Ahad, 24 Mei 2015

Antara NFC dan 1MDB

KETUA Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terpaksa melepaskan jawatannya sebagai menteri kabinet dan senator disebabkan suaminya terlibat dalam skandal penyelewengan NFC yang melibatkan wang RM 250 juta.

Kes tersebut masih berjalan dan belum ada keputusan.

Shahrizat tidak terlibat dalam pengurusan harian NFC namun menerima tekanan kerana ia melibatkan suami dan anaknya. Alasan dia tidak tahu menahu apa yang suami dan anaknya lakukan dalam skandal tersebut tidak diterima pandangan umum. Justeru dia terpaksa melepaskan semua jawatannya dalam kerajaan kecuali jawatan Ketua Wanita Umno.


Pun begitu sebagai Ketua Wanita dia boleh diibaratkan sebagai satu liabiliti pada parti. Bagaimana dia boleh berhadapan dengan rakyat dan para pengundi sekiranya kes suaminya itu belum selesai dan dibersihkan di mata umum.

Sebab itu dalam kes 1MDB, Shahrizat tidak banyak memberi komen. Seperti kata pepatah kalau berumah kaca jangan sekali melontar batu ke rumah orang lain.

Dalam konteks isu 1MDB yang melibatkan hutang RM 42 billion !! Ya, 42 billion adalah satu jumlah yang amat besar. Sekiranya disusun wang kertas RM 100 ia boleh menyamakan ketinggian bangunan berkembar Petronas yang merupakan antara bangunan tertinggi di dunia.

1MDB adalah dibawah PM Najib Tun Razak selaku Menteri Kewangan dan Penasihat Lembaga Pengarahnya. Seperti Shahrizat, Najib juga memberi kenyataan bahawa dia tidak mengurus secara harian syarikat 1MDB.


Dengan hutang RM42 billion dan terpaksa membayar kadar faedah sebanyak RM 2 billion setahun adalah satu perkara yang mengejutkan semua pihak. Bukan itu sahaja 1MDB juga adalah sebuah syarikat perniagaan yang mengalami masalah aliran wang tunai atau cash flow.

Dalam ertikata lain, 1MDB tidak ada tunai atau cash. Ia hanya ada hutang. Manakala aset-asetnya tidak mampu memberikannya aliran tunai yang membolehkannya membayar balik hutang serta faedah pinjaman banknya.

Amat jelas 1MDB telah menjadi beban amat besar terhadap PM Najib sebagai pemimpin dan parti Umno secara keseluruhannya. Dia perlu menyelesaikannya secara telus agar keyakinan rakyat dapat dikembalikan.

Sekiranya dia tidak terlibat dia mesti mengambil langkah cepat dan segera untuk membawa mereka yang menyalahgunakan 42 billion itu ke muka pengadilan.

RM 42 billion bukan sikit mak ooi...!!

Jumaat, 22 Mei 2015

Era Dr Mahathir Tidak Ada Penasihat

PADA masa Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri dari tahun 2003-2009 telah menjadi pengetahuan umum pentadbiran dan pimpinannya banyak mendapat nasihat atau penasihat dari "budak-budak" di Tingkat 4, Putrajaya.

Sehingga tersebar luas peranan para penasihat di Tingkat 4 itulah yang menjadi salah satu punca kerajaan pimpinan Pak Lah hilang lima buah negeri ke tangan pembangkang dalam PRU 12 pada 2008 dan seterusnya BN hilang majoriti dua pertiga buat pertama kali di Parlimen.

Mendiang Dr Lim Kheng Yaik

Kuatnya pengaruh para penasihat di Tingkat 4 itu ke atas Pak Lah terserlah bila mereka mampu menukar nama-nama calon yang telah pun dipilih parti menjelang PRU 12 dahulu.

Bekas Presiden Gerakan dan menteri dalam kabinet Pak Lah iaitu Mendiang Dr Lim Kheng Yaik pernah secara terbuka menggesa Pak Lah memecat kesemua para penasihat tersebut setelah BN mengalami kejutan dalam PRU 12 itu.

Itu zaman Pak Lah. Kini masa Najib Tun Razak pula kita diberitahu bahawa Najib mempunyai penasihat seorang warga British. Apakah ia benar atau tidak sehingga kini Najib tidak memberi sebarang respon.

Cuma baru-baru ini di Parlimen ada menteri memberi penjelasan bahawa PM mempunyai empat orang penasihat terdiri dari Abdullah Mohd Zin, Datuk Johari Baharom, Tan Sri Rais Yatim dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil. Dan yang terbaru PM tambah seorang lagi - Tan Sri Lim Kok Wing (Pakar Iklan) sebagai PR memulihkan imej PM di mata rakyat.

Nampaknya, PM Najib mengatasi Pak Lah dalam membarisi para penasihatnya di Putrajaya termasuklah mempunyai penasihat warga British; sesuatu yang tidak dilakukan PM sejak dari zaman Tunku Abdul Rahman hingga Tun Dr Mahathir.

Dr Mahathir

Lebih-lebih lagi di era Dr Mahathir selama 22 tahun dari 1981-2003 kita tidak pernah mendengar beliau mempunyai para penasihat sepertimana Pak Lah dan Najib.

Begitu pun era Dr Mahathir merupakan era paling cemerlang dan gemilang pada Malaysia baik di dalam dan luar negeri. Kepimpinan Dr Mahathir disegani masyarakat antarabangsa dan tidak pernah flip-flop dalam sebarang keputusan dan pendirian bersabit kepentingan rakyat dan negara.

Sebaliknya di era selepas 2003 kita dapati pimpinan negara banyak melakukan keputusan U turn dan flip-flop dalam pengurusan negara yang bukan sahaja menghakis keyakinan rakyat malah mencemar imej kerajaan.


Rabu, 20 Mei 2015

Datuk Salleh Said Keruak lebih berani dalam mempertahankan Najib

DATUK Salleh Keruak , Speaker DUN Sabah, adalah satu-satunya pemimpin Umno yang berani dan lantang dalam mempertahankan Datuk Seri Najib Razak dari serangan kritikan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Segala kritikan dan tohmahan Dr Mahathir terhadap Najib dalam isu 1MDB, Altantuya, BR1M dan sebagainya dijawab dan ditangkis melalui penulisan di dalam blognya. Tidak ada isu yang dibangkitkan Dr Mahahir tidak dijawabnya bagi mempertahankan Najib.

Datuk Salleh Said Keruak

Begitulah setianya Salleh kepada Umno dan Najib sebagai Presiden parti. Kelantangan dan keberanian Salleh menjawab apa sahaja isu yang dibangkitkan khususnya dari Dr Mahathir dijawab satu persatu bersama segala fakta-faktanya.

Kadangkala terasa respons dari Salleh lebih kuat dan berani jika dibandingan dengan respons yang diberikan Najib sendiri sebagai Presiden parti dan Perdana Menteri dari segala kritikan dan tohmahan terhadap kepimpinannya.

Malah tindakan Salleh itu lebih berani dan lebih kuat jika dibandingkan dengan Timbalan Presiden parti dan ketiga Naib Presiden. Mereka semua kelihatan seolah membisu dan lebih berdiplomasi dalam mempertahankan Presiden dari serangan kritikan Dr Mahathir.

Sepatutnya dalam situasi begini Timbalan dan Naib-Naib Presiden bangkit dan kehadapan mempertahankan Najib. Dalam konteks ini tindakan Salleh lebih mengatasi para pemimpin tertinggi parti itu.

Sedangkan Salleh bukan Naib Presiden parti. Dia hanya Speaker Sabah dan Timbalan Ketua Perhubungan Umno Negeri.

Dalam hal ini timbul persoalan sikap Datuk Seri Shafie Apdal sebagai salah seorang dari tiga Naib Presiden dan kebetulan pula wakil dari Sabah. Apakah dalam pemilihan parti akan datang perwakilan dari Sabah akan mencalonkan pula Salleh bertanding kerusi Naib Presiden ?

Dengan sikap dan pendiriannya yang tegas dalam mempertahankan Najib, Salleh bukan sahaja layak bertanding kerusi Naib Presiden malah mempunyai potensi sebagai calon Timbalan Presiden !

Jumaat, 15 Mei 2015

Husam Musa mungkin tidak berjawatan dalam parti

SUDAH sah Ustaz Hj Ahmad Awang akan mencabar Datuk Seri Hadi Awang dalam jawatan Presiden PAS di Muktamar parti itu Jun ini. Manakala jawatan Timbalan Presiden parti, Tuan Ibrahim Tuan Man akan menentang penyandang jawatan Mohamed Sabu.

Pada peringkat awal nama Naib Presiden parti, Datuk Husam Musa lebih popular dan menonjol sebagai calon Presiden. Tetapi ia kemudiannya menurun dan tumpuan lebih ke arah Ustaz Ahmad Awang yang kelihatan lebih layak kerana dia seorang bertaraf ulama.


Husam memang mempunyai cita-cita tinggi dalam merebut jawatan parti. Kerana pernah satu masa dulu ada dikalangan pemimpin PAS menganggapnya sebagai calon "material" Perdana Menteri.

Dalam PRU 13 dulu Husam bertanding di Putrajaya tetapi tewas. Semasa kempen sebagai calon di Putrajaya, pemimpin " Anugerah Tuhan" Anwar Ibrahim telah memberi gelaran pada Husam sebagai "Sultan Al Fateh" yang memegang kunci kota Putrajaya yang kononnya akan ditawan parti pembangkang.

Tetapi malang buat Husam, dia bukan sahaja tewas di Putrajaya malah kedudukannya di Kelantan seolah terpelanting. Dia tidak terpilih menjadi anggota exco negeri. Malahan bagi sesetengah pro Husam menganggap paling koman dia perlu diberi jawatan Timbalan Menteri Besar.

Begitu juga jawatan dalam parti peringkat negeri, Husam diberi jawatan Timbalan Pesuruhjaya III. Jawatan Timbalan Pesuruhjaya I dan II diberi pada Datuk Amar Nik Abdullah dan Senator Johari Mat.

Dalam isu perlantikkan ini, Husam pernah membuat kenyataan bahawa ia hanyalah satu sindiran terhadapnya.

Dengan Ustaz Ahmad Awang dan Tuan Ibrahim telah mengesahkan akan bertanding bagi jawatan Presiden dan Timbalan; apakah jawatan pilihan Husam dalam Muktamar Jun ini ?

Apakah dia berhasrat menjadi calon ketiga dalam jawatan Presiden atau Timbalan Presiden ? Atau dia hanya mahu mempertahankan jawatan yang disandangnya sekarang sebagai Naib Presiden ?

Walau apa pun keputusannya peluangnya menang bagi jawatan Presiden dan Timbalan boleh dikatakan tidak ada sama sekali.

Justeru itu dia hanya ada pilihan bagi mempertahankan jawatan Naib Presiden yang dipegangnya sekarang.

Namun persoalannya apakah dia mampu mempertahankannya dalam Muktamar Jun ini ?

Sekiranya tersilap haribulan, kali ini Husam mungkin tidak akan memegang apa-apa jawatan dalam parti. Dengan itu gelaran "Sultan Al Fateh" dan sebagai calon material Perdana Menteri bakal hanyut bagai ditiup angin dan dilanda banjir lumpur seperti di Kuala Krai dan Gua Musang !


Rabu, 22 April 2015

Tun Musa Hitam tidak pertahankan Najib ?

BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam yang diketahui umum tidak pernah ngam dengan bekas bosnya, Tun Dr Mahathir sehingga sekarang belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu kritikan terhadap kepimpinan Najib Razak.

Tidak berapa lama dahulu Tun Musa ada membuat kenyataan menyindir Dr Mahathir dengan berkata hanya klon Dr Mahathir sahaja dapat menyelesaikan ketidakpuasan hatinya terhadap pimpinan Najib.

Kenyataan Musa itu dibuat setelah Dr M menarik balik secara terbuka sokongan pada Najib.
Tun Musa Hitam

Itu telah berlalu beberapa bulan dahulu. Dan kini serangan Dr M terhadap Najib semakin meningkat dan lebih terbuka. Setakat perkembangan terbaru kini, Tun Musa belum memberikan sebarang kenyataan sama ada dia mempertahankan Najib atau bersama dengan Dr M.

Sekiranya tidak tersilap ingatan saya baru-baru ini, Tun Musa ada membuat kenyataan media berhubung kes hukum hudud yang mendapat sokongan dari wakil-wakil Umno dalam DUN Kelantan. Tun Musa menggesa Najib sebagai Presiden parti menyatakan sikap dan pendirian secara jelas tentang hudud. Sehingga kini Najib belum memberikan sebarang respons. Dia terus berdiam diri.

Ketika era Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Musa secara tidak rasmi menjadi antara penasihat Pak Lah di Putrajaya. Dan Tun Musa adalah antara pemimpin yang mempertahankan Pak Lah bila dia diserang hebat oleh Dr M.

Dalam kes Najib - Dr M, sikap Tun Musa tidak begitu jelas. Pada umumnya Pak Lah dan Najib boleh dianggap sebagai "orang Musa" berbanding "orang Mahathir". Semasa Tun Musa berada dalam kabinet sebagai Timbalan Perdana Menteri, Pak Lah dan Najib merupakan penyokong kuatnya.

Di sudut persepsi politik kini, Tun Musa tidak mungkin boleh bersama Dr M dalam usaha menjatuhkan Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Namun setakat ini Tun Musa tidak mempertahankan Najib atau bersetuju dengan segala kritikan Dr M terhadap Najib itu.

Apakah Tun Musa sendiri bersetuju dengan segala senarai yang diberikan Dr M tentang kelemahan Najib tetapi dia mengambil sikap berdiam diri ? Atau pun mungkin ada antara yang dia tidak bersetuju dan bersetuju tentang kelemahan-kelemahan Najib itu ?

Tun Musa adalah seorang yang cerdik. Barangkali dia tidak nampak dan yakin kedudukan Najib boleh dipertahankan.

Isnin, 20 April 2015

Selamat panjang umur Dr Mahathir

SAYA angkat tabik pada negarawan ulung Tun Dr Mahathir Mohamad di atas sikap dan pendiriannya yang berani dan cekal dalam menyatakan pandangannya berkait isu-isu kepentingan bangsa dan negara.

Dalam usia 90 tahun beliau masih mampu berfikir dan bertindak seolah beliau masih dalam lingkungan 50 dan 60an. Orang lain seusia dengannya lazimnya hanya duduk di rumah atau berkerusi roda.
Tun Dr Mahathir Mohamad

Tetapi tidak bagi orang seperti Dr Mahathir, terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan dan beliau senantiasa mengejar masa. Bukan sesetengah pemimpin yang banyak tidur dan lembab dalam tindakan dan membuat keputusan.

Inilah kualiti yang ada pada negarawan ulung ini tidak dimiliki oleh kebanyakan pemimpin dan ahli politik di negara ini.

Dalam beliau mengkritik hebat cara pimpinan Datuk Seri Najib Razak, beliau secara tegas menolak sebarang kerjasama dengan pihak pembangkang. Itulah hakikat yang sebenarnya, Dr Mahathir tidak perlu sebarang bantuan dari sesiapa terutamanya dari pihak parti pembangkang.

Beliau mampu bergerak sendirian dan membuat keputusan sendiri tanpa dipengaruhi oleh sesiapa. Dalam pada itu sudah pastilah sokongan rakyat dan ahli-ahli Umno amat penting dalam matlamatnya agar Najib berundur dan digantikan dengan pemimpin Umno lain bagi meneruskan penguasaan BN pada PRU 14.

Kepada Tengku Razaleigh Hamzah, Anwar Ibrahim yang kini berehat di Sungai Buloh dan Lim Kit Siang, sori lah Dr Mahathir bukanlah tokoh yang sebaris dengan kamu ! Sekiranya, Dr Mahathir menerima cadangan atau pelawaan untuk bekerjasama dengan mereka dalam agenda menjatuhkan Najib bererti ia akan menjatuhkan maruah beliau sebagai seorang negarawan ulung.

Kepada pembangkang sori lah, lain kali lah !

Dari Pak Lah hingga Najib serta Anwar dan Lim Kit Siang tidak akan terlepas dari kritikan Dr Mahathir. Sekiranya ditakdirkan bekas Mursyidul Am PAS masih hidup dia juga tidak akan terlepas dari kritikan Dr Mahathir jika ia merasakan ada benda yang tidak betul.

Inilah kelebihan negarawan ini yang akan bercakap terus terang dan membetulkan kesilapan dalam apa sahaja isu tanpa memilih kawan dan lawan.

Kepada Dr Mahathir, selamat panjang umur dan diberkati dengan kesihatan yang baik.



Selasa, 14 April 2015

Ustaz Ahmad Awang paling layak lawan Hadi

TOKOH ulama Ustaz Hj. Ahmad Awang dan Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa  adalah dua calon yang jelas setakat ini sebagai calon pilihan bertanding jawatan Presiden parti menentang penyandang jawatan Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar Jun ini.

Husam telah menyatakan dia berada dalam dilema antara kehendak ahli dan kedudukannya yang mungkin bertanding melawan Hadi. Manakala Ustaz Ahmad, bekas Naib Presiden parti semakin lantang dan secara terbuka mengkritik stail pimpinan Hadi.
Ustaz Hj Ahmad Awang

Secara jujur dan hakikatnya antara Ustaz Ahmad dan Husam, orang yang paling layak menentang Hadi tidak lain hanya Ustaz Ahmad. Husam sebagai pemimpin masih muda perlu menumpu hanya jawatan Naib Presiden yang disandangnya sekarang.

Tambahan dari segi imej, ilmu dan perwatakan, Ustaz Ahmad lebih seimbang jika dibandingkan dengan imej yang ada pada Hadi.

Lagi pula Ustaz Ahmad kelihatan lantang dan lebih berani secara terbuka mengkritik Hadi. Husam pula lebih pada berkiasan dan berdiplomasi dalam menzahirkan apa yang berlaku dalam parti.

Justeru langkah sepatutnya yang perlu diambil Husam demi kebaikan parti dan para ahli agar tidak konpius ialah dengan menyatakan pendiriannya tidak akan bertanding jawatan Presiden. Ini lebih baik bagi memudahkan jentera Ustaz Ahmad bergerak dan menumpukan pertandingan pada Jun ini.

Ustaz Ahmad pula jangan hanya lantang bersuara tetapi bila sampai masa menarik diri enggan bertanding dengan memberi berbagai alasan. Yang jelas dia telah pun mengkritik secara terbuka terhadap Presiden dan Mursyidul Am, Datuk Haron Din.

Peluang Ustaz Ahmad untuk menang mengatasi calon-calon lain bagi jawatan Presiden. Begitu pun ini tidak bermakna dia boleh menang dengan mudah. Kedudukan Hadi dikatakan masih kukuh diperingkat akar umbi.

Walau apa pun keadaan, Ahmad Awang tidak mempunyai banyak pilihan dalam membuat keputusan sebelum Jun ini. Dia tidak boleh hanya bersuara lantang tetapi tidak sanggup berdepan demi kebaikan masa depan parti seperti mana yang disuarakannya dalam tulisan dan ucapannya sebelum ini.

Kepada Husam pula tidak perlulah berada dalam dilema. Dia hanya perlu buat keputusan sama ada isytihar secara terbuka menyokong Hadi atau Ahmad Awang. Itu sahaja. Dan satu lagi buat pendirian nak bertanding jawatan Naib Presiden atau tidak ? Tak payah bermimpi nak bertanding Presiden.

Ahad, 12 April 2015

Kritikan Dr M tidak gugat Najib

NEGARAWAN TUN DR MAHATHIR MOHAMAD kini menjadi pengkritik nombor wahid Datuk Seri Najib Razak selaku Perdana Menteri merangkap Presiden Umno. Serangan Dr M tidak kendur malah semakin bertali arus. Secara berterus terang beliau mahu Najib berundur sekiranya mahu melihat Umno dan BN terus berkuasa di Putrajaya selepas PRU 14.

Dr M telah menyentuh hampir semua isu utama yang menjadi persoalan dan perhatian semua pihak dan lapisan masyarakat. Isu-isu tersebut;

 
Dr Mahathir
                                   a- 1MDB
                                   b- Kes Altantuya
                                   c- GST
                                   d- Hudud
                                   e- isu-isu lain berkaitan dengan kepimpinan
                                       Najib sebagai PM
Bagi Dr M, semua isu-isu tersebut tidak diberi jawaban dan penjelasan yang boleh memuaskan semua pihak terutama rakyat bawahan. Dalam keadaan tertentu ia kelihatan tidak ada jawaban langsung terhadap semua persoalan yang ditimbulkan.

Pun begitu kedudukan Najib sebagai PM dan Presiden Umno tidak tergugat malah terus dipertahankan sebahagian besar para pemimpin dan ahli parti.

Semua isu-isu yang dibangkitkan kelihatan belum cukup kuat bagi mendorong dan menekan agar Najib segera berundur dari tampuk kekuasaan. Kerana isu-isu tersebut boleh dianggap masih dalam "kawalan" Umno dan kerajaan.

Tetapi bagaimana sekiranya andaian Dr M melepaskan bom atom mengatakan bahawa kes liwat Anwar Ibrahim adalah satu konspirasi politik ??

Semua maklum sehingga kini Dr M tetap konsisten dan tidak berganjak dengan keyakinannya bahawa Anwar tetap bersalah.

Namun apa kata andainya Dr M melepaskan ibu segala peluru yang mampu menggugat kedudukan Najib ? Ini hanya andaian kerana Dr M telah menegaskan beliau tidak bermusuh dengan Umno tetapi hanya mengkritik pimpinannya sahaja.

Isu-isu seperti 1MDB, Altantuya dsbnya kelihatan belum ampuh dan berkesan buat Najib berundur. Kenapa Dr M tidak timbulkan kes Anwar sebagaimana beliau timbulkan kes Sirul yang kononnya teraniaya ?

Dr M adalah seorang yang berterus terang tanpa selindung dan bersikap "direct to the point" dalam isu apa sahaja. Beliau tidak gemar bersembunyi di sebalik belukar.

Kenapa beliau tidak kaitkan sama kes Anwar ??

Kes liwat I adalah semasa pemerintahannya. Kes liwat II adalah masa Najib !
                        

Sabtu, 21 Mac 2015

Cara Ustaz Kazim tak kena

DALAM program Forum Perdana Ehwal Islam semalam, Ustaz Kazim Elias telah mengumumkan dia tidak akan muncul lagi di kaca TV sebagai penceramah. Program semalam adalah yang terakhir baginya.

Sebelum ini Ustaz Kazim ada membayangkan dia akan bersara sebagai seorang penceramah terutamanya melalui kaca-kaca TV. 
Ustaz Kazim Elias

Kenapa dia tiba-tiba mahu bersara sebagai penceramah agama ?

Ada dua kejadian berlaku baru-baru ini; pertama : Mufti Perlis, Dr MAZA telah menegur Ustaz Kazim kononnya sering menggunakan hadis palsu di dalam ceramahnya. Kedua : Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria ada menasihatkan para pendakwah dan penceramah agama agar tidak menyelitkan unsur lawak jenaka secara berlebihan dan menyanyi dalam menyampaikan ceramah mereka.


Teguran Dr Maza itu telah pun selesai dengan baik bila mereka berdua mengadakan pertemuan. Manakala teguran Mufti Perak itu tidak menyebut siapa penceramah tersebut kerana ia ditujukan secara umum.

Bagaimanapun, nasihat Tan Sri Harussani itu terkena juga pada Ustaz Kazim kerana dia sering buat lawak dan menyanyi dalam setiap ceramahnya. 

Nampaknya, Ustaz Kazim telah tersentuh hati dengan teguran itu sehingga membuat keputusan mahu bersara sebagai penceramah. Ada yang bertanya adakah Ustaz Kazim tidak boleh menerima teguran ?  Seolah mudah sangat merajuk hingga membuat keputusan sedemikian !

Soal buat lawak dan menyanyi dalam menyampaikan ceramah bukan isu yang ingin diperkatakan di sini. Terpulanglah pada persepsi masing-masing.

Cuma saya rasa cara Ustaz Kazim mengumumkan persaraannya di dalam program Forum Perdana itu tidak berapa kena. Dia tidak sepatut melakukannya dalam program tersebut. 

Dia perlu menghormati penganjur program tersebut termasuk salah seorang ahli panel malam tersebut iaitu Dr Maza sendiri yang duduk disebelahnya.

Ustaz Kazim sepatutnya mengumumkan hasratnya itu hanya melalui Facebook nya atau pun mengadakan sidang media khas buatnya tanpa melibatkan penganjur program dan tetamu dalam majlis tersebut.

Cara itu lebih tenang dan merendahkan diri.