Ahad, 16 September 2018

Anwar Ibrahim Perdana Menteri Pertama Yang Bukan Dari Calon Timbalan Perdana Menteri

Datuk Seri Anwar Ibrahim, bakal Perdana Menteri ke 8 telah mengeluarkan dua kenyataan penting sehari dua ini.

Pertama, semasa menghadiri dialog Singapore Summit 2018 di kota Singa itu beliau menyatakan sekiranya beliau mengambil alih jawatan PM daripada Tun Mahathir kelak - Singapura akan menjadi destinasi lawatannya yang pertama sebagai PM.

Kedua, setelah beliau kembali dari Singapura, beliau menegaskan tidak akan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri.  Ertinya, beliau akan terus pegang jawatan PM selepas tempoh 2 tahun Dr Mahathir sebagai PM seperti yang dipersetujui.

..Brader Anwar Ibrahim di Singapore Summit 2018

Kenyataan pertama beliau itu tentulah disambut gembira para pemimpin Singapura. Kerana Dr Mahathir lebih bersikap provokatif terhadap negara jiran itu terutama dalam isu perjanjian air.

Anwar membuat kenyataan tersebut dihadapan para hadirin yang terdiri dari barisan kabinet Singapura, para diplomat dan bekas PM Goh Chok Tong.

Sekiranya benar apa yang diucapkan Anwar itu maka ia adalah sesuatu yang diluar tradisi dalam diplomasi negara sejak merdeka.

Kerana pada tradisinya setiap PM negara yang baru dilantik akan melakukan kunjungan dan lawatan pertamanya ke negara jiran serumpun Indonesia. Itulah yang menjadi tradisi dan amalan sejak zaman Tunku Abdul Rahman hingga zaman Najib Razak.

Begitu juga pada PM ke 7 Dr Mahathir yang melakukan lawatan rasminya pertama keluar negara memilih Indonesia selepas PRU14 Mei lalu.

Dalam konteks ini tentulah Singapura amat menghargai dan mengalu-alukan perlantikkan Anwar sebagai PM ke 8.

Kenyataan kedua Anwar juga amat menarik kerana beliau akan menjadi orang pertama dalam sejarah terus memegang jawatan PM tanpa menjawat sebagai Timbalan Perdana Menteri terlebih dahulu.

Sebelum ini kesemua PM negara ini sebelum dilantik menjadi PM adalah TPM.

Alasan Anwar beliau enggan jawatan TPM kerana beliau tidak mahu isterinya Dr Wan Azizah perlu meletakkan jawatan.

Dr Wan Azizah hanya akan meletakkan jawatan sebagai TPM setelah beliau dilantik secara rasmi PM ke 8.

Inilah yang menarik dan uniknya politik Malaysia diantara negara Asean, malah dunia umumnya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan