Isnin, 30 September 2019

Kes 1MDB : Jho Low Tipu Najib..

Dalam kes mahkamah skandal 1MDB yang sedang dibicarakan sekarang dapat dirumuskan Jho Low mempunyai pengaruh besar terhadap bekas PM Najib Razak.

Jho Low bukan sahaja mampu mempengaruhi Najib, malah dia berjaya menggunakan Rosmah Mansor dan Riza Aziz bagi kepentingan dirinya.

Itulah secara kasar rumusan yang boleh dibuat intipati meletupnya skandal 1MDB yang telah menjatuhkan Najib Razak dan Umno/BN khasnya.

Namun perbicaraan kes ini masih berjalan dan masa masih panjang sama ada Najib akan diarahkan untuk membela diri.


Soalnya bagaimana Najib sebagai seorang PM boleh dipengaruhi dan dimanipulasi oleh seorang pemuda yang usianya hanya 30an.

Tidak boleh dinafikan skandal 1MDB merupakan satu pelan terancang Jho Low bagi kepentingannya.

Dari perbicaraan mahkamah banyak keterangan menunjukkan Jho Low menyalahgunakan dana kewangan 1MDB masuk ke akaun syarikat miliknya.

Dalam kes ini peguambela Najib cuba menyakinkan mahkamah bahawa Najib tidak mengetahui penipuan yang dilakukan Jho Low.

Semasa menjadi PM, Najib pernah menyatakan dia tidak pernah berjumpa dengan Jho Low.

Namun hakikatnya Jho Low sering berhubung dengannya dalam urusan 1MDB.

Ada satu foto yang berlegar dalam internet menunjukkan mereka berdua bersama Rosmah Mansor sedang bercuti dalam sebuah kapal layar mewah.

Jho Low memang licik. Dia gunakan Riza Aziz sebagai jambatan berhubung dengan Rosmah. Dan melalui Rosmah memberi ruang untuknya mempunyai talian dengan Najib.

Begitulah cerita 1MDB yang menggegar seluruh dunia.  Najib pun tersungkur kerananya.

Namun Jho Low terus menjadi pelarian dan bersembunyi. Dia tidak berani tampil membersih dan mempertahankan dirinya.

Atau setidaknya tampil membersihkan nama Najib yang dikatakan tidak mengetahui penipuan yang berlaku dalam 1MDB.

Dan bagi Najib pula memang padan dan patut dia tidak lagi menjadi PM. Kerana dia tidak layak sebab dia mudah sahaja ditipu Jho Low.



Sabtu, 31 Ogos 2019

Mahathir Atau Anwar Bercakap Bohong?

Para petugas media online dan media cetak telah berpuluh kali malah beratus kali menyoal Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, apakah dia akan menyerahkan jawatannya pada Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Maka Tun juga telah menjawab berpuluh kali benda yang sama pada soalan yang hampir sama berulang-ulang.

Jawabannya tetap sama iaitu dia tidak akan mungkir janji dan akan serahkan jawatan PM pada Anwar pada masa yang belum dimuktamadkan lagi.

Saya ingin bertanya pada semua wakil media dan wartawan, kenapa mereka bertanya soalan yang sama dan menerima jawaban yang sama berkali-kali. Mereka masih lagi-lagi menyoal perkara yang sama juga?

Kenapa mereka tidak menyoal  Tun Mahathir soalan yang lebih penting dan relevan dalam konteks masa depan kepimpinan negara.

Misalnya, apakah Tun masih berpegang pada kenyataannya dahulu bahawa seorang peliwat tidak layak menjadi PM?

Sekiranya Anwar bukan peliwat dan dia difitnah, apakah Tun tidak akan memohon maaf di atas kenyataan Tun itu?

Dan jika Anwar benar difitnah, apakah selama ini Tun turut terlibat dalam kerja memfitnah itu??

Lebih penting lagi sekiranya Tun tetap berpegang pada kenyataannya itu, kenapa dia sanggup menyerahkan jawatan pada orang yang pernah dituduhnya?

Siapa sebenarnya yang berbohong?

Apakah Tun berbohong bila menuduh Anwar sebagai seorang peliwat?

Atau Anwar sendiri berbohong??

Tidak mungkin keduanya betul. Salah seorang tentu bercakap bohong.


Pada para wartawan, lain kali ada sidang media tanyalah soalan-soalan ini pada kedua tokoh tersebut.

Tidak perlulah terus berulang bertanya bila Tun hendak serahkan jawatan pada Anwar?  Buang masa sahaja dan ia tidak relevan.

Sama ada Tun atau Anwar yang bercakap benar. Itu yang penting kerana kedua tokoh ini banyak menyumbang dan mempengaruhi perpecahan bangsa melayu kira-kira lebih 20 tahun dahulu. 

Jumaat, 30 Ogos 2019

62 Tahun Satu Bangsa Satu Negara

Negara akan menyambut hari merdeka ke 62 tahun. Usia 62 adalah usia matang dan hampir pencen.

Memang benar dalam tempoh tersebut negara telah mencapai berbagai kejayaan dan perubahan. Perjalanan masih panjang dan berterusan untuk membangun sebagai satu bangsa dan satu negara.

Racun paling berbisa dalam konteks negara kita adalah isu kaum.

Itu kaum. Ini kaum. Ini melayu. Itu Cina dan India. Ini Kadazan, Sikh dan lain-lain lagi. Semuanya berasaskan kaum bila masing-masing kaum mempertahan dan memperjuang kepentingan kaum yang mereka wakili.

Kita kehilangan identiti sebagai satu bangsa. Kita jauh ketinggalan sekiranya dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia, Singapura dan Thailand.

Seringkali bila timbul masalah kaum yang menjadi mangsa dan dipersalahkan adalah rakyat biasa. Rakyat bawahan yang menjadi punca dan dijadikan kambing hitam.

Namun yang sebenarnya yang menjadi barah dan perciknya api perkauman datangnya daripada orang-orang politik yang tidak bertanggungjawab yang mahu menangguk di air yang keruh semata demi kepentingan politik parti.

Merekalah syaitan berupa manusia.


Golongan ahli politik ini adalah dari yang paling bawah yang kerjanya hanya sembang di media sosial hinggalah politikus peringkat tinggi yang menerima gaji berpuluh ribu sebulan.

Mereka tidak ada kerja melainkan mengapi-apikan sekecil-kecil isu kerana hanya mahu mengaut laba demi kepentingan parti dan kedudukan.

Rakyat biasa di bawah sana tanpa mengira kaum baik-baik sahaja. Tidak ada konflik besar. Sekiranya ada ia tidaklah parah seperti yang cuba digambarkan oleh orang politik.

Jadi orang politik kenalah tunjuk teladan yang baik. Tak usahlah bermain dan memanipulasi isu kaum demi kepentingan parti dan kelompok.

Sudah 62 tahun kita masih lagi meracau isu bangsa. Cukuplah. Marilah kita berdiri dan bersuara sebagai satu bangsa dan satu negara.



Ahad, 21 Julai 2019

Anwar Ibrahim PM Ke 8

Anwar Ibrahim sudah cukup mempunyai pengalaman sebagai Timbalan Perdana Menteri dan bekerja dibawah Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggalah dia dipecat dan meringkuk di Sungai Buloh.

Ketika itu Anwar bersikap melawan dan menentang arus pimpinan Dr Mahathir. Anwar akhirnya gagal mengatasi sepak terajang politik mentor dan pemimpin yang pernah dianggap sebagai bapanya.

Kini mereka kembali bertaut. Dan sanggup melupakan sejarah yang berlaku antara mereka.

Dan Tun sudah sering mengulangi bahawa Anwar adalah penggantinya.

Namun dalam politik serba mungkin ditambah lagi sikap Dr Mahathir yang kadang-kadang membuat kenyataan agak umum dan memberikan berbagai tafsiran mengenai calon penggantinya sebagai PM ke 8.

Sudah tentu ini meresahkan terutamanya para penyokong hard core Anwar Ibrahim. Mereka tidak ingin melihat pisang berbuah dua kali dengan Anwar dinafikan jawatan PM sebagaimana dijanjikan.

Tetapi Anwar yang kini lebih matang dan bersedia berbanding 20 tahun dahulu tidak cepat latah dengan segala mainan politik dan spekulasi terhadap masa depan politiknya.


Memang benar Tun acapkali nyatakan bahawa Anwar adalah PM selepasnya. Namun dalam suasana itu ada sekali sekala sepak, siku dan tendang dirusuk yang sekiranya tidak terkawal boleh mencetuskan "perang"  secara bersemuka dengan boss dan mentornya.

Ibarat kata,Tun cuba mengajak Anwar masuk ke tengah gelanggang untuk bertinju. Tetapi Anwar tidak memberi reaksi balas. Malah cuba lari dan mengelak.

Tun semahunya Anwar bertindak balas dan melawan. Tetapi itu tidak berlaku.

Sekiranya Anwar bertindak balas dan melawan bererti Anwar telah terkena perangkap. Bukan mustahil peristiwa 1998 bakal berulang.

Jadi Anwar kini mengikut arus. Tidak melatah dan tidak menentang. Sebab itu setiap kenyataan Anwar adalah sehaluan dan senada dengan Tun dalam semua isu.

Kalau ada pun berlainan sikap dan pendirian, Anwar mengambil sikap terbuka dan jalan tengah serta lebih berdiplomasi sehingga tidak berkonfrontasi dengan Tun secara terbuka.

Ini adalah sikap dan pendirian Anwar sekarang. Kerana dia tidak mahu lagi terlepas peluang sebagai PM ke 8.

Anwar tahu dan percaya, Tun tidak mudah melanggar janjinya seperti sering diucapkan bahawa dia (Anwar) adalah penggantinya.

Tun Mahathir juga tidak mahu sejarah mencatatnya sebagai pemimpin yang melanggar janjinya.

Justeru itu jawatan PM ke 8 masih tetap dalam jangkauan Anwar Ibrahim !!









Khamis, 18 Julai 2019

Tun Mahathir Tidak Serah Jawatan PM Pada Anwar Ibrahim??

Tidak terlintas dalam fikiran sesiapa, Anwar Ibrahim dan Azmin Ali - dua sekutu rapat dalam politik akhirnya menjadi musuh dan seteru. Benar seperti yang dikata,  dalam politik tiada kawan dan musuh yang kekal.

Kemuncak hubungan tegang antara Anwar dan Azmin berlaku ekoran tersebar video lucah melibatkan Azmin.

Terkeluar kenyataan dan sindiran antara satu sama lain.

Anwar adalah calon PM ke 8 selepas Tun Mahathir seperti yang dimaklumkan Pakatan Harapan pada umum .

Adalah jelas Anwar sebagai pengganti Tun Mahathir sebagai PM.


Namun segalanya berubah bila Tun Mahathir membuat langkah politik bila dia melantik Azmin sebagai menteri kabinet. Sedangkan Azmin ketika itu menggalas sebagai Menteri Besar Selangor.

Yang menarik pula Azmin dilantik sebagai Menteri Ekonomi yang dianggap sebagai menteri kanan dalam kabinet.

Banyak analisis beranggapan Tun Mahathir mempunyai plan politik untuk Azmin sebagai salah seorang calon kerusi PM.

Di sinilah bermulanya bunga-bunga keretakan hubungan Anwar dan Azmin.
Sebenarnya, pada awalnya Anwar tidak pernah menganggap Azmin sebagai pesaingnya bagi kerusi PM.

Namun cara politik Tun Mahathir terlalu halus dan jauh ke hadapan.

Adalah jelas Tun mengamal politik pecah dan perintah - divide and rule. Ini adalah memastikan Anwar mempunyai saingan politik. Dan seterusnya Tun boleh mengekalkan jawatan PM sehingga penuh penggal dan tidak dua tahun seperti yang dimaklumkan pada umum.

Kenyataan kini parti PKR sedang bergolak dan berpecah menjadi dua blok. Blok Anwar dan blok Azmin.

Sekiranya Anwar sebagai Presiden PKR gagal mengawal dan menyatukan seluruh ahli parti - PKR akan lemah dan berpecah. Dan ini akan menutup peluang Anwar sebagai PM 8 pengganti Tun Mahathir.

Dengan isu terkini video lucah yang melibatkan Azmin, parti PKR sedang menghadapi gelombang besar sebagai ujian survival parti dari berpecah dua.

Tetapi bagi setengah analisis ini adalah langkah seperti pepatah Inggeris " killing two birds with one stone" - bagi Tun Mahathir mengekal jawatan PM atau sekurang-kurangnya menghalang Anwar menjadi PM 8.



Ahad, 30 Jun 2019

Zahid Hamidi Tiada Pilihan Mesti Letak Jawatan Presiden Umno

Presiden Umno, Zahid Hamidi kini menghadapi lebih 87 tuduhan rasuah dan salah guna kuasa di mahkamah.

Zahid telah pun bercuti sejak Disember tahun lalu sebagai Presiden parti kerana faktor ramainya pemimpin Umno mengugut keluar parti mahu menyertai parti Bersatu.

Mereka kurang yakin dengan kepimpinan Zahid sebagai Presiden parti.

Tugas Presiden kini diambil alih Mohamad Hasan atau Tok Mat, Timbalan Presiden.

Sejak Tok Mat memangku jawatan Presiden parti kelihatan parti Umno semakin pulih imej dan memenangi beberapa pilihan raya kecil. Suasana dalam parti dilihat stabil jika dibandingkan semasa Zahid.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

Namun selepas hampir tujuh bulan percutian Zahid, ada tanda-tanda Zahid mahu kembali memikul tugas Presiden. Zahid kini sedang menguji tahap sokongan dan reaksi akar umbi ahli parti.

Masalahnya, Zahid kini sedang menghadapi lebih 87 pertuduhan kes rasuah di mahkamah. Satu jumlah pertuduhan yang lebih banyak berbanding pertuduhan yang dihadapi Najib Razak.

Yang peliknya ahli-ahli Umno seperti bisu dan pekak serta tidak berani bersuara mengenai kes yang dihadapi Zahid.

Ini berlaku seperti bisu dan pekaknya mereka mengenai isu 1MDB semasa Najib berkuasa. Majoriti mereka tidak bersuara.

Akhirnya parti Umno ditimpa malapetaka dalam Pru 14 lalu yang menyaksikan Umno kehilangan kuasa selepas 60 tahun berkuasa.

Nampaknya ia tidak memberi sebarang pengajaran berguna pada ahli parti.

Kes Zahid adalah jelas dan terang ia tidak memberi imej positif pada parti.

Sekiranya Zahid sayangkan parti Umno dia perlu melepaskan jawatan Presiden parti secepat mungkin.

Zahid perlu utamakan parti daripada kepentingan peribadinya. Sekiranya kesnya selesai dan dia berjaya bersihkan dirinya dari semua pertuduhan dia boleh kembali memegang jawatan parti melalui proses parti.

Sudah cukup skandal 1MDB memakan diri Najib, malah Umno dan Barisan Nasional.

Zahid tidak perlu tunggu lama membuat keputusan. Dia tiada pilihan melainkan hanya memberi laluan pada Tok Mat sebagai Pemangku Presiden Umno sehinggalah pemilihan jawatan parti yang baru dapat diadakan. 

Rabu, 8 Mei 2019

PAS : Antara Pemimpin Atas Pokok Dan Pengikut Di Bawah Pokok

Kerajaan negeri Klate Serambi Mekah telah mengeluarkan arahan semua kedai makan di negeri tersebut diperintah tutup dari 8.30 malam sehingga 10.00 malam.

Ini bagi menghormati bulan ramadhan dan memberi ruang untuk melakukan ibadah tarawih.

Surat arahan itu dikeluarkan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri pada semua pihak berkuasa tempatan.


Surat bertarikh 6 Mei itu tidak sampai 24 jam telah mendapat respon dan reaksi balas orang ramai yang mengecam arahan separuh masak tersebut. Ia dikira sebagai tidak munasabah dan menyusahkan.

Soalnya kenapa arahan itu hanya pada para peniaga kedai dan warung yang sebahagian besarnya berpendapatan rendah dan sederhana ??

Apa yang jelas kedai-kedai makan di gedung-gedung besar seperti pasar raya, Mall,  Kfc, Mc Donald dan lain-lain tidak terlibat.

Sekiranya arahan ini berkuatkuasa nampaknya orang melayu yang berniaga secara kecilan akan bertambah miskin! Kedai-kedai makan di pasar raya pula mengaut keuntungan.

Apa hal pula dengan stesen minyak, para pengawal keselamatan dan seumpamanya - kena berhenti operasi juga dari 8.30 hingga 10 malam??

Adoi... nampaknya mereka yang membuat keputusan ini terdiri dari mereka yang tidak pernah rasa hidup susah. Dan tidak mengerti kehidupan orang biasa-biasa.

Setakat ini surat arahan itu belum lagi ditarik balik setelah mendapat kecaman dari pelbagai pihak.

Teringat pada bulan lepas seorang pemimpin tinggi Pas berkata,  para ahli parti kena ikut sahaja apa yang disarankan oleh pemimpin parti.

Kerana katanya,  ibarat pemimpin, dia nampak apa yang ahli tidak nampak.  Sebab dia pemimpin ibarat duduk di atas pokok. Dan ahli/pengikut berada dibawah pokok.

 Jadi pengikut tak nampak apa yang pemimpin atas nampak. Sebab pengikut berada dibawah pokok.  Hehehe...

Itulah tamsilan yang dibuat pemimpin negeri Serambi Mekah tersebut.

Dalam kes surat arahan di atas kita menggesa para pemimpin negeri Klate itu agar turun dari atas pokok dan merasakan sendiri apa yang berlaku di bawah pokok.

Hehehe....




Ahad, 28 April 2019

Anwar Ibrahim Tidak Mahu Jawatan Menteri Kewangan Ganti Lim Guan Eng

Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah calon Perdana Menteri ke 8 menggantikan Dr Mahathir bila genap dua tahun seperti yang disepakati kedua pemimpin tersebut. Baki tempoh peralihan itu kini tinggal lebih kurang setahun sahaja lagi.

Dr Mahathir mengulangi dia akan menyerahkan jawatan PM pada Anwar dan tetap menunaikan janji.

Anwar Ibrahim

Lagi pun berapa lama Mahathir akan memegang jawatan PM sedangkan usianya menjangkau 94 tahun. Dari segi logiknya tempoh dua tahun adalah munasabah dan tidak mungkin masa dilanjutkan lagi.

Mudah-mudahan DrM dilanjutkan usia dan terus sihat dalam menjalani kehidupan lanjut usianya itu.

Rakyat pula tentu menunggu penuh harapan Anwar sebagai pengganti tidak akan mengecewakan dalam meneruskan misi memulihkan negara dalam setiap bidang terutama ekonomi yang melibatkan rakyat peringkat bawah dan pertengahan.

Stail kepimpinan Dr M dan Anwar sudah tentu ada perbezaan. Dr M lebih kelihatan keras, agresif dan berterus terang dalam menyampaikan dan melaksanakan sesuatu.

Manakala Anwar saya kira agak sedikit diplomatik. Ini dapat dilihat bagaimana keduanya mengendali isu hubungan negara dengan Singapura dan pihak Istana.

Namun apa pun boleh difahami sikap Anwar itu adalah faktor kerana dia berada diluar kabinet dan sebagai bakal pengganti PM. Justeru itu dia perlu lebih berdiplomatik dan tidak menimbulkan sebarang kontroversi.


Apa pun Anwar telah melakukan kesilapan baru-baru ini bila dia mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak sanggup menjadi Menteri Kewangan pada masa ini menggantikan Lim Guan Eng kerana keadaan ekonomi dan tabung negara berada dalam keadaan sukar.

Anwar memberi contoh semasa dia menjadi Menteri Kewangan dari 1991 hingga 1998 pertumbuhan ekonomi negara adalah lebih 9 peratus. Tetapi kini hanya 4.5 peratus.

Ertinya keadaan sekarang adalah berat dan tugas Menteri Kewangan amat mencabar.

Oleh itu maksud Anwar , dia tidak sanggup pikul beban tersebut dan enggan menjadi Menteri Kewangan sekiranya diberi peluang.

Anwar silap.  Dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan begitu. Ia seolah-olah tidak mahu menghadapi cabaran dan beban. Sebagai bakal pemimpin nombor satu dia tidak boleh mengelak dan lari dalam menghadapi masalah dan cabaran.

Anwar tidak pula menyatakan yang dia tidak mahu menjadi PM ke 8 disebabkan faktor yang sama.

Apakah menjadi Menteri Kewangan itu lebih berat dan mencabar dari jawatan PM?











Selasa, 12 Mac 2019

Dr Mahathir Adalah Salah Satu Punca Nasib MAS Hari Ini

Dr Mahathir berkata kerajaan akan membuat keputusan kedudukan syarikat penerbangan Malaysia (MAS). Adakah MAS akan dijual, ditutup terus atau dipulihkan semula - refinance, akan dapat diketahui setelah kajian selidik dibuat.

Umum mengetahui MAS terus mengalami kerugian walau pun usaha pemulihan dan tambahan modal telah beberapa kali dilakukan.

Kini MAS yang dikuasai Khazanah Nasional seolah menemui jalan buntu mencari formula bagi mengembalikan kegemilangan Malaysia Airlines pada suatu masa dahulu.

Apa pun MAS adalah aset dan kebanggaan negara sebagai syarikat penerbangan nasional. Apakah kita sanggup melihat ia ditutup begitu sahaja?

Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman

Perlu diingat sebelum MAS diswastakan pada tahun 1994, ia adalah sebuah syarikat penerbangan yang berjaya dan menguntungkan dibawah pengurusan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman. Imej MAS begitu popular di dunia penerbangan.

Namun setelah ia diswastakan dan dijual pada ahli perniagaan Tan Sri Tajudin Ramli, MAS tidak bertahan lama dipuncak dan mulai mengalami kerugian.

Idea MAS dijual pada Tajudin Ramli yang juga pengasas Celcom, tidak lain dari Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri waktu itu. Khabarnya, Mahathir meminta Tajudin membeli MAS sebagai "tanggungjawab nasional".

Selepas Tajudin telah bertukar beberapa kali pengurusan sehingga hari ini - MAS terus dirundung malang. Akaun MAS berterusan berwarna merah!

Sebagai orang yang terlibat secara langsung menswastakan MAS dahulu, Dr Mahathir tidak boleh lepas tangan begitu sahaja.  Dia perlu menyelamatkan syarikat itu dari berkubur tanpa nisan.

Soalnya kenapa sebelum MAS diswastakan dan dibawah pengurusan Tan Sri Abdul Aziz ia adalah syarikat yang berjaya dan menguntungkan.  Tidak ada masalah kerugian seperti yang dialami 15 tahun terakhir ini.

MAS adalah syarikat penerbangan dunia yang berjaya sekitar 1980an sehinggalah ia dijual pada swasta.

Bekas pengurusnya Tan Sri Aziz pernah memohon pada kerajaan agar ia diberi peluang mengambil alih pengurusan MAS melalui satu konsortium bagi menyelamatkan MAS namun cadangannya itu ditolak kerajaan.

Kenapa Khazanah tidak mengambil Tan Sri Aziz bagi membantu memulihkan syarikat tersebut ?

Kenapa sebelum ini Khazanah lebih sanggup mengambil orang luar atau Mat Salleh sebagai CEO MAS? Terbukti langkah tersebut menemui kegagalan dan menimbulkan banyak masalah.

Dr Mahathir sebagai Pengerusi Khazanah perlu teliti dan perhalusi dalam membuat keputusan berkaitan masa depan MAS.

Kerana dia tidak boleh elak sebagai antara orang yang bertanggungjawab menjadikan MAS seperti yang berlaku hari ini. 

Zahid Hamidi Tiada Pilihan

Presiden Umno, Zahid Hamidi yang sedang bercuti dari tugas Presiden sejak Disember lalu kemungkinan besar akan melepaskan jawatan tersebut pada Timbalannya, Mohamad Hasan yang kini memikul tugas Presiden parti.

Zahid yang kini kurang popular tidak mempunyai pilihan.  Sama ada serah jawatan atau disingkirkan oleh Majlis Tertinggi Umno.

Ahli MT Umno boleh membuat keputusan dalam mesyuarat khas MT.

Dengan suasana perkembangan politik negara kini tidak mungkin dan mustahil bagi Zahid Hamidi kembali memimpin Umno.

Pertamanya, Timbalannya Tok Mat Hasan berjaya memikul tugas Presiden dengan berkesan semenjak Zahid bercuti.

Keduanya, Zahid perlu menumpukan kes pertuduhan terhadapnya di mahkamah melibatkan tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Ketiga, kedudukannya sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen telah pun diambil alih oleh Naib Presiden Umno, Ismail Sabri Yaakob yang juga kini menjalankan tugas Timbalan Presiden Umno.

Berdasarkan senario ini, Zahid dilihat tidak lagi relevan dan diperlukan parti buat masa ini.

Soalnya apakah Zahid perlu menunggu ahli parti membuat keputusan dan tindakan terhadap kedudukannya?

Zahid kini bukan lagi Ketua Pembangkang di Parlimen. Dia juga hanya menjadi Presiden Umno pada nama sahaja sedang hakikatnya, Tok Mat Hasan lah kini sedang menerajui parti Umno.

Bagi menjaga air muka dan maruah, Zahid perlu cepat bertindak dengan mengundur diri dan melepaskan jawatan Presiden parti.

Dia boleh kembali selepas dia mampu bersihkan namanya ke atas semua pertuduhan di mahkamah nanti.