Rabu, 29 Februari 2012




Butler tinggalkan Kelantan

AKHIRNYA jurulatih dari England,
Peter James Butler telah menamatkan
kontraknya dengan KAFA setelah rundingan
mencapai persetujuan bersama.

Inilah kali kedua Butler meninggalkan
pasukan The Red Warriors dipertengahan
jalan. Pada 2009 beliau berhenti tanpa notis
sebelum pasukannya memulakan kempen
Piala Malaysia.

Namun KAFA memilihnya sekali lagi
bagi menggantikan M. Karathu untuk
membimbing Kelantan musim 2012. Tapi akhirnya jodohnya dengan Kelantan tidak berpanjangan.

Apa yang jelas kontrak Butler ditamatkan bukan disebabkan prestasi beliau sebagai seorang
jurulatih kerana setakat ini The Red Warriors masih berada dikedudukan atas Liga M. Keputusan
KAFA dan Butler bagi menamatkan kontrak lebih cenderung ke arah masalah teknikal antara dua
pihak.

Seperti yang dilaporkan Butler tidak berpuashati cukai pendapatannya dipotong dari gajinya.
Manakala KAFA pula bertegas bahawa gaji beliau telah dinaikkan dan badan tersebut tidak
bertanggungjawab terhadap cukai pendapatannya.

Dan yang paling kemuncak isu KAFA-Butler ini ialah beliau merasakan tidak mempunyai
kuasa dalam menentukan para pemain, terutama pemilihan pemain import. Dalam kes pemain
dari Lebanon, Mohammad Ghaddar yang tidak disenaraikan dalam skuad Kelantan dalam
mengharungi perlawanan Liga seterusnya.

Tindakan KAFA ini disebabkan prestasi Ghaddar yang tidak memuaskan dan sumbangannya
sebagai seorang penyerang adalah menghampakan. Bagi Butler, beliau masih menaruh kepercayaan
pada Ghaddar dan mahu memberi lagi peluang padanya meningkatkan prestasinya.

Ertinya, Butler tidak mempunyai kuasa dalam pemilihan pemain dan terpaksa akur dengan
kehendak KAFA. Inilah dilema yang dihadapi kebanyakan jurulatih, termasuk Butler. Tapi inilah
realiti bolasepak di negara kita yang berbeza dengan England dan Eropah.

Di sini tugas jurulatih adalah melatih dan memilih kesebelasan pemain serta menyusun strategi
dan tektik semasa di atas padang. Tugas pengurus pula menjaga kebajikan dan pembelian para
pemain.

Di England dan Eropah kesemua tugas tersebut dilaksanakan oleh pengurus atau Manager. Beliaulah
yang mengarahkan panel jurulatihnya atau coach apa yang perlu dilakukan semasa latihan atau
perlawanan. Beliau juga mempunyai kuasa yang meluas untuk membeli dan menjual para
pemain dengan persetujuan para pemegang saham.

Sebab itu bila kuasa seseorang pengurus atau manager itu dihadkan atau dipengaruhi pihak
lain mereka akan segera meletakkan jawatan. Suasana ini belum lagi berlaku di Malaysia.
Pengurus dan jurulatih adalah dua tugas yang berbeza.

Isnin, 27 Februari 2012

Iran

IRAN KINI KUASA NUKLEAR

PEMIMPIN tinggi tentera
Iran memberi amaran sekiranya
ia diserang maka mereka akan
bertindak balas yang akan membawa
kemusnahan pada Israel.

Rejim Israel berulang kali membuat
ugutan akan menyerang Iran kerana
bimbang dengan usaha negara itu
                                                                                                         membina dan menjadi kuasa nuklear.
                                                                                                       
                                                                                                        
                                                                                                        

                                                                                                         Amerika dan Britain tidak bersetuju
                                                                                                         dengan rancangan negara Yahudi itu
                                                                                                         menggunakan kekerasan kerana
                                                                                                         bimbang akibat dan kesan dari
                                                                                                         serangan tersebut boleh membawa
                                                                                                         implikasi besar di rantau tersebut.

                                                                                                         Iran sering menegaskan bahawa
                                                                                                         usahanya membina tenaga nuklear
                                                                                                         adalah tujuan aman. Dan ini adalah
                                                                                                         haknya sebagai sebuah negara
                                                                                                         merdeka.

                                                                                                         Sedangkan rejim Israel memiliki
                                                                                                         dan mempunyai beratus, malah
                                                                                                         beribu senjata nuklear bagi
                                                                                                         kelengkapan persenjataan mereka.
                                                                                                         Dan ini tidak mendapat bantahan
                                                                                                         dari mana-mana negara di dunia,
                                                                                                         terutama Amerika dan Britain.

                                                                                                          Usaha negara-negara barat
                                                                                                          melipatgandakan sekatan terhadap
                                                                                                          Iran bagi menghalangnya untuk
                                                                                                          terus membina senjata nuklear
                                                                                                          tidak memberi kesan.

                                                                                                           Seorang pemimpin tertinggi NATO
                                                                                                           mengakui sekatan tidak banyak
                                                                                                           memberi kesan, namun percaya
                                                                                                           ia mampu memperlahankan proses
                                                                                                           Iran untuk menjadi kuasa nuklear
                                                                                                           sepenuhnya.

Sabtu, 25 Februari 2012




PAS hanya perisai DAP-PKR


KRISIS politik yang melanda
negeri Kedah antara Menteri
Besarnya, Datuk Seri Azizan
Abdul Razak dengan beberapa
orang exconya memberi gambaran
betapa kelam kabutnya pemerintahan
Pakatan Rakyat.

Diberitakan empat exco PAS itu
tidak berpuashati dengan corak
pimpinan Datuk Seri Azizan dan enggan hadir pada majlis perlantikan Exco kerajaan negeri hujung
bulan ini.

Sebelum ini pun telah timbul berbagai rasa tidak puas hati dikalangan anggota DAP dan PKR tentang
beberapa keputusan Azizan yang dianggap bertentangan dengan manifesto Pakatan Rakyat. Lebih
membangkitkan kemarahan DAP-PKR ialah kenyataan Azizan betapa Buku Jingga tidak semestinya
sesuai dilaksanakan di negeri Kedah dan ia boleh dipinda kerana ia bukan Quran.

Ada sumber lain pula mengesahkan puak pro Anwar dalam PAS mahu Azizan digantikan kerana
beliau tidak disenangi oleh DAP dan PKR. Datuk Seri Azizan dikatakan berada dalam kem ulama
dan bukan kem Anwarinas. Selagi Azizan terus berkuasa ia akan menjadi duri dalam daging dalam
Pakatan Rakyat menjelang PRU 13.

Senario yang berlaku di Kedah ini memberi gambaran jelas betapa kuatnya pengaruh Anwar disamping
DAP dalam menentukan corak kepimpinan dalam Pakatan Rakyat. PAS lebih tidak bertaring di Pulau
Pinang dan Selangor. Ia bagaikan hanya sebagai penumpang dalam pakatan.

Sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya sudah tentu DAP dan PKR akan lebih berperanan
dan berpengaruh mentadbir negara ini. Tugas PAS hanyalah menafikan peluang UMNO dari undi
orang melayu. Alasan ini dikuatkan lagi dengan PAS yang hanya mampu bertanding 60 hingga 70 kerusi
parlimen dari sejumlah 222 kerusi keseluruhannya. Ertinya, kerusi yang akan ditandingi PAS tidak
sampai separuh dari kerusi kesemuanya.

Justeru itu PAS tidak mungkin mampu menjadi satu kuasa yang dominan dalam Pakatan Rakyat.
Ia akan terus tunduk dan dibawah tekanan dari dua kerabatnya dalam pakatan. Sudah banyak bukti
PAS sering mengalah dengan mainan politik Anwar dan DAP. Anwar terus dengan liberalisme dan
pluralismenya. DAP kekal sebagai parti cauvinis.

PAS mahu mengambilalih peranan UMNO, namun dalam masa yang sama ia terus menjadi alat
tunggangan DAP dan  PKR.

Amerika dan Israel

Amerika : Kami mohon maaf

SETIAP kali berlaku tragedi
atau pembunuhan yang meragut
nyawa orang-orang Islam - Amerika
dan Israel akan memohon maaf
sebagai tanda kekesalan dengan
apa yang berlaku.

Peristiwa pembakaran kitab Al Quran di sebuah pangkalan tentera
Amerika di Afghanistan beberapa
hari lalu telah menimbulkan kemarahan dan meragut nyawa
orang awam.

Seperti biasa Amerika dan pihak
tentera terbabit telah mengeluarkan
kenyataan kekesalan dan menganggapnya sebagai satu kesilapan dan kekeliruan di pihak tentera di atas apa yang berlaku.

Ini bukanlah kejadian pertama seumpamanya. Tidak berapa lama dahulu berlaku serangan udara
tentera Amerika terhadap sasaran Taliban di Pakistan yang mengakibatkan beberapa orang tentera
Pakistan pula menjadi mangsa korban. Sejak itu hubungan kedua negara menjadi tegang.

Begitu juga di Afghanistan sebelum ini yang telah membangkitkan kemarahan Presiden Hamid Karzai
dari tindakan tentera Amerika yang melakukan serangan memburu anggota Taliban yang mengakibatkan
orang awam menjadi korban.

Kejadian seperti ini terus berulang dan telah menimbulkan kemarahan semua pihak. Tetapi bagi
Amerika, mereka hanya akan berkata, "Kami mohon maaf".

Begitu juga dengan rejim Israel yang melancarkan serangan ke kubu para pejuang Hamas dan telah
mengorbankan sebilangan besar orang awam dan kanak-kanak. Selepas kejadian pihak rejim akan
mengeluarkan kenyataan bahawa mereka hanya menyasarkan para pejuang dan meminta maaf sekiranya
orang awam menjadi mangsanya.

Bagi Amerika dan Israel nyawa orang-orang Islam dan sensitiviti mereka tidak begitu penting
dan tidak perlu dihiraukan. Memadai dengan alasan "maaf" di atas segala apa yang berlaku yang
menimpa mereka. Nyawa dan perasaan umat Islam sudah tidak ada nilai.

Khamis, 23 Februari 2012

The Life in the Writing




Syed Hussein Alatas :
Seorang Sarjana dan penulis

THE LIFE IN THE WRITING - adalah
sebuah biografi pertama pernah dihasilkan
tentang seorang sarjana, penulis, intelektual,
politikus, sosiologis, pemikir dan guru yang
disegani dalam dunia ilmuan tanahair.

Beliau ialah Prof. Dr. Syed Hussein Alatas
(1928-2007). Prof. juga adalah abang kepada
seorang lagi Sarjana tersohor dan pengasas
ISTAC - Dr. Muhammad Naquib Alatas.

Buku ini lebih fokus tentang kehidupannya
sebagai seorang penulis - karyanya serta segala
berkait dengan dunia penulisannya. Ianya sebuah
naratif yang ringkas dan jelas.

Apatah lagi ianya ditulis oleh seorang yang cukup
rapat dan melihat segala gerak gerinya secara lebih
dekat dengan panggilan "abah".

Masturah Alatas ialah anak bongsu Prof. Syed Hussein,
bekas seorang jurnalis dan kini mengajar bahasa
Inggeris di Universiti Macerata, Itali. Beliau berhijrah
ke Rome pada 1992 mengikuti suaminya.

Masturah adalah pengarang buku "The Girl Who made it Snow in Singapore" dan beberapa cerita
pendek dalam bahasa Itali. Dan dia menjadi penulis Malaysia pertama menulis dan menerbit buku
dalam bahasa tersebut. Menurut Masturah, abahnya banyak mempengaruhi serta menjadi ikon dan
idola baginya untuk menjadi seorang penulis yang berjaya.

Dalam buku ini diceritakan bagaimana abahnya menghasilkan tulisan atau karyanya dengan tulisan
tangan (longhand). Selepas selesai menulis tangan dia akan mengarahkan seseorang untuk menaip
untuknya. Kadang-kadang bila beliau menulis artikel untuk akhbar, beliau akan faks deraf tulisan
tangannya itu pada syarikat akhbar berkenaan.

Orang yang menaip dan akhbar yang menerima tulisannya itu tidak pernah komplen kerana tulisan
Prof. Syed Hussein sentiasa jelas dan bersih serta mudah dibaca. Cerita Masturah lagi, abahnya
bukan tidak pandai menaip, namun beliau lebih senang menulis dengan tangan. Mengenai penggunaan
komputer pula, Prof itu tidak menguasainya, walaupun ia memberi kelebihan padanya.

Di muka surat 49 dalam buku ini mengisahkan Prof. adalah orang pertama menghasilkan buku
bagi menyanggah dan mengkritik buku "The Malay Dilemma" karangan Dr. Mahathir Mohamad.
Buku tersebut telah diulang cetak sebanyak tiga kali dalam masa tiga tahun. Buku itu berjudul
"Siapa Yang Salah ?".

Dan tentunya bukunya yang paling berpengaruh dan popular ialah "The Myth Of The Lazy Native"
yang diterbitkan pada 1977. Sepuluh tahun kemudian buku ini diterjemahkan ke dalam bahasa
Indonesia. Pada 1992 baru ia diterbitkan dalam bahasa Malaysia.

The Life in the Writing diterbitkan oleh Marshall Cavendish, mengandungi 152 halaman.







                                                    


ISU DEBAT



KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim begitu bersungguh-sungguh
mahukan perdebatan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak
dalam waktu terdekat ini.

Seperti biasa dikalangan parti pembangkang menyokong penuh cadangan ini
dan inginkan ianya diadakan secepat mungkin. Bagi sesetengah pihak kerajaan
dan para ahli akademik pula tidak nampak keperluan dan kepentingannya.

Sekiranya debat ini menjadi kenyataan maka pihak pembangkang akan memperolehi
keuntungan dari segi politik dan publisiti. Najib dan kerajaan tidak akan dapat
apa-apa kelebihan.

Dalam perdebatan itu apakah yang mampu dihurai dan dijelaskan Najib dalam
masa yang terhad dan singkat ?  Anwar sebagai seorang yang cekap berpidato
tentunya mampu memutarbelit dan memanipulasi isu-isu untuk kepentingan diri
dan partinya.

Peluang debat seperti ini memang dinantikan Anwar kerana ia akan mendapat 
siaran yang meluas dan ini akan digunakan untuk memperbaiki imejnya yang terjejas
teruk.

Apa yang menarik lagi dengan perkembangan ini ialah Presiden Perkasa, Ibrahim Ali,
juga mahu tumpang sekaki dengan mencabar Anwar agar berdebat dengannya.
Menurut Ibrahim, Anwar tidak layak berdebat dengan PM lantaran isu-isu moral
yang menyelubungi dirinya.

Nampaknya, PM Najib tidak perlulah ambil pusing dengan isu debat ini kerana pada
tahun lepas Tok Guru Nik Aziz Nik Mat sendiri telah menolak cabaran berdebat dari
bekas anggota Dewan Ulama PAS Pusat, Prof. Madya Mohd Noor Deris dalam isu
kerjasama PAS dan DAP dari sudut Islam.

Mohd Noor Deris yang kini ahli UMNO telah mempertikai sikap dan pendirian Nik Aziz
yang lebih rela bekerjasama dengan DAP dari UMNO yang seagama. Nik Aziz telah
menolak cabaran debat itu di atas alasan Mohd Noor tidak mewakili pihak yang
menjalankan dasar parti. Ertinya, bagi Nik Aziz; Mohd Noor tidak setaraf dengannya.

Jadi, kalau Nik Aziz boleh menolak cabaran itu dengan alasan lawannya tidak setaraf,
maka Najib juga boleh memberi alasan yang sama dalam isu debat yang sedang hangat ini.






Rabu, 22 Februari 2012

Syria kian memuncak


SUASANA di Damsyik terus bergolak
dan pertempuran tentera Syria dengan
penunjuk perasaan semakin sengit. Jumlah
korban terus meningkat setiap hari.

Presiden Bashar Al Assad tidak menunjukkan
bahawa beliau akan bertolak ansur dan
berlembut dengan para penentangnya.

Bashar berulangkali menegaskan ada
unsur campurtangan asing yang cuba
memporak-perandakan negaranya.

Beliau juga berikrar akan melakukan
perubahan dan mengadakan pilihanraya
bagi memenuhi tuntutan para penunjuk
perasaan.

Syria adalah salah sebuah negara yang
cukup penting dari sudut politik di Timur
Tengah. Ia juga merupakan antara negara Arab yang mempunyai kekuatan dari segi ketenteraan
dan dicemburui rejim Israel.

Hubungan akrabnya dengan Hizbollah dan pengaruhnya di Lubnan tidak menyenangkan Amerika
dan sekutunya Israel. Selagi Bashar berkuasa ia tetap akan menjadi duri dalam daging dalam
percaturan politik Asia Barat. Apatah lagi Syria mempunyai hubungan erat dengan Iran; sebuah
lagi negara Islam yang menjadi ancaman pada Barat, terutamanya rejim Yahudi.

Kenyataan terbaru dari Washington bahawa Amerika akan mempertimbangkan kemungkinan
membantu dan mengirim senjata pada puak penentang kerajaan Bashar bagi menggulingkannya;
terbukti jelas sebagaimana tuduhan Damsyik itu.

Selain Iran, Syria adalah satu kuasa yang dibimbangi Israel tentang keselamatannya. Dengan
suasana bergolak berterusan di negara itu sekurang-kurangnya ia akan melemahkan sedikit
kekuatan Syria yang sedia ada. Bila Syria dalam keadaan lemah, ini tentunya akan melegakan
Israel dan ia hanya perlu menumpukan pada Iran; yang dituduhnya sedang membangun senjata
nuklear.

Iran yang kini menghadapi berbagai sekatan dan bersendirian hanya menunggu masa menjadi
lemah dan tidak berdaya. Syria tidak mungkin pulih seperti biasa dalam masa terdekat. Giliran
Iran pula menerima nasib yang sama seperti negara-negara Arab lainnya.

Mampukah Iran bertahan dan terus menjadi ancaman pada Barat ?

Isnin, 20 Februari 2012




Tagline Tok Guru Nik Aziz


" AMBO TAK TAHU "



"ITU DIA PUNYA PASAL "



Musim Anti Israel


POLITIK negara kini didominasi
dengan isu Israel.

Isu ini akan menjadi bahan yang
cukup menarik bagi parti politik
meraih undi menjelang PRU 13
yang hampir beberapa "meter"
sahaja lagi.

Dalam dunia ini siapakah yang
boleh memisahkan dengan pengaruh
Yahudi itu ?

Dari tempat kediaman kita hinggalah penggunaan segala kelengkapan hidup manusia moden;
semuanya ada kaitan dengan pengaruh dan unsur bangsa yang menganggap mereka sebagai
bangsa terpilih oleh Tuhan.

Lakaran kartun di atas adalah hasil karya kartunis dari Brazil, Carlos Latuff; seorang
kartunis yang bersimpati dan menyokong perjuangan rakyat Palestin melalui lukisan-
lukisannya.

"Israel No Criticism Allowed" memberi seribu tafsiran.

Khamis, 16 Februari 2012

Dr. Mahathir sebagai "jurujual" terhebat

DR.MAHATHIR Mohamad adalah antara pemimpin melayu yang terkemuka di dunia.
Beliau disegani dan dihormati oleh kawan dan lawan. Selepas bersara beliau terus
diikhtiraf dari negara-negara luar di atas ketokohan dan sumbangannya sepanjang 22
tahun menerajui negara.

Penganugerahan Ijazah Kedoktoran dan undangan berucap di forum-forum antarabangsa
memperlihatkan kualiti beliau sebagai seorang negarawan - walaupun ada segelintir
orang-orang melayu mencemuh dan memusuhinya.

"Melayu mudah lupa" adalah antara sebutan keramat yang sering diperkatakan semua
orang. Apakah orang melayu sudah lupa ? Memang sukar untuk menafikan kepesatan
dan kemajuan negara yang dicapai hingga kini sekiranya tidak dikaitkan dengan peranan
dan misi Dr. Mahathir sejak menjadi Perdana Menteri pada 1981 hingga 2003.

Lihat sahaja Putrajaya; sebagai satu projek dari ilhamnya dan sebagai pengasas pusat
pentadbiran moden yang menjadi lambang kemegahan negara. Kini Putrajaya menjadi
idaman parti pembangkang sehingga sanggup mengorbankan idealisme mereka semata-mata
ingin menawannya dalam pilihanraya umum. Sedangkan pada 1990an parti pembangkang
beria-ria untuk melelong Putrajaya jika mereka berkuasa kerana menganggapnya sebagai
satu projek Mahathir yang membazir wang rakyat.

Seorang penulis dari barat, Gerry Robert telah menulis satu rencana bertajuk "Learning
to sell like Dr.Mahathir" yang pernah disiarkan dalam akhbar New Straits Times pada
28 Mac 1995, telah menulis dengan panjang lebar tentang kekagumannya terhadap ciri-ciri
dan kualiti yang ada pada Dr. Mahathir sebagai seorang pemimpin yang ada misi terhadap
bangsanya.

Beliau menganggap Dr.Mahathir sebagai seorang "jurujual terbaik" yang perlu dipelajari
semua jurujual yang ingin memperolehi kemahiran dalam bidang ini. Jurujual di sini bukanlah
bermaksud "jurujual" per se dan ditulis di kad perniagaan, tetapi ilmu kemahiran yang perlu
dipelajari tentang cara menjual.

Dr. Ken Blanchard, pengarang "The One Minute Manager" yang pernah bertemu dengan
Dr. Mahathir menyatakan beliau dapat banyak pengajaran semasa bertemu dengannya dan
menganggapnya sebagai jurujual terbaik pernah beliau kaji - walaupun Dr. Mahathir tidak
pernah menganggap dirinya sebagai seorang jurujual.

Gerry Robert dalam rencana itu lagi menulis bahawa beliau kagum dengan ciri-ciri dan tabiat
yang ada pada Dr. Mahathir dengan mencipta kualiti yang ada padanya berdasarkan akronim
namanya: 

M - Mission oriented (berorientasikan misi)
A - Achievers attitude (sikap seorang berjaya)
H - Heart (hati)
A - Advertise (mengiklankan)
T - Tenacity (ketabahan)
H - Healthy lifestyle (gaya hidup sihat)
I  -  Integrity  (integriti)
R - Results (hasil)

Orang barat dan luar lebih menghargai negarawan kita ini dari bangsanya sendiri.