatat semasa dibawah pengurusan beliau MAS mengalami kerugian dan masalah seperti yang dihadapi sekarang.

Ketika allahyarham meninggalkan MAS, syarikat tersebut berada dalam surplus dengan aset rm5 billion.


Bermulanya kejatuhan MAS adalah berpunca dari tindakan Dr Mahathir menjualnya pada kroninya Tan Sri Tajuddin Ramli untuk diswastakan. Ketika itu projek penswastaan dibawah Perdana Menteri ke 4 berjalan kencang.

Dari titik itulah bermulanya saat kejatuhan MAS yang mengalami kerugian selepas kerugian. Sehingga kini Dr Mahathir yang juga PM ke 7 sedang menimbang untuk menjual MAS pada syarikat asing.

Tidak dapat siapa nafikan dengan alasan apa pun, salah satu punca kejatuhan dan masalah yang dihadapi MAS adalah faktor Dr Mahathir.

Yang peliknya Allahyarham Tan Sri Aziz beberapa kali menawarkan diri bagi memulihkan kedudukan MAS.  Dengan pengalamannya kita yakin dia boleh melakukan sesuatu memperbaiki MAS.

Semua tahu Aziz begitu sinonim dengan MAS. Dia begitu kecewa dan sedih melihat MAS sekarang dibanding semasa dibawah pengurusannya. Aziz sendiri pernah meluahkan dia mempunyai formula bagi memulihkan kedudukan kewangan MAS.

Di sini saya melihat sisi "gelap" Dr Mahathir yang tidak mahu memberi laluan pada mereka yang berkemampuan melakukan sesuatu pada syarikat penerbangan itu.

Apakah kerana Aziz bukan kroninya?? Maka ditolak semua cadangan pemulihan Allahyarham?

Sayugia sebelum ini kerajaan sudah pun melantik dua orang CEO Mat Saleh bagi menerajui MAS. Namun semuanya gagal.

Kenapa anak watan dan bangsa sendiri dipinggirkan begitu sahaja. Sedangkan rekod membuktikan bangsa sendiri seperti Aziz mempunyai kebolehan. Dan kemampuan itu telah dibuktikan dari 1982 hingga 1991.

Ironinya Tan Sri Aziz kembali ke alam fana sebelum sempat melihat "anak kesayangannya" kembali terbang tinggi di awan seperti yang dikecapinya tiga dekad lalu.


Isnin, 30 Disember 2019

Najib Razak dan Zahid Hamidi Adalah Liabiliti Umno

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini hampir dua tahun berkuasa di Putrajaya setelah menumbangkan Umno dan Barisan Nasional dalam Pru 14 yang mengejutkan dunia.

Hampir 62 tahun sejak merdeka, negara buat pertama kali dikuasai parti pembangkang dan bukan lagi tradisinya dikuasai Umno dan BN.

Rakyat telah memilih melalui peti undi kerana mereka mengharapkan pembaharuan dan pembaikan secara menyeluruh dari apa yang dilalui sepanjang 62 tahun.

Pada peringkat awal pemerintahan PH kelihatan semua berjalan baik dan harapan rakyat begitu tinggi pada kerajaan yang baru. Lebih-lebih lagi segala perkara yang bersangkutan dengan kehidupan seharian majoriti rakyat.

Nampaknya semakin waktu bergerak pantas semakin bergolak dan keluh kesah hati rakyat melihat kerajaan PH tidak ubah seperti kerajaan BN terdahulu. Banyak kelemahan dan janji-janji pilihanraya tidak dilaksanakan. Ertinya, keadaan keseluruhan tidak lebih baik dari masa BN berkuasa.  Malah dalam keadaan tertentu ia kelihatan lebih buruk.

Bagi saya mudah sahaja kenapa perkara ini berlaku. Pertama, kerajaan PH yang dikepalai Dr Mahathir telah sanggup bekerjasama dengan bekas musuh-musuh politiknya dengan satu tujuan dan matlamat iaitu menumbangkan Najib Razak.

Apabila Najib tumbang, Umno dan BN ikut sama tersungkur. Dr Mahathir (Bersatu), Anwar Ibrahim (PKR), Lim Kit Siang (DAP)  dan Mat Sabu (Amanah) bergabung hanya satu matlamat iaitu Najib Razak!!

Matlamat sudah pun tercapai kerana mereka bersatu dalam PH.

Namun selepas pencapaian itu, masalah mula timbul.

Dr Mahathir dan partinya Bersatu mempunyai agenda tersendiri. Bersatu parti orang melayu.

Anwar Ibrahim dan partinya PKR adalah parti berbilang kaum. Dan agenda utamanya adalah Anwar mesti menjadi PM ke 8 menggantikan Dr Mahathir.

DAP pula telah menjadi rahsia umum sebuah parti memperjuangkan kepentingan kaum Cina - walaupun ia mengakui sebagai parti semua kaum !

Tiga parti besar dalam PH yang mempunyai matlamat dan agenda masing-masing setelah Najib Razak tersungkur.

Inilah faktor sebenar kerajaan PH semakin tidak popular di kalangan rakyat setelah hampir dua tahun berkuasa.

Bersatu pada hakikatnya tidak sebulu dengan PKR dan DAP. Mereka mungkin tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain. Parti Amanah pula sebahagian bersama Bersatu dan sebahagian bersama PKR.

Kerajaan PH kelihatan bersatu namun hakikatnya mereka berpecah di dalam kerana masing-masing mempunyai agenda dan idealisma tersendiri.

Dan isu terbesar sekarang adalah Dr Mahathir tidak akan serah jawatan PM kepada Anwar Ibrahim. Ini hampir pasti dan tiada keraguan lagi terutama sikap Dr Mahathir berklu klek mengenai tarikh penyerahan jawatan PM ke 8.

Umno mempunyai peluang dan harapan untuk kembali ke Putrajaya dengan masalah yang di hadapi PH ini.

Tetapi dengan syarat Umno mesti jauhkan parti dari mempunyai kaitan dengan Najib Razak dan Zahid Hamidi.

Selagi dua tokoh ini bersabit dengan parti,  Umno tetap terkena tempiasnya.

Ertinya, Umno mesti mempunyai barisan kepimpinan baru yang bersih dan berwibawa.

Najib dan Zahid...berilah laluan pada pemimpin baru memimpin parti...