Jumaat, 6 April 2012

Tarikh pilihanraya umum

Strategi dan percaturan politik

SUDAH menjadi satu tradisi sejak merdeka di negara ini bahawa Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak menentukan bila tarikh pilihanraya umum dan pembubaran Parlimen.

Ianya menjadi satu teka-teki dan kejutan pada semua orang, terutamanya parti pembangkang.

Pihak pembangkang seringkali mempertikai cara ini dan menuntut agar kerajaan memberi notis lebih awal agar persiapan rapi dapat diadakan.

Walau apapun tindakan Perdana Menteri merahsiakan tarikh keramat itu tidak menyalahi undang-undang dan perlembagaan negara. Cuma langkah ini dilihat sebagai tidak adil buat parti pembangkang yang mahu ianya diumum lebih awal sebagaimana diamalkan disetengah negara.

Bila Parlimen akan dibubarkan dan tarikh pilihanraya umum hanya Datuk Seri Najib Razak seorang sahaja yang tahu dalam dunia ini. Barangkali, jika ditanya pada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun beliau tidak dapat menjawabnya dengan pasti.

Pihak Pakatan Rakyat tidak boleh komplen dengan langkah teka-teki Najib dalam hal ini. Kerana negeri-negeri yang ditadbir pembangkang kecuali Kelantan belum sepakat untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing seiring dengan pembubaran Parlimen.

Selangor dan Pulau Pinang dibawah pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim dan Lim Guan Eng lebih cenderung untuk mengadakan pilihanraya negeri secara berasingan. Mereka berdua mahu menghabiskan tempoh mandat sehingga tahun depan.

Manakala Kelantan dibawah Datuk Nik Aziz Nik Mat mahu pilihanraya diadakan serentak. Alasan Nik Aziz jika pilihanraya dibuat berasingan banyak 'hantu-hantu' yang akan datang menyerang Kelantan. Tidak mampu hendak lawan dan tepis, kata orang tua itu. Di Kedah pula Datuk Seri Azizan Razak seperti biasa menyerahkan bulat-bulat pada PAS pusat. Dia ikut saja.

Justeru itu Najib sendiri agak serba salah. Kalau diadakan pilihanraya pada April atau Jun ini, tetapi Selangor dan Pulau Pinang enggan bubar DUN mereka, bagaimana ? Yang pening kepala dan terpaksa bekerja dua kali disamping peningkatan kos ialah SPR.

Tarikh pilihanraya sama ada rahsia atau tidak bukan lagi satu isu besar. Pihak kerajaan mahu pun pembangkang; mereka telah berkempen sepanjang masa, sepanjang bulan dan tahun tanpa henti sejak selesai pilihanraya umum pada 2008 lagi. Tidak cukup lagikah berkempen dan berceramah ?

Di Malaysia politik berjalan tanpa henti dan bukan empat atau lima tahun sekali. Ia adalah proses sepanjang masa tanpa henti. Itu pun belum dikira entah berapa kali pilihanraya kecil terpaksa diadakan.
Orang Malaysia terlalu banyak politiking !



 

Khamis, 5 April 2012

A. Samad Said

Dari sasterawan ke pentas politik

SASTERAWAN Negara, A.Samad Said adalah pengerusi bersama Bersih 3.0 yang akan mengadakan perhimpunan 28 April ini di Dataran Merdeka bagi menuntut reformasi dan satu pilihanraya bersih.

Pak Samad ialah bekas pengarang akhbar dan seorang novelis. Sejak akhir ini Pak Samad lebih tertumpu pada bidang puisi dan lukisan.

Beliau pernah melancarkan 'mogok seni' suatu masa dahulu sebagai bantahan terhadap layanan dan masalah honorariumnya dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Mogok seninya itu bermaksud beliau berhenti dari berkarya atau menulis apa-apa karya sehinggalah masalah ketidakpuashatiannya diselesaikan.

Selepas itu Pak Samad merajuk lagi dengan kerajaan seolah beliau sebagai sasterawan Negara tidak mendapat perhatian dan layanan sewajarnya. Pak Samad bercita-cita untuk mendapat sebuah arkib bagi menyimpan dan menghimpun segala khazanah karya seninya untuk warisan bangsa.

Namun bagi Pak Samad hasratnya itu tidak diberi perhatian dari kerajaan, terutamanya kementerian penerangan. Lalu khabarnya, Pak Samad ingin memindahkan segala karya seninya keluar negara. Dilaporkan negara New Zealand bersedia untuk membantu memenuhi hasrat dan impian Pak Samad mendirikan sebuah arkib untuk tujuan itu.

Sehingga ini tidaklah pasti apakah projek ini berjalan lancar dan menjadi kenyataan.

Bagaimanapun itulah Pak Samad yang sebelum ini begitu 'setia' dengan dunia seninya dan tidak mengambil pendirian dalam soal siasah. Beliau pernah dikecam hebat dan berpolemik dalam media cetak dengan seorang lagi Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad. Shahnon telah mengkritik sikap dan pendirian beliau dalam banyak isu. Dan Shahnon ketika itu seorang anti-establishment dan orang kuat parti PAS.

Tetapi kini Shahnon yang agak uzur telah mengecam pula parti yang didokongnya kerana bekerjasama dengan DAP. Jelas kini Shahnon telah bersikap lebih lunak dalam soal politik dan persepsinya terhadap kerajaan.

Kalau dahulunya Shahnon Ahmad agak kritikal terhadap kerajaan kini beliau telah berpusing beberapa darjah. Ironinya, Pak Samad kini mengisi pula kekosongan yang ditinggalkan Shahnon.

Namun apakah Pak Samad akan bersikap lebih lunak terhadap kerajaan diakhirnya sepertimana Shahnon yang kini agak mengendur.

@Ehsan Kartun Rossem.

Sindrom bisu FAM

Tutup mulut dan pejam mata...

                              
                                     Alahai FAM.....

Sentuhan Mohammad Ghaddar

Hatrik jaring tiga gol
PENYERANG import dari Lubnan, Mohammad Ghaddar menamatkan kemarau gol bila ia menjaringkan tiga gol membantu Kelantan menewaskan Arema FC dari Indonesia dalam pusingan Piala AFC. Kelantan menang 3-0.

Sejak bersama The Red Warriors musim ini beliau gagal mempamerkan aksi cemerlang dan gagal menghasilkan sebarang gol. Dia cuma berjaya menjaringkan dua gol - semua dari sepakan penalti.

Kegagalannya menjadi penyerang yang berkesan telah menimbulkan rasa tidak puas hati pengurusan KAFA dan para penyokong setia. Justeru itu Ghaddar digugurkan dari senarai pemain dalam Liga Super M. Dia disimpan dan disenaraikan bagi kejohanan AFC yang sedang berlangsung sekarang.

Masalah Ghaddar ini juga telah menjadi salah satu faktor bekas jurulatih Kelantan, Peter Butler tidak berpuas hati dengan keputusan KAFA dan mendorongnya meninggalkan pasukan Red Warriors.

Tetapi semalam Ghaddar berjaya menamatkan badi kemarau gol dengan menghasilkan hatrik menembusi gawang Arema FC seterusnya mencerahkan kembali peluang Kelantan dalam carta kedudukan dalam kumpulan.

Ironinya, kegembiraan Ghaddar dan seluruh peminat Kelantan dengan kejayaan semalam diiringi dengan berita duka hukuman FAM selama 2 tahun 6 bulan terhadap Presidennya, Tan Sri Annuar Musa di atas tindakannya mengkritik secara terbuka prestasi pasukan kebangsaan.

Tan Sri Annuar berada di stadium menyaksikan kelincahan Ghaddar menjaringkan gol. Ghaddar kelihatan puas. Sekurang-kurangnya kegembiraan semalam dapat menawar kedukaan tentang nasib pemimpin mereka yang disayangi.

Rabu, 4 April 2012

Antara politik dan korporat

ADUN Kedah diisytihar muflis

DATUK Syed Sobri Syed Hashim, Naib Ketua UMNO Bahagian Padang Terap yang juga ADUN Kedah, kawasan Kuala Nerang disahkan muflis akibat gagal melunaskan hutang RM8juta pada bank.

Hutang tersebut adalah sebahagian dari jumlah RM50juta pinjaman yang diambil pada 1990an bagi membawa syarikat perniagaannya ke Bursa Saham Malaysia.

Dengan itu beliau gugur sebagai wakil rakyat dan tidak layak bertanding dalam pilihanraya.

Kes ahli politik yang muflis akibat tindakan dari pihak bank bukanlah sedikit dan baru. Ia telah menjadi satu fenomena biasa lantaran ahli-ahli politik lebih sibuk berniaga dan berkorporat. Dalam UMNO hari ini kebanyakan para pemimpin diperingkat bahagian dan cawangan terlibat dan merebut segala peluang perniagaan.

Tidak seperti tahun awal 80an di mana majoriti pemimpin dan ahli terdiri dari para guru dan pendidik. Tetapi kini zaman telah berubah suasana dalam parti telah dikuasai oleh golongan saudagar dan peniaga. Sehingga ada calon mengejar jawatan kerana ingin mendapat berbagai projek.

Masalahnya sebahagian besar ahli politik ini tidak tahu pun atau mahir dalam selok belok perniagaan. Penglibatan mereka hanyalah bersifat seperti rakan kongsi atau sleeping partner dan menjadi ahli lembaga pengarah yang tidak mengetahui secara terperinci perjalanan sesuatu perniagaan itu.

Kehadiran mereka hanyalah sebagai "pelobi" bagi mendapat kemudahan itu dan ini. Dan paling menakutkan mereka akan menjadi penjamin dalam setiap syarikat yang memberi berbagai elaun dan faedah.

Tetapi bila sesebuah syarikat itu bermasalah mereka akan menjadi kambing hitamnya. Justeru para ahli politik dan wakil rakyat perlu membuat pilihan dan keputusan yang betul sama ada ingin menjadi wakil rakyat sepenuh masa atau menjadi ahli perniagaan yang berjaya.

Setakat ini belum ada lagi tokoh yang berjaya dalam dua bidang sekaligus. Ahli perniagaan yang berjaya tidak akan menceburi bidang politik. Begitu juga seorang politikus berjiwa rakyat tidak akan mencari kesempatan dalam bidang perniagaan.

Orang politik tidak pandai mengira duit. Kalau dapat 50 juta, sekejap habis dibelanjakannya !

Selasa, 3 April 2012

Pilihanraya sudah dekat

Mari minum dulu...

             Apa macam mahu debat ke ? Bukan jauh sangat....

Aksi Harimau Muda di Liga S

Kekal rekod tanpa kalah

SKUAD bimbingan jurulatih Ong Kim Swee yang menyertai Liga Singapura kini masih belum tewas dan menduduki tangga kedua Liga.

Keputusan terbaru mereka berjaya mengalahkan pasukan Young Lions 3-1 dan menundukkan bekas juara Liga S, Armed Forces 2-1.

Setakat ini prestasi Harimau Muda boleh dibanggakan seluruh peminat di tanahair setelah kecewa gagal dalam Kelayakan Olimpik London 2012 baru lalu.

Diharap anak buah Kim Swee dapat meneruskan aksi cemerlang mereka bagi mengekalkan imej negara sebagai jaguh di Asia Tenggara. Skuad ini masih terdiri dari para pemain yang masih muda dan menjadi harapan pada masa hadapan.

Jika dibandingkan dengan pasukan Lions XII yang menyertai Liga M, mereka sudah pun tewas dua kali di tempat sendiri pada Kelantan 2-1 dan Terengganu 1-0. Sedangkan skuad Lions dibarisi pemain-pemain senior. Namun ia kini ditangga kedua Liga dengan kelebihan satu perlawanan.

Ternyata penyertaan kedua pasukan negara jiran dalam Liga masing-masing telah memberi manfaat pada kedua pasukan dalam meningkatkan kualiti bolasepak di rantau ini.

Najib atau Anwar

Rakyat perlu buat pilihan
PERDANA MENTERI, Datuk Seri Najib Razak dalam ucapannya ketika melancarkan Laporan GTP & ETP 2012 semalam menggesa rakyat membuat pilihan yang tepat kerajaan yang bertanggungjawab bagi memastikan status negara maju pada 2020 dicapai.

Kerajaan atau pemimpin yang dipilih ibarat seperti kenderaan dan pemandu yang memerlukan kecekapan dan kualiti bagi memastikan kenderaan sampai ke destinasi yang dituju.

Oleh itu rakyat tidak boleh bereksperimen untuk menukar pemandu atau kenderaan yang belum dicuba dan terbukti kemampuannya.

Kerajaan hari ini terbukti adalah sebuah kerajaan yang memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat. Dan sebuah kerajaan yang telah memenuhi dan menunaikan segala janjinya pada rakyat dalam berbagai bentuk dan kemudahan.

Bukan seperti dipihak sebelah sana yang belum teruji kebolehannya, malah lebih membimbangkan tentang kredibiliti dan integriti para pemimpinnya yang bergelumang dengan berbagai masalah peribadi yang tidak kunjung padam.

Pilihanraya Umum ke 13 adalah medan untuk rakyat menentukan halatuju negara dan masa depan rakyat yang lebih terjamin. Kemakmuran dan kestabilan negara bukan boleh digalang ganti.

#Illustrasi: DukeofUMNO

Isnin, 2 April 2012

Letupan bom di Thailand



THAILAND digegar lagi dengan letupan bom. Kali ini ia meletup
di bandar Yala dan Hatyai. Hampir 500 orang tercedera dan beberapa
angka kematian.

Setiap kali letupan berlaku pasti ada rakyat Malaysia yang cedera serta
terbunuh. Insiden sebegini bukanlah kali pertama, malah berlaku sepanjang
masa. Ia ibarat peristiwa sambung menyambung tanpa henti. Cuma ada jarak
waktu dari satu insiden ke insiden yang lain.

Nampaknya, pihak berkuasa Thai hampir buntu dalam menyelesaikan kes
keganasan ini yang melibatkan puak pemisah wilayah selatan. Ada juga spekulasi
menyatakan siri-siri pengeboman ada kaitan juga dengan kumpulan pengedar dadah.

Sudah hampir lima tahun kes-kes keganasan ini berlaku di wilayah berkaitan yang
telah mengorbankan lebih 7000 ribu orang awam. Rakyat terus berada di dalam
ketakutan dan ketidakstabilan.

Dianggarkan beribu orang yang menetap di wilayah selatan telah berpindah ke utara
kerana tidak mampu lagi menghadapi situasi yang mengancam nyawa.

Kebanyakan pada waktu malam di tempat-tempat keramaian atau pasar-pasar malam
menjadi sunyi ekoran ramai orang pulang awal dan tinggal di rumah masing-masing.
Dengan suasana yang tidak menentu, insiden-insiden keganasan boleh berlaku tiba-tiba
tanpa amaran.

Tetapi anehnya rakyat Malaysia terus berkunjung ke sempadan seperti biasa tanpa rasa
takut walaupun kerajaan kerap kali memberi amaran tentang bahayanya keselamatan.

Kerajaan tidak berupaya untuk menyekat  rakyat dari negara ini untuk terus ke negara jiran.
Terpulanglah pada mereka setelah amaran dikeluarkan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin

Timbalan Perdana Menteri yang setia

SEJAK peristiwa sejarah hubungan dingin pada 1983 antara bekas Timbalan Perdana Menteri (TPM), Tun Musa Hitam dengan bekas Perdana Menteri (PM) Tun Dr.Mahathir Mohamad ia telah menjadi satu fobia hubungan TPM dan PM sesudahnya.

Hubungan keduanya telah retak akibat perbezaan pendapat dengan Tun Musa meletakkan jawatan sebagai TPM.

Selepas Tun Musa pergi, Tun Ghaffar Baba mengisi jawatan sebagai TPM dan telah menjadi timbalan yang setia pada Dr.Mahathir.

Namun Tun Ghaffar tidak lama sebagai orang nombor dua kerana beliau pula dicabar oleh Anwar Ibrahim. Suasana pada masa itu tidak menyebelahi Tun Ghaffar yang menyebabkan dia menarik diri dan memberi laluan pada Anwar bagi mengisi jawatan nombor dua parti dan kerajaan.

Bagaimanapun, sejarah 1983 berulang lagi di mana hubungan Mahathir- Anwar pula menempuh badai. Hubungan keduanya pada mula adalah erat, namun bergelora di penghujung jalan seperti yang berlaku dengan Tun Musa Hitam.

Ertinya, pada era Mahathir, beliau mempunyai tiga TPM yang mempunyai masalahnya yang tersendiri.
Kecuali Tun Ghaffar yang lebih setia tetapi terpaksa berundur. Dengan tersingkirnya Anwar dari kerajaan, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengisi kekosongan sehinggalah sampai ke tangan Najib Razak.

Bila Najib menjadi PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menjadi timbalannya hingga kini. Dari segi usia Muhyiddin (65th) lebih tua dari Najib (59) enam tahun. Apakah mereka akan menjadi pasangan PM dan TPM yang erat dan kuat ?

Setakat ini keduanya telah membuktikan mereka tidak bermasalah seperti mana yang berlaku pada bekas TPM Musa dan Anwar. Muhyiddin tentunya banyak mempelajari peristiwa silam dan pasti akan membuktikan bahawa beliau adalah seorang timbalan yang setia dan tidak akan menimbulkan masalah pada parti dan negara.

Bagi PM Najib Razak pula ia menaruh keyakinan tinggi pada timbalannya, Muhyiddin dalam membantu dan melaksanakan segala perancangan transformasi negara lebih-lebih lagi dalam menghadapi pilihanraya umum ke 13.

Tan Sri Muhyiddin tentu mengambil ikhtibar dari apa yang menimpa Tun Musa dan Anwar. Beliau pasti akan menjadi TPM yang kekal dan setia.


@Karikatur: portrait-sketches.blogspot.com