Khamis, 1 Ogos 2013

Teguran Tan Sri Annuar dulu betul

TEGURAN Tan Sri Annuar Musa lebih setahun lalu terhadap prestasi Harimau Malaya dibawah jurulatih Datuk K. Rajagobal kini telah pun terbukti benar. Kerana teguran itu juga beliau dikenakan hukuman oleh FAM dan dilucutkan jawatannya sebagai salah seorang Timbalan Presiden FAM dan semua jawatan bersabit dengan badan itu.

Tan Sri Annuar telah membidas Rajagobal setelah pasukannya gagal menghasilkan keputusan yang positif selepas sahaja kita menjuarai Piala AFF Suzuki 2010. Sejak kita menang AFF di Jakarta itu prestasi Harimau Malaya jatuh merudum. Kita gagal dari satu perlawanan ke perlawanan kelayakan lainnya seperti Kelayakan Piala Dunia, Zon Asia dan beberapa perlawanan jemputan dan persahabatan.

Bagi Annuar, sebagai juara AFF, Harimau Malaya perlu terus mencipta kemenangan dan menghasilkan keputusan positif dalam setiap perlawanan yang dihadapinya. Tetapi itu tidak berlaku, malah kekalahan demi kekalahan yang memalukan terutama dalam perlawanan persahabatan melibatkan pasukan seperti India dan Bangladesh.

Namun setiap kali teguran itu FAM terus mempertahankan K. Rajagobal. Masalah besar Rajagobal pula dalam mengendalikan Harimau Malaya ialah sikapnya yang suka bereksperimen dalam pemilihan para pemain.

Boleh dikatakan sikapnya ini telah mendapat kritikan dari semua pihak termasuk dari Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah. Beberapa bekas jurulatih dan pemain kebangsaan juga melahirkan tidak puas hati cara Rajagopal memilih para pemain dalam pasukannya.

Ada ramai pemain yang berpotensi tidak dipanggil untuk disenaraikan dalam pasukan Harimau Malaya. Rajagobal juga dianggap tidak mempunyai hubungan terus dengan para jurulatih negeri bagi mendapat maklumat tentang seseorang pemain itu.
Datuk K.Rajagobal

Kini isu semakin panas dengan hasil keputusan perlawanan persahabatan di Jepun yang begitu mengaibkan setelah ditewaskan 0-5 sebanyak dua kali berturut-turut dengan hanya pasukan kelab divisyen dua !

Apakah wajar semua pihak terutama FAM sanggup terus berdiam diri tanpa apa-apa tindakan ? Adakah perlu kita terus diaibkan dalam perlawanan seterusnya ?

Sekiranya ini berlaku di Eropah, malah di rantau Asia sendiri kedudukan Rajagobal sudah pun diputuskan lebih awal bagi menyelamatkan maruah negara dan pasukan.

Adalah lebih baik Rajagobal membuat keputusan berundur dari ia dipecat. Lagi pun kontraknya dengan FAM akan tamat pada Disember ini. Harapannya untuk terus kekal sebagai jurulatih adalah mustahil.

Harimau Malaya boleh bangkit dengan syarat ia dikendalikan oleh jurulatih baru yang mempunyai idea yang lebih segar.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan