Khamis, 9 Jun 2016

Hudud : Apakah Umno Serius ?

CALON Umno di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Budiman Mohd Zohdi dan Mastura Mohd Yazid telah mengelak dari menjawab soal hukum hudud yang bakal dibahaskan di Parlimen Oktober ini.

Budiman menjawab, "Tunggu lepas saya menang dulu". Mastura pula kata, dia akan komen selepas pilihan raya kecil (PRK) pada 18 Jun ini. Mereka berdua tidak berani berterus terang dalam isu hudud.


Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Akta Mahkamah Syariah yang dibawa Hadi Awang di Parlimen baru-baru ini mendapat lampu hijau daripada PM Najib Razak dan Timbalannya, Zahid Hamidi. Pindaan RUU ini memberi laluan pada PAS melaksanakan hukum hudud bermula di Kelantan.

Semasa Hadi membentangkannya ia kesuntukan masa untuk dibahaskan. Ia dibawa ke sesi Oktober ini.

Dalam isu ini pendirian Umno tidak jelas dan samar-samar. Antara sokong dan tidak. Semuanya kelihatan bergantung pada keadaan. Ertinya, Umno lebih mengambil kira faktor politik yang akan diterimanya.

Budiman dan Mastura yang akan bertanding dalam PRK  Sungai Besar dan Kuala Kangsar tidak berani membuat pendirian tegas soal hudud kerana bimbang akan kehilangan sebahagian besar undi kaum Cina di kawasan tersebut.

Mastura Mohd Yazid

Sebab itu mereka bermain taici bila ditanya para petugas media dalam isu hudud. Pendirian mereka setakat ini yang enggan membuat penegasan sebenarnya mendapat restu dan lampu hijau daripada pucuk pimpinan tertinggi parti.

Seperti catatan saya sebelum ini ada menjelaskan bahawa isu hudud ini adalah mainan politik Umno dan PAS bagi mendapat undi sokongan dari para pengundi Melayu. Keikhlasan mereka dalam membawa isu hudud di Parlimen adalah diragui.

Apa pun Oktober akan tiba bagi menentukan apakah Umno dan PAS berjaya bekerjasama bagi meluluskan pindaan RUU tersebut.

Namun Umno kini sudah pun menerima ancaman dari parti-parti komponen dalam BN terutamanya dari Sarawak sekiranya terus bersekongkol dengan PAS dalam isu hudud.

Umno memerlukan PAS bagi menguatkan kedudukan orang melayu yang kini semakin lemah sehingga berpecah menjadi empat parti; termasuk PKR dan Amanah.

Dalam masa yang sama Umno tidak mampu kehilangan rakan-rakannya dalam BN lebih-lebih lagi parti PBB di Sarawak.

Isu hudud akan terus dipolitikkan oleh Umno dan PAS untuk kepentingan muslihat masing-masing. Umno tidak berminat dengan hudud PAS itu. PAS pula cukup sedar yang ia tidak mampu laksanakannya secara sendirian. Ia perlu bantuan dari Umno.

Tetapi adakah Umno serius dalam melaksanakan hudud ? Atau ia hanya mainan politik dengan PAS ?










Tiada ulasan:

Catat Ulasan