Sabtu, 12 Mei 2012

Isu hukum hudud

DAP tunjuk kuasa
PENGERUSI DAP Karpal Singh telah membidas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang berkaitan dengan perlaksanaan hukum hudud jika Pakatan Rakyat(PR) berjaya memerintah.

Datuk Seri Hadi telah berkata baru-baru ini bahawa hukum hudud akan dilaksanakan setelah masalah utama dapat diselesaikan seperti kemiskinan, tangga gaji minimum dan lain-lain. Ertinya, sebelum dilaksanakan hudud, beberapa perkara keutamaan perlu diselesaikan.

Hujah dan alasan Presiden Pas itu dalam melaksanakan hukum hudud adalah hujah yang sama diberikan oleh Umno 40 tahun dahulu. Umno tidak menolak hukum hudud, tetapi lebih menekankan pada soal kepentingan dan keutamaan suasananya sebelum dilaksanakan sebagaimana alasan Haji Hadi itu.

Bagaimanapun, beliau telah dibidas oleh Karpal Singh yang memang diketahui seorang yang anti hukum Islam dilaksanakan di negara ini. Karpal, suatu masa dulu pernah memberi amaran supaya langkah mayatnya dahulu sebelum dilaksanakan hukum Islam di negara ini.

Begitulah tegasnya pemimpin DAP bersuara dan menyanggah setiap kali pemimpin Pas membuat apa sahaja kenyataan bersabit dengan hukum hudud. Mereka begitu berani, lantang dan berterus terang. Yang peliknya setiap kali pemimpin DAP membantah, setiap kali juga para pemimpin Pas mengalah dan melutut. Tidak ada keberanian untuk mempertahankan pendirian parti, lebih-lebih lagi kenyataan itu keluar dari Presidennya sendiri.

Tetapi jika ada pemimpin Umno yang bersuara lebih sedikit tentang Pas; habis dibalunnya kiri kanan, atas bawah sampai hancus...  Itulah Pas sebuah parti yang sanggup bekerjasama dengan DAP - sebuah parti perkauman dan cauvinis lagi tidak demokratik. Cakap lain buat lain. Mangsa DAP yang terbaru ialah Naib Pengerusinya sendiri, Tunku Aziz Tunku Ibrahim yang tidak dilanjutkan tempohnya sebagai Senator akibat pendiriannya yang tidak menyokong Bersih pada 28 April lalu.

Pas yang hanya akan bertanding dari 60, 70 atau paling tinggi 80 kerusi parlimen dari 222 kerusi masih bermimpi dan berkhayal akan mendapat kerjasama DAP dan PKR bagi menawan Putrajaya dan seterusnya menubuhkan kerajaan pusat. Dan misi maha utama dan maha penting ialah menggantikan Umno. Logik dan masuk akalkah ?

Belum apa-apa lagi DAP telah mengetuk kepala Pas dan menunjukkan pada semua bahawa parti Cina itu berada di atas Pas dalam semua perkara. Pas kata ia ingin ganti Umno. Tetapi pada hakikatnya Pas akan diganti dengan DAP.

Barangkali telahan dan persepsi kemampuan Pas ini tidak betul dan tepat. Tetapi sekurang-kurangnya tunjuk dan buktikanlah sikit keberanian dan kemampuan Pas, peranan dan pengaruhnya dalam Pakatan Rakyat. Pas tidak harusnya menjadi pihak yang kerdil di samping DAP dan PKR.

Pas memperlecehkan peranan dan sumbangan Umno. Namun Umno telah buktikan bahawa ia tetap relevan, berpengaruh dan dominan dalam parti Barisan Nasional (BN).

Soalan untuk Pas : Islam gapo gak ?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan