Rabu, 28 Disember 2016

SPRM Bertindaklah Dengan Berani

SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA (SPRM) perlu bertindak berani dan tegas tanpa memilih bulu dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan pada mereka. Ia perlu menjaga imej pada badan itu agar tidak tercemar kredibiliti di mata majoriti rakyat.

Sejak mempunyai Ketua Pengarah yang baru, ada beberapa tangkapan melibatkan kes pengubahan wang haram dan rasuah di kalangan pegawai kerajaan dan orang awam. Ada kes sudah selesai dengan pesalah dijatuhkan hukuman. Ada juga kes masih dalam proses mahkamah dan masih berjalan - belum selesai.

Semua tangkapan ini memberi gambaran betapa SPRM sedang dan akan terus membuat kerja. Namun perlu diingat hampir sebahagian besar kes-kes tersebut melibatkan mereka yang boleh dianggap sebagai "ikan bilis".

Bagaimana kes-kes yang melibatkan "jerung" dan mereka yang berprofil tinggi ? SPRM mesti bertindak tanpa mengira apa jawatan dan kedudukan mereka. Jangan rakyat menganggap SPRM hanya berani dengan ikan bilis dan takut sangat dengan "jerung".

Jho Low

Majoriti senyap rakyat sedang memerhatikan dari jauh. Macam mana kes penyelewengan 1MDB ? Apakah ia perlu dibuka semula siasatan secara menyeluruh ?

Memang tidak masuk akal langsung sekiranya tiada kes dalam 1MDB. Di Singapura, Swiss, Amerika, London dan lain-lain berlaku tangkapan dan bicara kes di mahkamah melibatkan individu tertentu berkaitan skandal 1MDB.

Di Singapura tiga individu dijatuhkan hukuman penjara dan denda di atas kesalahan jenayah perbankan, bersubahat berkait urusan dana dari 1MDB. Mereka semua dianggap hanya macai dan menjadi alat pada pihak tertentu.

Semua modus operandinya dibawah arahan individu tertentu. Dan mereka semua masih bebas. Mereka bukan saja bebas malah boleh bergerak ke sana ke mari seolah tiada apa yang berlaku.

Individu paling jelas adalah jutawan Jho Low.  Umumnya dia adalah "perancang" segala-galanya dalam skandal 1MDB.


Kenapa sehingga sekarang baik pihak SPRM atau polis gagal menyoal dan menahan Jho Low dalam membantu siasatan kes ini yang telah tersebar seluruh dunia.

Apakah yang menghalang tindakan terhadap jutawan muda itu ? Apakah ada kuasa tertentu yang sedang melindunginya ?

SPRM atau polis mesti bertindak cepat bagi menyelesaikan kes terbesar ini. Dari tahun 2015 hingga 2016 dan kini melangkah 2017, tidak kelihatan kes ini dapat dimuktamadkan.

Bertindaklah dengan segera. Seluruh dunia dah tahu semua cerita 1MDB. Malu lah !!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan