Rabu, 28 September 2011

Tengku Razaleigh dan Gua Musang



ANTARA calon veteran UMNO dan Barisan Nasional (BN)
yang pasti terpilih bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 13
nanti tentunya wakil Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

Tidak mungkin senarai nama Ku Li akan tercicir dari senarai
calon BN yang akan bertanding kelak. Siapakah yang layak
bertanding di Gua Musang selain Ku Li ?

Sejarah menunjukkan Ku Li telah menang bertanding di situ
di atas tiket parti berbeza. Di atas tiket BN dia menang selesa.
Bila Ku Li berada di luar UMNO dan mengasaskan parti Semangat 46
dan bergabung dengan PAS dalam Angkatan Perpaduan Ummah (APU)
dia terus menang di Gua Musang dengan majoriti besar.

Di Gua Musang pengundi tidak lagi memandang bentuk
parti lagi, mereka hanya kenal ketokohan putera dari istana
itu. Kekuatan pengaruh Ku Li di situ tidak boleh digugat
sesiapapun.

Malah sekiranya Ku Li mahu bertanding atas tiket bebas
dan menggunakan lambang kunci dan payungpun beliau
akan menang.

Barangkali, selagi Ku Li sihat dan panjang umur beliau
tetap akan mempertahankan kerusinya yang dipegang
hampir empat dekad. Hanya keuzuran dan maut sahaja
yang mampu menghalang Ku Li untuk terus menjadi wakil
rakyat di Gua Musang.

Namun sayang kelibat Ku Li hanyalah setakat di Gua Musang.
Di luar Gua Musang Ku Li ibarat singa tua patah kuku dan
bukan menjadi ancaman mangsa sekitarnya.

Justeru Ku Li tidak ada peranan besar di pusat dan
Majlis Tertinggi parti. Seolah kedudukan beliau dalam
parti dipinggirkan.

Ini dapat difahami kerana tokoh seperti Ku Li, kalau
diberi "half chance' beliau pasti akan mencabar kepimpinan
parti.

Beliau pernah mencabar Mahathir dan Musa Hitam bagi
jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO, tetapi
semua tewas.

Beliau juga pernah mencuba bertanding melawan Pak Lah
bagi jawatan Presiden; namun terpaksa menarik diri ekoran
kekangan syarat pencalonan dari Bahagian yang tidak mencukupi
 yang dikehendaki parti.

Ku Li dalam hati kecilnya terus mengidam jawatan Perdana Menteri.
Namun suasana dalam UMNO tidak akan mengizinkan beliau
mencapai cita-citanya itu.

Sengat dan bisanya hanya di Gua Musang itulah !!!














TPM dan calon payung terjun



TAN Sri Muhyiddin Yassin ada menjelaskan bahawa calon-
calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya kali ini
akan dipilih terdiri dari mereka yang benar bersih dan
berwibawa.

Kalau seseorang calon itu popular tetapi tidak punya
kriteria untuk menang, ia tidak akan dipilih sebagai calon.

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tun Dr. Mahathir pula memberi saranan bahawa calon-
calon "payung terjun" juga tidak boleh diketepikan sekiranya
calon itu mempunyai kualiti dan berkebolehan berkhidmat
dalam kerajaan.

Dr. Mahathir memberi contoh Tun Daim Zainuddin, antara
calon payung terjun yang dipilihnya semasa beliau menjadi
Perdana Menteri dahulu.

Tun Daim telah dibawa masuk dalam kabinet menjadi
Menteri Kewangan menggantikan Tengku Razaleigh Hamzah
yang ditukar ke Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Dan telah menjadi rahsia umum kemasukkan Tun Daim dalam
kabinet tidak disenangi oleh Timbalan Perdana Menteri masa
itu - Tun Musa Hitam.

Faktor Daim Zainuddin ini juga merupakan salah satu punca
perselisihan pendapat antara Mahathir-Musa yang lebih
dikenali masa itu sebagai kerajaan 2M.

Bagi Musa, perlantikan Daim sebagai Menteri Kewangan dan
kekalnya Tengku Razaleigh (seteru politiknya) dalam kabinet
telah mengancam kedudukkannya sebagai Timbalan Presiden
UMNO merangkap Timbalan Perdana Menteri.

Ini belum dikira faktor Anwar Ibrahim yang ketika
itu sudah bertapak sebagai Ketua Pemuda UMNO dan
juga dibawa masuk dalam kabinet oleh Dr. Mahathir.

Dengan segala percaturan politik Dr. Mahathir inilah
mendorong Tun Musa meletakkan jawatannya sebagai
Timbalan Perdana Menteri. Dan beliau mencatat sejarah
sebagai Timbalan Perdana Menteri pertama yang tidak
jadi Perdana Menteri.

Kemudian sejarah beliau itu diulangi oleh dua lagi
bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar Baba
dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan
Perdana Menteri yang tidak jadi Perdana Menteri.

Tidak pasti apakah sejarah ini akan berulang
pada era Najib dan Timbalannya Muhyiddin ?

Apakah Najib akan memilih calon payung terjun
sebagaimana pernah dilakukan Mahathir ? Dan kalau
ada tidakkah calon itu akan direstui Timbalannya ?

Sekiranya ada ia perlulah dipersetujui bersama
kedua pemimpin itu. Ini bagi memastikan tidak
ada masalah yang berbangkit nanti. Apa lagi bakal
calon payung terjun ini diberi jawatan penting pula.

Hubungan Najib-Muhyiddin telah pun bertiup sayu
mengenai perbezaan mereka dalam banyak hal.
Soal calon sekiranya tidak kena gaya boleh menimbulkan
masalah besar dalam hubungan mereka.

Tan Sri Muhyiddin tentu sudah mempelajari pengalaman
yang dilalui Tun Ghaffar dan Anwar. Dia tentu tidak
mahu menjadi Timbalan Perdana Menteri keempat
yang tidak akan jadi Perdana Menteri.



















Selasa, 27 September 2011

ATM mengorak langkah

B.Sathianathan


ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) nampaknya begitu
serius dalam membina imej baru dalam sukan bolasepak
di negara ini.

Selama ini ATM yang bersaing di Liga Perdana sering
tercorot dan tidak diberi perhatian ramai kerana tidak
mempunyai prestasi yang baik serta daya penarik.

Tetapi dengan langkah berani pengurusan ATM menambat
bekas jurulatih Kelantan dan Kebangsaan, B.Sathianathan
sebagai jurulatih ATM musim 2012, ianya telah membuka
lembaran baru pada ATM.

Langkah Sathia itu diturut serta tiga bekas bintang bolasepak
pada 80an sebagai pembantunya. Mereka ialah Kamaruddin Mohd Nor,
Hamid Ramli dan Shahrin Majid.

Kamaruddin ialah bekas bek Kelantan dan Kebangsaan dan
jawatannya yang terakhir ialah Pengarah Kejurulatihan Kelantan.
Hamid Ramli pula ialah bekas penjaga gol kebangsaan dan
Kelantan. Hamid adalah antara penjaga gol negara yang
pernah bersaing hebat dengan penjaga gol terkenal R.Arumugam
dalam skuad kebangsaan di era 80an.

Shahrin Majid ialah bekas penyerang Selangor yang
bertubuh kecil dan lincah. Gabungan ketiga bekas bintang
ini bersama membantu Sathia akan memberi harapan
baru pada ATM dalam penjenamaan semula Tentera
menjadi sebuah pasukan yang disegani dalam Liga.

Ini diperkuatkan lagi dengan keputusan Sathia
untuk mengambil tiga pemain Harimau Malaya
disamping seorang pemain import bagi menguatkan
pasukan ATM.

Menurut Sathia, dengan langkah ini dia berazam
untuk membawa ATM ke Liga Super dan bersaing
dalam Piala Malaysia tahun depan.

Bukan mustahil satu hari ATM akan menjadi
sebuah pasukan yang kompetitif dan antara
lima pasukan berada ditangga teratas dalam
Liga Super.












Yemen : Kepentingannya pada Saudi

Ali Abdullah Salleh


APA yang berlaku di Syria sekarang adalah hampir sama
dengan suasana di Sanaa, Yemen. Rakyat terus berarak
di jalanraya menuntut perubahan dan demokrasi dipulihkan.

Jumlah korban meningkat ekoran pertempuran dengan pihak
polis yang mengawal penunjuk perasaan. Kedua pemimpin
Bashar Al Assad dan Ali Abdullah Salleh tetap berkeras
tidak meletak jawatan.

Presiden Yemen, Ali Abdullah Salleh baru pulang
kembali ke Sanaa setelah berada di Arab Saudi selama
tiga bulan menjalani rawatan setelah beliau tercedera
dalam satu serangan roket di kediamannya.

Selama ketiadaannya pemerintahan diteruskan
Timbalan dan anaknya yang menguasai angkatan tentera.

Sejak Ali pulang ke Sanaa, penentangan rakyat terhadap
kerajaannya semakin memuncak. Rakyat menuntut beliau
meletak jawatan setelah dia memegang tampuk kekuasaan
selama 32 tahun.

Tetapi Ali lebih bernasib baik jika dibanding dengan
Assad di Syria. Ali mendapat sokongan kuat dari Arab Saudi.
Amerika dan NATO agak lebih lunak dalam mengambil
tindakan terhadap Yemen berbanding Syria.

Syria kini menghadapi sekatan antarabangsa akibat
tindakannya menghadapi demonstrasi rakyatnya yang
membawa banyak korban.

Namun Amerika dan NATO tidak mengambil tindakan
keras terhadap Ali dan kerajaannya. Ini kerana hubungan
Ali dan kerajaan Saudi yang menyokongnya.

Arab Saudi dan barat menyokong aspirasi rakyat Yemen
yang inginkan perubahan. Namun mereka bimbang kerajaan
yang bakal menggantikan Ali ialah sebuah kerajaan anti barat
dan anti Saudi.

Arab Saudi dan Amerika harus cermat dalam krisis
di Yemen dan ingin memastikan kerajaan yang menggantikan
Ali Salleh, sebuah kerajaan yang dapat mengekalkan status quonya.

Perubahan politik di Timur Tengah, terutamanya di Turki
dan Mesir perlu diambil kira.













Isnin, 26 September 2011

Vladimir Putin kembali berkuasa



PERDANA Menteri Russia, Vladimir Putin telah
mengisytiharkan bahawa beliau akan bertanding bagi
jawatan Presiden pada 2012 menggantikan Presiden
sekarang, Dmitry Medvedev.

Putin adalah bekas Presiden Russia dari tahun 2000
hingga 2008. Oleh kerana perlembagaan Russia hanya
membenarkan seseorang Presiden memegang kuasa
hanya untuk dua penggal, Putin terpaksa berundur pada
2008.

Namun, beliau terus berkuasa dibelakang tabir bila
memilih orang kepercayaannya menduduki kerusi
Presiden - Dmitry Medvedev.

Putin pula mengambilalih jawatan Perdana Menteri
bagi memastikan kesinambungan kekuasaan dan
pemerintahan sebelumnya.

Kini Medvedev setelah sepenggal menjadi Presiden
telah memberi laluan pada mentornya, Putin, untuk
kembali ke jawatan Presiden yang dipegangnya
selama dua penggal dahulu.

Manakala Medvedev akan memegang jawatan Perdana
Menteri pula; ia bagaikan satu pertukaran jawatan antara
dua tokoh Russia yang saling mempercayai.

Banyak kalangan barat mempersoalkan pergiliran
jawatan antara dua tokoh ini. Mereka persoalkan;
apakah demokrasi di Russia telah mati ? Tidak ada
calon lainkah selain dari kedua tokoh ini ?

Tetapi bagi pemerhati politik Russia hanya
Vladimir Putin sahaja tokoh yang berkaliber dan
berkebolehan menjadikan Russia sebagai kuasa
baru yang mampu menyaingi Amerika Syarikat.

Putin sendiri adalah pemimpin yang tidak digemari
barat kerana sering mempunyai pendirian berbeza
dalam isu-isu antarabangsa.

Iran sebagai contoh merupakan rakan Russia
dan pembekal bahan utama pembinaan senjata
nuklear bagi negara Parsi itu.



















Ahad, 25 September 2011

Antara Anuar Musa dan Elyas Omar



KEJAYAAN pasukan bolasepak Kelantan akhir-akhir
ini tidak boleh diketepikan peranan dan sumbangan
Tan Sri Anuar Musa sebagai watak utama yang
menggerakkan badan bolasepak negeri itu (KAFA)
seperti kedudukan hari ini.

Sebagai Presiden KAFA, Tan Sri Anuar Musa, telah
berjaya mentadbir persatuan negeri menjadi salah satu
Annuar Musa
persatuan yang disegani.

Dari pemilihan pemain, penaja, kelab penyokong
serta penubuhan Akademi bolasepak telah membuahkan
kejayaan.

Kehadiran para penonton ke Stadium Sultan Mohamed ke IV
juga semakin bertambah dan merupakan antara venue
yang dipenuhi penonton dalam setiap perlawanan.

Di bawah pimpinan Tan Sri Anuar juga Kelantan
kini memiliki hampir semua koleksi piala berprestij
di negara ini. Antaranya; Piala Sumbangsih, Piala Malaysia,
Elyas Omar
Piala Presiden dan Piala Emas Raja-raja.

Kejayaan sesebuah pasukan bolasepak tidak hanya
bergantung pada kehebatan para pemain bintang atau
jurulatih tersohor, tetapi juga pucuk pimpinan badan
persatuan negeri itu.

Ia bagaikan satu unit lengkap melengkapi meniti
kejayaan dan kecemerlangan. Dan inilah yang
berlaku di KAFA kini.

Bila menyentuh tentang Tan Sri Anuar kita
terkenang akan jasa dan sumbangan Tan Sri Elyas Omar
semasa beliau menerajui Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur
dua dekad lalu.

Pada masa itu Kuala Lumpur baru sahaja menjadi
anggota FAM dan menjadi pasukan paling muda
bersaing dalam Kejohanan Piala Malaysia.

Namun di bawah Tan Sri Elyas Omar, Kuala Lumpur
telah bertukar menjadi gergasi baru bolasepak tempatan
dengan menjuarai Piala Malaysia beberapa kali.
Sehingga kejayaan Kuala Lumpur dicemburui Selangor
jirannya terdekat.

Semasa Kuala Lumpur diterajui Tan Sri Elyaslah
beberapa pemain handalan dari Singapura menjadi
tenaga penting melonjak Kuala Lumpur sebagai
sebuah pasukan elit yang digeruni.

Antara bintang Singapura itu ialah Fandi Ahmad,
K.Kanan, Malek Awab dan beberapa tenaga import
yang lain.

Semua ini adalah sentuhan dari Tan Sri Elyas yang
telah berjaya menaikkan imej Kuala Lumpur dari
sebuah pasukan mentah menjadi sebuah pasukan
yang berprestij.

Tetapi kini di manakah kedudukan pasukan
Kuala Lumpur dalam Liga Malaysia ?

Sentuhan Tan Sri Elyas dan Tan Sri Anuar Musa
cukup bermakna dan diperlukan dalam kemeriahan
bolasepak tempatan.

Kuala Lumpur hanyut tanpa Elyas Omar. Apakah
nasib Kelantan sekiranya Anuar Musa pergi ?



















PRU 13 semakin hampir



SELEPAS pemansuhan Akta ISA oleh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak sempena menyambut Hari
Malaysia dan Hari Merdeka yang lalu, suasana politik
tanahair kembali fokus pada pilihanraya umum (PRU) 13.

Kelmarin PM berada di Perak dalam jelajahnya seluruh
negara setelah merasmikan konvensyen Barisan Nasional (BN)
di Selangor sebelumnya.

Ini akan diikuti ke negeri-negeri lain seterusnya. Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula telah
berada di Sabah merasmikan mesyuarat Parti UPKO,
pimpinan Tan Sri Bernard Dompok.

Di Semenanjung isu hukum Hudud timbul lagi dan
pihak media telah melaporkan tentang perbezaan pendapat
antara PAS dan DAP mengenai pelaksanaan hukum itu.

Semasa era Tun Dr. Mahathir menjadi PM, beliau
akan membuat lawatan dan menjelajah seluruh negeri
dalam beberapa pusingan. Lawatan-lawatan ini akan
diikuti dengan rapat-rapat umum yang dihadiri ribuan
penyokong.

Dalam siri lawatan begini bekas PM itu akan
berucap mengenai berbagai isu menyentuh rakyat
dan dalam masa yang sama menguji sokongan rakyat
terhadap kerajaan.

Laporan-laporan inteligen dan SB akan diambil kira
sebelum keputusan diambil untuk membubarkan Parlimen.

Sekiranya laporan-laporan itu tidak memuaskan, beliau
akan mengadakan lagi beberapa pusingan menjelajah
seluruh negara meraih sokongan sehinggalah suasana
atau mood pilihanraya itu memuaskan.

Di sinilah kelebihan yang ada pada kerajaan yang
berkuasa, di mana seorang PM mempunyai kuasa
menentukan bila tarikh pilihanraya itu akan diadakan.

Ertinya, jika suasana tidak menyebelahi kerajaan, maka
PM boleh melanjutkan lagi sedikit masa untuk buat
"home work" diperingkat bawah bagi mengemaskan
di mana terlompong.

Tetapi ini tidaklah melebihi tempoh matang sesebuah
kerajaan yang dipilih. Seperti kerajaan sekarang tempoh
matangnya ialah April 2013.

Dari sekarang hingga tarikh tersebut kerajaan boleh
melakukan sebarang kejutan dan bermain teka-teki
sebagai strategi menghadapi parti lawan.

Parti pembangkang tidak boleh komplen tentang
hak keistimewaan yang ada pada PM itu kerana
bila mereka berjaya menjadi kerajaan, mereka
juga akan merasai hak keistimewaan itu.























Jumaat, 23 September 2011

Sikap "double standard" Amerika



PRESIDEN Amerika Syarikat, Barack Obama, semasa
berucap di PBB telah menolak hasrat Palestin mengisytiharkan
sebagai sebuah negara merdeka dan menjadi anggota
tetap badan dunia itu.

Obama menegaskan, Amerika akan menggunakan
kuasa vetonya untuk menghalang usaha Palestin itu.
Menurut Obama, tidak ada jalan pintas untuk
mencapai perdamaian bagi kedua pihak Israel-Palestin.

Justeru itu beliau mendesak agar Palestin menyambung
kembali rundingan dengan Israel yang telah terbantut
sejak 2010.

Bagi Amerika tidak akan ada sebuah negara
Palestin tanpa persetujuan dan perdamaian berkekalan
dengan negara Yahudi itu.

Soalnya, pada pihak Palestin setelah mengambil
masa selama lebih 20 tahun berunding dengan Israel,
rakyat Palestin tidak memperolehi apa-apa atau "nothing"
hasil dari perundingan tersebut untuk mencapai
kewujudan dua buah negara berjiran atau "two state solution."

Malah apa yang berlaku ialah Israel terus memperluaskan
penjajahannya dengan pembinaan penempatan haram Yahudi
tanpa henti.

Menurut Moustafha AL-Bouguthi, ahli majlis tertinggi Palestin,
dasar Israel yang terus memperluaskan penempatan
haram itu telah mewujudkan "one state solution" dan
bukannya "two states solution" sebagaimana dianjurkan
dunia antarabangsa.

Langkah yang diambil Palestin ke PBB kali ini
adalah berpunca dari sikap angkuh Israel yang tidak
mengendahkan pandangan antarabangsa bagi
menghentikan penempatan haram Yahudi di wilayah
Palestin dan sikap berat sebelah Amerika terhadap
sekutunya, Israel.

Obama sendiri dalam ucapannya di PBB telah
membuat pendirian yang kontradik dan "double standard"
bila sebelum ini beliau berkali-kali menyarankan agar
Israel menghentikan pembinaan penempatan haram semasa
proses rundingan berjalan dan kedua pihak harus
berunding bertitik-tolak dari perjanjian sempadan 1967.

Dan kelmarin semasa berucap di PBB, Obama tidak
menyentuh langsung dua isu yang dipertahankannya
sebelum ini. Malah beliau menyalahkan Palestin
membawa isu ini ke badan dunia itu dan memberi
amaran tidak akan ada perdamaian kekal tanpa
persetujuan kedua pihak.

Bagi Palestin, walaupun usahanya untuk menjadi
anggota PBB akan dihalang Amerika, namun langkah
ini adalah satu permulaan diplomatik bagi mencapai
matlamat sebuah negara Palestin merdeka.

Apa yang jelas Amerika tidak lagi layak untuk
menjadi orang tengah atau mediator dalam konflik
Arab-Israel di atas sikapnya yang sering tunduk
kehendak rejim Yahudi itu.

Barangkali, Kesatuan Eropah atau China atau Perancis
boleh memainkan peranan menggantikan Amerika
yang jelas gagal dalam menjayakan rundingan perdamaian
ini.

Tindakan Mahmoud Abbas mengisytiharkan Palestin
sebagai sebuah negara berdaulat merupakan langkah
pertama dari seribu langkah dan perlu diteruskan
pada masa hadapan.




























Gerakan demokrasi di Bahrain



BAHRAIN adalah antara negara Teluk yang
tidak terlepas dari tempias gerakan pro demokrasi
yang melanda negara-negara Arab lain.

Enam bulan dulu rakyat Bahrain bangkit berdemonstrasi
di jalan-jalanraya menuntut diadakan pembaharuan.
Tetapi gerakan mereka dapat dipatahkan tentera
kerajaan.

Majoriti penduduk Bahrain adalah bermazhab Syiah.
Sedangkan kerajaan yang memerintah sekarang dikuasai
keturunan raja bermazhab Sunni.

Bahrain juga adalah sekutu paling penting buat Amerika
di rantau Teluk. Amerika banyak membantu dan
mempunyai kerjasama rapat dengan negara ini dalam
aspek ketenteraan.

Bila rakyat Bahrain bangun menentang kerajaannya
beberapa bulan dahulu, kerajaannya terpaksa meminta
bantuan dari Arab Saudi bagi membendung ianya
dari terus merebak.

Arab Saudi yang mempunyai hubungan dingin dengan
Iran telah menghantar 1000 orang tentera membantu
kerajaan Bahrain dalam mematahkan gerakan pro
demokrasi di negara itu.

Sememangnya Arab Saudi bimbang pengaruh Syiah
akan bertapak di Bahrain dan akan mempunyai kesan
di rantau Teluk.

Bantuan tentera dari Saudi itu telah berjaya meredakan
suasana tegang yang dihadapi Emir Bahrain.

Kini gerakan pro demokrasi di negara Teluk itu
bangkit kembali setelah ianya reda untuk beberapa
bulan lalu. Rakyat Bahrain kembali ke jalan-jalanraya
menuntut di adakan pilihanraya.

Apa yang menarik perhatian ialah sikap Amerika
dalam isu ini kerana Bahrain adalah rakan strategik
kuasa besar itu di Timur Tengah dan kebimbangannya
pengaruh Syiah bertapak di situ.

Amerika dan Arab Saudi sudah tentu tidak
akan membiarkan perkara ini berlaku kerana
mereka tidak akan membenarkan Iran melebarkan
pengaruhnya.

Amerika sentiasa menyokong gerakan-gerakan
demokrasi di negara-negara Arab bahkan seluruh
dunia. Namun, apakah kali ini di Bahrain, Amerika
akan mengambil sikap yang sama.

Sekiranya, Amerika menyokong rakyat Bahrain
yang kini menuntut diadakan perubahan; bermakna
ia akan membantu satu lagi kerajaan pro Syiah
berkuasa di rantau itu.

Amerika dan Arab Saudi cukup bimbang dengan
perkembangan di Bahrain itu. Manakala Iran pula
sedang tunggu dan lihat.















Rabu, 21 September 2011

Gaddafi : Kemewahan punca jatuh

Muammar Gaddafi


BEKAS pemimpin Libya yang digulingkan, Muammar
Gaddafi semasa berkuasa sering menonjolkan bahawa
beliau seorang yang gemar mendiami dalam khemah
dari tempat-tempat mewah.

Semasa beliau melakukan lawatan rasmi ke sebuah
negara Eropah tahun lalu, beliau telah berkhemah
di satu tempat dan tidak mendiami rumah tetamu
kerajaan atau hotel yang disediakan pihak tuan rumah.

Begitu juga semasa beliau menyambut tetamu pemimpin
dari negara asing, acara pertemuan rasmi itu telah
diadakan dalam khemah sebagai tempat pertemuan
pemimpin negara.

Ada yang mengatakan Gaddafi fobia bila berada
di bangunan yang tinggi. Sebab itulah beliau menjadikan
khemah sebagai pejabat dan kediaman rasminya.

Itulah gambaran yang cuba diperlihatkan Gaddafi
pada rakyatnya dan dunia selama dia berkuasa hampir
40 tahun.

Tetapi kini setelah dia digulingkan dan bersembunyi
di negaranya sendiri, semua kisah kehidupannya terbongkar
dan didedahkan pada umum.

Kini rakyat Libya dan dunia seluruhnya mengetahui
betapa selama 40 tahun lalu beliau berada di dalam
kemewahan dan kesenangan.

Setelah beliau melarikan diri, rakyatnya dapat
melihat rumah dan kediaman serba mewah yang
telah ditinggalkannya itu.

Segala-galanya serba mewah dan canggih yang
dikira menelan belanja yang besar dalam membina
dan menyiapkannya.

Kolam renang, gymnasium, kubu bawah tanah yang
boleh menghubungnya dengan beberapa buah bandar
dan tempat bersembunyi lengkap dengan kelengkapan
berlindung dari senjata kimia dan sebagainya.

Dan ini belum lagi dikira dengan kemewahan
yang dimiliki anak-anak lelaki dan perempuannya.
Diberitakan salah seorang anak perempuannya
mempunyai alat perabut rumah yang dibuat dari
emas.

Selama 40 tahun Muammar Gaddafi berkuasa
dan kini dia tersungkur dan menjadi pelarian
di tanahairnya sendiri. Semuanya berpunca dari
kehidupan mewahnya yang membuatnya sentiasa
selesa.

Dia tidak sedar selama ini dia sedang mundur
kebelakang dalam setiap detik. Sedangkan rakyatnya
semakin lama semakin melangkah ke depan seiring
dengan kemajuan dan kehebatan teknologi maklumat.

Gaddafi masih bersembunyi dan masih cuba
melawan dan bangkit; tetapi beliau sudah terlambat.