Ahad, 31 Julai 2011

Catatan sebelum sahur


ALLAH S.W.T. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 185,
                         
                                 "Bulan Ramadan yang diturunkan padanya al-Quran."


Rasulullah s.a.w. bersabda,

                                  "Apabila tiba bulan Ramadan, segala pintu rahmat dibuka, pintu neraka
                                   ditutup dan diikat segala syaitan."
                                                                                         - Bukhari dan Muslim


                                   "Umrah pada bulan Ramadan kelebihannya menyamai mengerjakan
                                     haji bersama ku.
  
                                  
                                   "Apabila tiba Ramadan kerjakan ibadah umrah kerana satu umrahnya
                                     menyamai satu haji."

                                  
                                   "Sembahyang lima waktu, sembahyang dari Jumaat ke Jumaat dan bulan
                                     Ramadan ke Ramadan menghapuskan dosa antara dua tempoh itu apabila
                                     meninggalkan dosa besar."

                                   
                                   "Dijauhkan daripada rahmat Allah kepada sesiapa yang berada dalam bulan
                                     Ramadan, lalu tidak mendapat peluang keampunan Allah kerana tidak beribadat."


                                   "Sekiranya hama-hamba Allah mengetahui kelebihan yang ada pada Ramadan,
                                     pasti umatku mengharapkan tahun seluruhnya menjadi Ramadan."


  Nabi s.a.w. bersabda lagi;                               
                              
                                    "Lailatul Qadar itu berlaku dalam bulan Ramadan pada sepuluh yang akhir
                                      iaitu malam ke 21, ke 23, ke 25, ke 27. ke 29 atau malam terakhir Ramadan.
                                      Sesiapa yang bangun beribadat dengan niat yang ikhlas pasti diampunkan
                                      dosanya yang terdahulu dan yang kemudian."














                                  

Sabtu, 30 Julai 2011

Fadilat membaca selawat Nabi s.a.w.


SAID bin Umar Al-Anshari r.a seorang yang menyertai di dalam perang Badar, berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Siapa membaca selawat untukku satu kali dengan tulus ikhlas dari hatinya, maka Allah akan memberi selawat (rahmat) untuknya sepuluh dan diangkat ke sepuluh tingkat dan diampunkan baginya sepuluh dosa.

Amr bin Dinar dari Abu Jaafar berkata : Nabi s.a.w. bersabda : Siapa yang lupa membaca selawat kepadaku maka bererti dia telah keliru (tersesat) dari jalan ke syurga.

Abu Buraidah dari ayahnya berkata : Nabi s.a.w.bersabda : Empat macam dari kekecewaan :
1.  Jika seorang kencing sambil berdiri
2.  Seorang yang terburu-buru mengusap dahinya sebelum selesai sembahyang.
3.  Seorang yang mendengar azan lalu tidak mengikuti suara muazzin.
4.  Seorang yang mendengar namaku disebut lalu dia tidak membaca selawat untukku.

Anas bin Malik r.a berkata : Nabi s.a.w. bersabda : Siapa yang membaca selawat untukku satu kali, maka Allah memberi selawat untuknya sepuluh kali dan dihapuskan sepuluh dosa-dosa.

Jika engkau ingin mengetahui betapa besarnya selawat itu dari lain-lain ibadah, maka perhatikan dan renungkan ayat : Dalam semua perintah ibadah, langsung Allah menyuruh hamba beribadah, adapun dalam ibadah selawat, maka Allah menyatakan bahawa Allah sendiri yang memulai selawat, kemudian disambung oleh malaikat, kemudian diwajibkan pada kaum muslimin untuk membacakan selawat untuk Nabi s.a.w.. Maka dengan ini nyatalah bahawa selawat itu afdhal dari lain-lain ibadat.

Kata Imam Ad-Dinauri : Barangsiapa membaca selawat ini tiap-tiap lepas sembahyang sebelas kali dijadikan dia wirid nescaya tiada berkeputusan rezekinya (selawat Tafrijiyyah) dan menjampi ia akan martabat yang tinggi. Dan barangsiapa mengekali membaca akan dia tiap-tiap lepas sembahyang Subuh tiap-tiap hari empat puluh satu kali mencapai ia akan kehendaknya. Dan barangsiapa mengekali membaca akan dia tiap-tiap hari seratus kali hasil "mathlubnya" lebih daripada kehendaknya.

Kata Imam Al-Qurthubi : Barangsiapa mengekali atas selawat ini tiap-tiap hari empat puluh satu kali atau seratus kali atau lebih, diangkat oleh Allah Ta'ala akan dukacitanya dan mudharatnya dan luaskan rezekinya dan dibukakan baginya segala pintu kebajikan dan diluaskan kalimahnya dan diamankan dia daripada datang Hawadits Az-Zaman dan daripada papa dan dicampakkan baginya kasih segala hati manusia akan dia dan dimustajabkan permintaannya.

Wallahu "alam.

Rujukan: AL-Jauhar Al-Mauhub Wa Munabbihat Al-Qulub, Asy Syeikh Ali Bin Abdul Rahman Al-Kalantani.
            : 444 Peringatan Untuk Umat MUHAMMAD S.A.W., Hj. Ismail Abdullah.
            : Penerbit: Jahabersa.com.my
            : Dicetak oleh : BIN HALABI PRESS, Pattani, Thailand.
             








Pemain import kekuatan Singapura


"KALAH bermaruah" begitulah antara tajuk berita akhbar harian tempatan ekoran kekalahan pasukan negara ditangan Singapura secara agreget 4-6 sekaligus menafikan peluang ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2014.

Bermaruah, barangkali dalam ertikata pasukan Harimau Malaya terdiri dari pemain-pemain muda dan 100% Malaysian berdepan dengan pasukan Singa yang jelas bergantung penuh pada pemain-pemain importnya seperti Alexander Duric (Serbia), Mustafic Fahrudin (Bosnia), Daniel Bennett (England), Qiu Li dan Shi Jiayi (China).

Merekalah merupakan aktor dan faktor sebenar merobekkan benteng pertahanan Malaysia. Kesemua enam gol yang dijaringkan adalah sumbangan mereka. Di tambah pula dengan Radojko Avramovich, jurulatih dari Serbia.

Kita perlu berbangga dengan persembahan Harimau yang bermain bersungguh-sungguh dan sedaya upaya, namun apakan daya pasukan lawan lebih bagus. Tetapi perjuangan belum selesai dan banyak lagi cabaran menanti pemain-pemain muda kita yang mempunyai potensi besar bagi menghadapi Piala Asia dan mempertahankan kejuaraan Piala AFF tahun depan.

Pemain seperti Khairul Fahmi, Muslim Ahmad, Fadli Shas, Mahali Jasuli, Assaruddin Omar, Gurusamy, Aidil Zafuan, dan ramai lagi, mereka semua masih dalam lingkungan 20an berbanding dengan sebahagian besar pemain Singapura yang telah berusia dan lebih berpengalaman.

Kita tewas dari segi pengalaman dan ini akan menjadi satu pelajaran bagi para pemain muda kita untuk bangkit dan menebus kembali maruah bolasepak negara. Dan apa yang penting sekali membalas sokongan yang telah ditunjukkan oleh seluruh peminat tanahair yang telah membanjiri stadium mencecah 90,000; satu rekod dalam sejarah perlawanan bolasepak tanahair sejak zaman Mokhtar Dahari.

Sambutan dan sokongan para peminat terhadap Harimau Malaya adalah luar biasa dan hebat. Ini semua memberi petanda positif pada masa depan sukan nombor satu di negara ini..

Lebih mengharukan, walaupun tewas para peminat dan penyokong setia ini terus memberi sokongan tanpa berbelah bagi. Kini giliran Harimau Malaya pula membalas segala sokongan yang telah diberikan dengan tidak mengecewakan mereka dengan mencipta satu kebangkitan baru dalam kejohanan akan datang.












Jumaat, 29 Julai 2011

Bolasepak : Malaysia tersingkir


AKHIRNYA Singapura menunjuk jalan keluar pada pasukan negara dari kelayakan Piala Dunia 2014.

Malaysia hanya sekadar seri 1-1 dengan Singapura sebentar tadi menjadikan kita tewas secara aggreget 6-4. Ramai yang menjangkakan Harimau Malaya akan menang besar malam ini, namun segalanya meleset.

Dalam separuh masa pertama corak permainan pasukan negara tidak begitu menyengat dan gambaran awal sudah terbayang yang pasukan negara akan menghadapi kesukaran setelah gagal menghasilkan sebarang gol.

Bila masuk separuh masa kedua tekanan semakin memuncak kerana bukan mudah untuk menghasilkan dua gol, lebih-lebih lagi bahagian serangan kurang menjadi. Singapura pula hanya memburu satu gol bagi mematikan rentak pasukan negara.

Begitulah apa yang berlaku setelah Safee Sali berjaya menjaringkan gol tunggal dan Singapura tidak mengambil masa yang lama bagi menyamakan kedudukan.

Dalam perlawanan itu jelas Singapura berjaya bermain mengikut "game plannya" dengan bermain secara tenang dan tidak ghairah kerana dari segi psikologinya mereka sedang mendahului dengan dua gol. Mereka hanya perlu bermain secara rilek dan berhati-hati.

Menurut K.Rajagopal, kecederaan Aidil Zafuan di minit-minit awal telah merencatkan taktikal pasukan negara. Manakala bahagian serangan gagal berperanan dan hilang kreativiti. Nasib baik penjaga gol Khairul Fahmi bermain dengan cemerlang dan telah menyelamatkan banyak percubaan dari penyerang Singapura yang boleh menghasilkan gol.

Apa yang menjadi persoalan ialah tindakan K.Rajagopal yang sering menurunkan Ahmad Fakri Saarani berbanding dengan Ashari Samsudin. Fakri yang masuk menggantikan Abdul Hadi Yahya jelas tidak berkesan, malah telah dilayang kad merah dan di arah keluar padang.

Sebagaimana dalam perlawanan lalu Fakri hanya berlari dan berlegar di atas padang sahaja tanpa gerakan-gerakan menarik. Manakala orang tidak lupa peranan dan sumbangan Ashaari Samsudin yang telah berjaya melorong bola ke arah Safee Sali yang telah menghasilkan gol memusnahkan harapan Indonesia di final Piala AFF di Jakarta yang lalu.

Bagaimanapun, seperti pandangan umum bahawa K.Rajagopal, sebagai jurulatih pasti lebih memahami para pemainnya dalam menentukan siapa yang patut berada dalam kesebelasan utama.

Walaupun tewas pasukan negara perlu bangkit dan menganggap kekalahan ini sebagai ikhtibar dan pengajaran berguna bagi menghadapi cabaran pada masa akan datang. Mereka masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah.

FAM pula perlu mengekalkan skuad yang ada untuk tempoh jangka waktu yang lama lagi. Mereka tidak perlu dihukum akibat kekalahan ini. Cuma perlu ada sedikit rombakan beberapa orang pemain.

 .

















Khamis, 28 Julai 2011

Wacana ilmu dalam bahasa Inggeris ?


WACANA anjuran Karangkraf bertajuk, "Apa Selepas 9 Julai" yang lalu telah memberikan pelbagai reaksi. Dihadiri dua tokoh penting iaitu Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga dan Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar. Panel ketiga ialah tokoh intelektual UKM, Prof Datuk Shamsul Amri Baharuddin.

Usaha Karangkraf mengadakan wacana ini harus dipuji dan diharap program seperti ini akan berterusan untuk percambahan ilmu.

Kesanggupan Datuk S. Ambiga dan Datuk Wan Ahmad bersemuka memberi hujah masing-masing harus dipuji. Tetapi seperti biasa dalam apa pun perbahasan atau forum tentang sesuatu isu ia tidak akan memberi sebarang penyelesaian. Namun sekurang-kurangnya ia dapat membuka skop topik itu lebih luas.

Khabarnya, dalam wacana tersebut suara hadirin lebih kuat dan bising dari suara para panel. Berbagai soalan diajukan sehingga suasana kecoh dan hangat. Sehingga apa yang ingin disampaikan ahli panel tidak didengari dan jelas.

Ini memburukkan lagi keadaan dengan para panel bercakap dalam bahasa Inggeris yang menyukarkan sebahagian hadirin untuk memahaminya. Bagaimana dalam wacana seperti itu boleh menggunakan bahasa Inggeris ?

Apa yang pasti Datuk S. Ambiga ialah seorang yang tidak fasih bercakap dalam bahasa kebangsaan. Tetapi dua lagi panel, Datuk Wan Ahmad dan Prof Shamsul terpaksa ikut rentak Pengerusi Bersih itu dengan menggunakan bahasa penjajah. Satu sikap tolak ansur di tahap tinggi.

Kalaulah wacana itu diwajibkan menggunakan bahasa kebangsaan, agak macam mana Ambiga akan menyampaikan hujah-hujahnya ? Barangkali, penjelasannya akan berbelit-belit dan lintang pukang.

Sebagai Pengerusi Bersih dan memperjuangkan isu paling "terhangat" yang melibatkan negara serta hampirnya sambutan kemerdekaan negara yang ke 54, ketidakupayaan Ambiga bertutur bahasa rasmi amat menyedihkan.

Di harap Sasterawan Negara, Pak Samad Said yang kebetulan salah seorang pemimpin penting Bersih dapat menegur Datuk S. Ambiga tentang penguasaannya dalam bahasa kebangsaan itu. Apatah lagi Pak Samad adalah orang yang paling kuat menentang penggunaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.

Agak janggal bagi orang seperti Pak Samad dan lain-lain pemimipin berketuakan seorang yang tidak menguasai bahasa rasmi negaranya sendiri.
















Selasa, 26 Julai 2011

Sikap "double standard" pembangkang


ISU kematian Teoh Beng Hock telah menjadi senjata ampuh pembangkang menyerang SPRM dan kerajaan dalam tempoh yang panjang. Berbagai tuduhan dan tekanan ke atas kerajaan sehingga tertubuhnya Suruhanjaya Siasatan menyiasat punca kematiannya.

Setelah kerajaan akur dengan permintaan semua pihak bagi penubuhan Suruhanjaya tersebut yang menelan belanja begitu besar, pihak pembangkang telah menolak hasil keputusan laporan Suruhanjaya tersebut begitu sahaja.

Alasan adalah mudah kerana keputusan Suruhanjaya itu yang mengesahkan bahawa Teoh Beng Hock tidak dibunuh, malah ia adalah kes bunuh diri. Keputusan ini sudah tentu tidak mengembirakan parti pembangkang, di mana sebelum ini ianya telah dimanipulasi sepenuhnya untuk menyerang kerajaan.

Pihak pembangkang telah menunjukkan sikap bahawa mereka tidak dapat menerima apa saja keputusan jika ianya tidak menyebelahi mereka. Sedangkan penubuhan Suruhanjaya tersebut adalah hasil permintaan mereka sendiri.

Jika Suruhanjaya itu ditolak, apa lagi ? Nampaknya semua perkara hendak dipolitikan.

Begitu juga dalam semua 16 pilihanraya kecil yang telah diadakan selepas PRU 12 lalu. Di mana pembangkang telah memenangi lapan kerusi dan Barisan Nasional juga menang lapan kerusi.

Bila pembangkang menang mereka akan mengatakan bahawa kemenangan itu adalah pertolongan dari "langit" dan rakyat menolak kerajaan sekarang. Tetapi bila kerajaan menang, mereka menuduh pula kerajaan guna wang dan menggunakan pengundi hantu. Dan bermacam-macam tuduhan dilemparkan.

Taktik pembangkang hanyalah untuk menghakiskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. Kini institusi polis pula menjadi sasaran. Segala-galanya tidak ada yang kena.

Perkembangan ini adalah sesuatu yang tidak sihat dan merbahaya. Sekiranya tugas pihak keselamatan dan institusi perundangan sudah tidak dihormati, maka sistem demokrasi yang kita amalkan tidak akan memberi erti. Apa yang membimbangkan ialah ia boleh menimbulkan suasana anarki.

Bila situasi anarki wujud tidak ada sesiapa yang akan rasa selamat dan masing-masing akan berada dalam ketakutan dan tidak selamat.  Inikah yang menjadi matlamat pihak-pihak tertentu ?

Sesebuah negara bila berada dalam kacau bilau dan tidak stabil ianya mudah mengundang pihak-pihak luar yang berkepentingan untuk menangguk di air yang keruh dengan mencampuri urusan dalaman negara tersebut. Contoh apa yang telah berlaku di negara-negara Islam cukup banyak dan tidak perlu dihuraikan lagi.

Negara kita tanggungjawab kita. Bukan tanggungjawab "demo". Moto ini harus disematkan pada setiap anggota masyarakat kita agar negara kita akan terus aman dan stabil.

Tidak ada sesuatu paling bernilai dalam kehidupan sesebuah negara melainkan keamanan dan kestabilan. Jangan sampai nikmat itu hilang sekelip mata kerana belum tentu kita akan memperolehinya setelah ia hilang.













Isnin, 25 Julai 2011

Tan Sri Sanusi Junid masuk wad


BEKAS Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid telah dimasukkan ke sebuah hospital swasta setelah mengadu sakit dada. Beliau kini semakin sihat dan boleh bercakap. Tan Sri Sanusi akan terus berada di hospital untuk rawatan lanjut.

Sanusi Junid adalah antara tokoh penting dalam UMNO dan kerajaan semasa era Tun Dr. Mahathir Mohamad. Beliau pernah memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung UMNO dan salah seorang dari tiga Naib Presiden UMNO bersama dua tokoh lagi iaitu Tun Abdullah Badawi dan Anwar Ibrahim.

Pada satu ketika beliau kelihatan berpotensi menjadi bakal calon Timbalan Presiden UMNO. Sanusi Junid ialah seorang politikus yang kreatif dan banyak idea. Semasa menjawat sebagai Menteri Pertanian, beliau banyak melakukan pembaharuan, termasuk kempen minum air kelapa, minuman koko dan sebagainya.

Ideanya banyak, kreatif dan kadang-kadang melucukan. Sanusi adalah satu-satunya menteri yang fasih bercakap dalam banyak bahasa termasuk Mandarin, Tamil, Urdu dan lain-lain. Beliau juga seorang gemar membaca dan disifatkan sebagai ulat buku.

Ini diterjemahkan melalui usahanya melahirkan sebuah kampung buku di Kedah yang kini tidak tahu bagaimana keadaannya setelah beliau tidak lagi berada dalam kerajaan. Di Kuala Lumpur salah sebuah rumah miliknya telah dijadikan perpustakaan yang dipenuhi dengan buku-buku miliknya. Khabarnya, Tan Sri akan menghabiskan masanya membaca sebagai aktiviti hariannya. Menurutnya lagi, habis semua buku di perpustakaan itu dibacanya.

Semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Tun Ghaffar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO,  Sanusi bersama dengan Pak Lah adalah antara pemimpin yang kuat menentang hasrat Anwar itu. Beliau dan Pak Lah telah berkempen seluruh negara bagi memberi sokongan pada Tun Ghaffar.

Usaha beliau gagal kerana angin dan gelombang Anwar masa itu terlalu kuat. Selepas Anwar berjaya menyingkirkan Tun Ghaffar, hubungan beliau dan Anwar menjadi dingin, malah menjadi seteru politik pula.

Bila kes pemecatan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri menjadi gawat, Sanusi telah tampil membantu Dr. Mahathir dan UMNO bagi mempertahankan tindakan parti dan kerajaan.

Sepanjang beliau aktif dalam politik, beliau adalah seorang penyokong kuat nombor wahid pada pimpinan Dr. Mahathir. Beliau begitu setia dan tidak pernah "derhaka" dalam situasi apa pun. Kini terbukti beliau dan Dr. Mahathir merupakan penyokong kuat Perkasa.

Hubungan beliau dengan Dr. Mahathir adalah lebih dari seorang pengikut dan mentor, malah seperti sahabat dan rakan yang setia. Ianya tak terpisahkan.

Sanusi Junid adalah seorang politikus unik dan kreatif pernah UMNO lahirkan. Peranan dan sumbangannya banyak untuk parti dan kerajaan. Namun detik hitam yang tidak mungkin dilupakan Sanusi ialah bila mana UMNO telah diharamkan oleh mahkamah semasa beliau menjawat sebagai Setiausaha Agungnya.














Harimau Malaya mesti positif


KEKALAHAN 3-5 di Singapura perlu dilupakan sementara waktu dan para pemain negara mesti positif dan fokus pada perlawanan kedua Khamis ini di Kuala Lumpur.

Apa yang positifnya dalam perlawanan itu ialah pemain kita mampu bangkit dan menjaringkan dua gol setelah ketinggalan 1-4 dalam separuh masa pertama menjadikan kedudukan 3-4 satu ketika. Tetapi gol kelima Singapura merencatkan sedikit suasana.

Harimau Malaya boleh menewaskan Singapura Khamis ini sekiranya mereka bermain bermati-matian dan mengelak dari melakukan kesilapan. Tugas dan beban pemain Harimau lebih berat jika dibandingan dengan pemain Singapura.

Singapura dengan kelebihan dua gol hanya perlu mencari satu gol awal bagi memusnahkan impian pasukan negara. Sedangkan Harimau Malaya mesti mendapatkan kelebihan dua gol dan memastikan gawang mereka tidak dibolosi.

Kelima gol Singapura Sabtu lalu dijaringkan oleh empat tenaga importnya, terdiri dari Alexander Duric, Qiu Li, Mustafic Fahruddin dan Shi Jiayi. Mereka semua cukup berbisa dan mempunyai saiz fizikal yang lebih besar berbanding pemain negara.

Kalau mereka berjaya membolosi gawang kita dengan dua gol, bermakna pemain negara perlu mencari empat gol dari segi aggreget. Begitulah seterusnya, semakin banyak jumlah gol dijaringkan Singapura, maka semakin bertambahlah tekanan ke atas pasukan negara.

Suasana tertekan adalah sesuatu yang perlu dielakkan kerana kini Harimau Malaya sudah pun tertekan. Bagaimanapun, tekanan itu masih berada di tahap berada dalam kawalan.

Justeru Harimau Malaya mesti positif dan fokus Khamis ini bagi menebus kekecewaan dalam perlawanan lalu. Maruah negara berada di pundak mereka. Hanya kemenangan selesa sahaja dapat mengubati luka yang tercalar itu.

Bagi K.Rajagopal, jangan terlepas pandang pemain seperti Khairul Fahmi, Amirul Hadi, Abdul Hadi Yahya serta Ashaari Samsuddin pada perlawanan Khamis ini.

Selamat berjuang. Dan menerkamlah seperti harimau !












Ahad, 24 Julai 2011

Bolasepak: Malaysia hadapi tugas berat


MALAYSIA tewas 3-5 pada Singapura beberapa jam yang lalu dalam perlawanan Pra Kelayakan Piala Dunia di Stadium Jalan Besar. Separuh masa pertama Malaysia ketinggalan 1-4.

Dengan keputusan ini pasukan negara perlu menang sekurang-kurangnya 2-0 dalam perlawanan timbal balik di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 28 Julai ini. Harapan pasukan negara masih ada, tetapi menghadapi tugas yang berat berdasarkan perlawanan sebentar tadi.

Sekiranya Malaysia berjaya menghasilkan dua gol dan Singapura pula mampu mendapatkan hanya satu gol, maka pasukan negara akan tersingkir dari kelayakan Piala Dunia.

Berdasarkan perlawanan tadi penyerang Singapura begitu berbisa dan mudah membolosi barisan pertahanan Malaysia. Mereka boleh lakukan sekali lagi bila pertemuan di Kuala Lumpur nanti.

Benteng pertahanan pasukan negara begitu rapuh sebagaimana yang dibayangi sebelum ini. Dan ianya terbukti sekali lagi bila mudah dibolosi dengan lima gol.

Prestasi penjaga gol Sharbini Allawee juga menimbulkan keraguan. Dia sudah pasti tidak akan diturunkan pada 28 Julai ini. Jurulatih K.Rajagopal juga ada melakukan sedikit kesilapan dalam menyenaraikan kesebelasan pemainnya.

Pemain seperti Ismail Faruqi dan Ahmad Fakri Saarani tidak sepatutnya berada dalam barisan utama. Ini terbukti  bila mereka dikeluarkan dan digantikan dengan Amirul Hadi Zainal dan Abdul Hadi Yahya dalam separuh masa kedua.

Kemasukan Amirul dan Hadi telah menukar corak serangan Malaysia dalam separuh masa kedua dan Abdul Hadi telah berjaya menjaringkan satu gol. Lagipun Abdul Hadi adalah penjaring gol terbanyak dalam Liga Malaysia. Bagaimana Rajagopal boleh utamakan Ahmad Fakri Saarani dari Abdul Hadi ?

Begitu juga Amirul Hadi lebih banyak bermain berbanding Ismail Faruqi. Rajagopal perlu berhati-hati dalam pemilihan para pemainnya. Dia mesti perbetul dan perbaiki kelemahan ini menjelang perlawanan kedua nanti.

Peluang pasukan negara masih terbuka, namun dalam masa yang sama mereka menghadapi tugas berat dan sukar memandangkan Singapura telah mempamerkan satu permainan yang berkesan.

Setelah kita juara Piala AFF, ini adalah ujian paling getir dihadapi pasukan negara. Apakah kita mempunyai kualiti yang sebenar sebagai juara ? Kita mempunyai satu lagi ujian pada 28 Julai ini untuk membuktikan bahawa kejuaraan Piala AFF yang kita menangi bukanlah nasib atau satu kebetulan.

Jika Singapura mampu menyingkirkan Malaysia dari Kelayakan Piala Dunia, maka imej kita akan tercalar dan Singapura pula boleh mendabik dada ia sebagai  jaguh sebenar di Asia Tenggara.

Kini harapan berada dibahu para pemain negara untuk bermain habis-habisan bagi mencuci arang yang terconteng di muka mereka setelah tewas 3-5.

Malaysia hanya perlukan dua gol dan pastikan Singapura tidak menjaringkan sebarang gol untuk layak ke pusingan seterusnya.













Jumaat, 22 Julai 2011

UMNO dan "winnable candidates"


KETUA UMNO Jerantut dan ahli parlimen kawasan itu, Tengku Azlan Sultan Abu Bakar telah mengesahkan bahawa beliau tidak akan bertanding dalam pilihanraya akan datang dan bersedia memberi laluan kepada calon yang lebih muda dan berkelayakan.

Tengku Azlan ialah bekas Timbalan Menteri Pengangkutan dan telah menjadi wakil rakyat Jerantut selama tiga penggal sejak 1999.

Keputusan beliau ini telah mendapat pujian banyak pihak dan menjadi contoh kepada para pemimpin lainnya yang telah lama berkhidmat, tetapi masih lagi melobi dan berkempen agar dipilih semula sebagai calon dalam pilihanraya akan datang.

Kesediaan beliau mengundur diri adalah sebagai menyambut kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak yang mahukan calon-calon UMNO terdiri dari calon "winnable" sahaja yang terpilih.

UMNO tidak akan melakukan kesilapan yang sama pada 2008, di mana banyak kesilapan berlaku dalam pemilihan calon-calon yang bertanding. Malah ada calon tidak mendapat restu dari Ketua Bahagian dan cawangan.

Calon yang mempunyai ciri-ciri "winnable" ini tidak semestinya Ketua Bahagian atau cawangan, tetapi ia mestilah mendapat sokongan majoriti penduduk dan bukan hanya sebilangan ahli UMNO.

Di sinilah penting peranan ahli-ahli UMNO bersatu dan menyokong siapa saja yang terpilih oleh pucuk pimpinan sebagai calon. Tidak ada gunanya terpilih sebagai calon, tetapi parti kalah.

Khabarnya, ramai pemimpin di peringkat bahagian dan cawangan sekarang sedang "kepanasan" akan peluang mereka menjadi bakal calon. Sudah ada sesetengahnya mula bergerak menjelajah dan mendekati rakyat dalam usaha menawan hati mereka.

Difahamkan calon yang akan dipilih tidak semestinya dari bahagian tertentu, malah ia boleh datang dari luar kawasan asalkan calon tersebut mempunyai peluang untuk menang.

Usaha ini adalah salah satu dari transformasi UMNO bagi menghadapi PRU 13. Pendekatan ini adalah  baik sekiranya mendapat sokongan dan kerjasama ahli-ahli UMNO. Tetapi sekiranya penyakit lama  seperti "cah keting" sesama sendiri berlaku lagi, maka UMNO akan menerima padah.

Langkah Tengku Azlan berundur memberi syarat pada para pemimpin yang sudah lama berkhidmat tetapi masih lagi mahu bertanding, walaupun sudah tidak popular, agar memberi laluan pada calon-calon yang lebih muda dan berwibawa. Kepentingan parti mengatasi lain-lain kepentingan.















Khamis, 21 Julai 2011

The Blues dan lautan biru


CHELSEA akan melayani pilihan Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini. Setelah Arsenal dan Liverpool berjaya menarik para peminat sehingga mencecah 80,000 penonton ke stadium, berapa pula angka jumlah penonton malam ini ?

Dua perlawanan lalu seluruh stadium dipenuhi warna merah lambang jersi The Gunners dan The Reds. Malam ini seluruh penjuru stadium akan dinaungi lautan biru kemegahan The Stamford Bridge.

Reputasi Chelsea dalam EPL adalah lebih hebat jika dibandingkan dengan Arsenal dan Liverpool. Chelsea berada di tangga kedua Liga selepas Manchester United.

Arsenal mengalahkan Harimau Malaya 4-0 dan Liverpool pula 6-3. Berapa pula jumlah gol yang akan bolos gawang pilihan Malaysia malam ini ? Jangan sampai angka 10 sudah le..

Pemain The Blues anggap serius perlawanan malam ini dan mereka akan menjaringkan gol sebanyak yang mungkin bagi menarik perhatian Pengurus mereka yang baru, Andrea Villas Boas.

Villas Boas ialah bekas pembantu Jose Mourinho semasa beliau berada di Stamford Bridge dulu. Pengamal media sukan telah menganggapnya sebagai The Special One yang baru selepas Mourinho berdasarkan kejayaannya dalam masa yang singkat membawa kelab Porto menjadi juara Piala UEFA.

Dalam usianya yang masih 30an, Boas, mempunyai potensi menjadi antara pengurus terbaik di dunia sebaris dengan Mourinho, Pep Guardiola dan Sir Alex Ferguson.

Chelsea selepas pemergian Mourinho tidak mencapai banyak kejayaan di EPL dan kejohanan di Eropah. Justeru itu tindakan Roman Abramovich melantik Boas adalah untuk menamatkan kemarau The Blues yang tidak memenangi apa-apa trofi akhir-akhir ini.

Boas tentunya ingin membuktikan pada Abramovich dan dunia betapa dia adalah pilihan yang tepat dan terbaik berbanding Carlos Anceloti, Guus Hiddink, Avam Grant dan lain-lain.

Perlawanan malam ini dengan pilihan Malaysia merupakan medan ujian bagi Boas memilih barisan terbaiknya bagi menghadapi musim baru. Dia dan para pemainnya tentu tidak pandang mudah perlawanan malam ini dan masing-masing mempunyai misi tertentu.

Bagi pilihan Malaysia untuk mengalahkan Chelsea adalah sukar. Namun jika berjaya mengekang barisan penyerang The Blues dari bermaharajalela dalam kotak penalti boleh dikira satu kejayaan. Harap tidak bolos sampai 0-10.















Rabu, 20 Julai 2011

Najib pikul tugas berat


SEJAK zaman Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri sehingga era Tun Dr. Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, era Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan tempoh paling mencabar dan sukar sebagai seorang Perdana Menteri.

Bukannya sebelum Najib tidak ada cabaran dan masalah, tetapi suasana politik negara kini begitu kompleks  dengan dasar langit terbuka dan tuntutan-tuntutan demokrasi dalam pengertian yang lebih luas dari pelbagai golongan.

Dr. Mahathir, misalnya, mengambilalih tampuk pemerintahan negara dari Tun Hussein Onn dalam suasana negara di dalam keadaan stabil dan harmoni. Tidak ada masalah besar yang ditinggalkan oleh Hussein Onn. Tugas Dr. Mahathir hanyalah meneruskan kepimpinan negara dengan gayanya sendiri.

Begitu juga bila Dr. Mahathir mengundur diri dan menyerahkan kuasa pada Tun Abdullah, semua isu dan permasalahan negara dan parti telah dapat diatasi. Ertinya, semasa Dr. Mahathir serah pada Pak Lah segalanya berada dalam keadaan tersusun dan kemas.

Memang semasa Dr. Mahathir banyak isu dan masalah yang timbul seperti perpecahan dalam UMNO dan isu Anwar Ibrahim. Tetapi semua isu tersebut telah dapat diatasi Dr. Mahathir dengan berkesan. Sehingga terbukti bila Pak Lah mengambilalih jawatan Perdana Menteri dan mengadakan pilihanraya pada 2004, Barisan Nasional telah berjaya memenanginya lebih dari dua pertiga majoriti.

Kejayaan besar BN pada 2004 di bawah Pak Lah merupakan satu rekod yang tidak pernah dicapai oleh Perikatan sejak merdeka. Ia mengatasi pencapaian para pemimpin terdahulu. Dan kredit telah diberikan pada Pak Lah di atas kejayaan itu, sekaligus dia digelarkan sebagai Mr. Nice Guy.

Barangkali, faktor kejayaan BN itu disebabkan personaliti Pak Lah yang dianggap bersih dan lembut. Berbeza dengan imej yang ada pada Dr. Mahathir.

Namun orang lupa faktor terbesar yang mempengaruhi kejayaan BN ialah peranan Dr. Mahathir yang telah melaksanakan tugasnya dengan sempurna sebelum menyerahkan baton pada Pak Lah. Semua isu yang berkait dengan parti dan kerajaan telah dapat diselesaikan. Dan ini telah mengembalikan sokongan orang-orang melayu terhadap UMNO - sebelum itu UMNO menerima tentangan hebat dari orang melayu ekoran isu Anwar Ibrahim.

Setelah setahun Pak Lah menerajui negara dalam suasana berbulan madu masalah mula timbul dan memperlihatkan kelemahannya sebagai Perdana Menteri. Suasana dan iklim politik mula lintang pukang dan beliau diperleceh semua orang, terutama ahli-ahli UMNO.

Justeru itu timbullah berbagai gelaran seperti suka tidur, lembik, tidak boleh buat keputusan dan sebagainya. Gelaran-gelaran ini memang pahit untuk diterima, namun itulah kenyataan sebenarnya. Pak Lah gagal sebagai Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Kelemahan beliau begitu menonjol dan ketara.

Keputusan PRU 12 mengesahkan segalanya. BN hilang dua pertiga dan mencatat rekod terburuk dalam sejarah pilihanraya, selain beberapa buah negeri jatuh ke tangan pembangkang.

Namun selepas PRU 12, Pak Lah masih bernafsu untuk meneruskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri. Tetapi negara bernasib baik dengan peranan dan tekanan yang dimainkan oleh Dr. Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, akhirnya Pak Lah terpaksa akur dan meletakkan jawatannya yang tidak sampai dua penggal itu.

Maka tibalah giliran Najib mewarisi kepimpinan yang ditinggalkan Pak Lah dalam keadaan tunggang terbalik. Tidak keterlaluan jika dikatakan sepanjang Pak Lah mewarisi pimpinan dari Dr. Mahathir, stail kepimpinan beliau telah merosakkan BN malah telah "menghancurkan" UMNO dalam percaturan politik negara.

Namun semua telah menjadi sejarah. Tugas yang diambil Najib bukan mudah dan ringan. Najib perlu melakukan banyak pembaikian dan pemulihan tinggalan Pak Lah. Setakat ini beliau berjaya melaksanakannya. Tinggal lagi beberapa langkah yang perlu diperkemaskan menjelang 2013.

Momentum itu sudah ada, cuma perlu sedikit "finishing".













Selasa, 19 Julai 2011

Ramadhan menjelang tiba


LEBIH kurang sepuluh hari lagi kita akan menyambut bulan puasa, bulan yang penuh rahmat dan keampunan. Kita patut bersyukur pada Allah swt kerana diberi baki usia dan kesempatan menjalani ibadat puasa; suatu ibadat paling istimewa yang dianugerahkan Allah swt kepada umat Nabi Muhammad saw.

Bagi mereka yang disahut kembali kerahmatullah sebelum tibanya Ramadhan sudah tentu tidak berkesempatan untuk melakukan ibadah yang amat besar ganjarannya disisi Allah swt. Kita yang masih diberi peluang untuk hidup dan dipanjangkan usia semestinya tidak melepaskan peluang keemasan ini bagi melipatgandakan ibadah agar diampunkan dosa-dosa yang telah lalu.

Amatlah rugi jika bulan ramadhan yang datang setahun sekali tidak kita isinya dengan amalan-amalan yang bermanfaat. Apakah ada jaminan yang kita akan bertemu lagi di bulan ramadhan pada tahun hadapan ? Sekiranya ditakdirkan usia kita singkat, apakah amalan dan bekalan kita sudah mencukupi untuk menghadapi Rabbuljalil ?

Justeru itulah ramadhan merupakan medan persaingan dan perebutan dalam mengerjakan amal kerana pahalanya berlipat ganda dengan lain-lain bulan.

Bagi saya, bulan puasa adalah satu bulan yang paling dinantikan. Saya cukup terpesona dengan suasananya; dengan bangun sahurnya, berterawikh, berbuka, berjemaah dan paling menghiburkan ialah dapat menjamu mata dengan segala macam jenis makanan dan kuih yang dijual sebelah petangnya.

Ia bagaikan satu "terapi" minda melihat beraneka juadah dan gelagat para peniaga. Tetapi sudah tentunya kita perlu berhati-hati dan tidak membazir dengan mengikut hawa nafsu membeli sesuka hati dengan kuantiti yang banyak.

Seharusnya dalam puasa begini kita berpeluang berjimat dalam berbelanja dan bukannya menambahkan perbelanjaan.

Saya bersyukur kerana rumah saya berdekatan dengan masjid. Jaraknya hanya beberapa meter saja. Azam saya pada tahun ini ingin mengulangi apa yang telah saya lakukan pada tahun lepas dengan solat berjemaah lima waktu di masjid. Ianya cukup menenangkan jiwa dan perasaan.

Masjid tempat saya ini melakukan ibadat terawikh sebanyak lapan rakaat. Bila selesai empat rakaat pertama ia akan berhenti rehat sekejap dan diisi dengan tazkirah selama 15 minit. Selepas itu ia sambung balik dengan empat rakaat lagi.

Biasanya tazkirah akan disampaikan oleh ustaz-ustaz jemputan secara bergilir sepanjang ramadhan. Isi dan penyampaian tazkirah cukup menarik dan boleh dianggap sebagai satu cara "caj bateri" keimanan para jemaah.

Yang paling saya tidak lupa ialah tentang seorang ustaz muda lulusan dari Mesir, bila dia berceramah ada dua subjek yang dia selalu tekankan yang membuatkan para jemaah kurang selesa. Pertama; tentang rokok. Keduanya, masalah mercun.

Tentang rokok, ustaz itu dengan tegas mengatakan ia adalah haram. Dia menyarankan kepada yang merokok agar berhenti kerana tabiat itu bukan saja membazir, malah adalah haram. Para jemaah, barangkali ramai yang merokok kelihatan agak kurang selesa dengan ustaz tersebut. Ustaz itu berhujah, kalau siang harinya kita boleh menahan dari merokok, apa salahnya tahan terus dari merokok hingga ke malamnya. Saya hanya senyum kambing, kerana saya bukan seorang perokok.

Tentang mercun pula, ustaz itu tidak berpuas hati kerana setiap kali berlangsungnya sembahyang terawikh, anak-anak kecil yang ikut sama ke masjid berkeliaran di luar masjid sambil bermain mercun dan bunga api. Sebenarnya anak-anak ini mengikut ibu bapanya ke masjid, tetapi tidak bersembahyang sama.

Jadi dalam tazkirahnya, ustaz ini menegaskan duit yang diberikan oleh ibubapa untuk membeli mercun adalah haram. Dia menambah bahawa mercun mempunyai kaitan dengan api. Dalam agama Islam unsur api adalah sesuatu yang tidak baik dan negatif. Dan lagi api mempunyai kaitan dengan agama orang kafir.

Saya tidak pasti dan ingat selepas teguran ustaz itu anak-anak nakal itu masih lagi bermain mercun atau tidak. Tetapi yang pasti ia telah berkurangan dengan banyak. Saya tidak ambil pusing hal itu kerana kebetulan saya tidak mempunyai anak kecil.

Dalam bulan puasa ini saya pasti ustaz ini akan kembali bertazkirah. Apakah dia akan ulangi tegurannya itu ? Atau semua para jemaah akan mengawal anak-anak mereka dari ditegur ustaz itu lagi.

Secara peribadi saya angkat tabik pada ustaz muda itu di atas keberaniannya.












Isnin, 18 Julai 2011

Uncle Mordy laid to rest


GEORGE TOWN : The oldest JEW in Penang, Mordecai David, who died last Friday, was buried at the Penang Jewish cemetery yesterday.

He was 90.

Fondly known as "Uncle Mordy", he was the last of the Jews, whose family came from Baghdad.

His sons, David, from his former wife and two grandchildren are living in the United Kingdom.

Mordy is also survived by his partner and carer of over 40 years, Annie Chua.

Family members, friends and the Jewish community gathered at the cemetery in Jalan Zainal Abidin to bid farewell to the affable former hotelier. Members of the Penang Heritage Trust were also present at the funeral.

Close family friend and fellow Jew, Gary Braut, 64, paid tribute to Uncle Mordy in an eulogy.

Uncle Mordy's father David Mordecai came to Penang from Baghdad in 1895 and was a member of the colonial society in the Straits Settlement in the 1930s.

Uncle Mordy led a varied and interesting life, and served for many years as the manager of the E&O Hotel and the former Casuarina Hotel in Batu Ferringhi. -- By Phuah Ken Lin.



SUMBER: Petikan dari akhbar New Straits Times, 18 July, 2011.
 


















PAS tunduk lagi pada DAP


ISU larangan pusat hiburan beroperasi dalam bulan Ramadhan oleh kerajaan negeri Kedah telah mendapat bantahan keras dari sekutunya DAP. Menurut DAP, Pas Kedah tidak berbincang dengan mereka terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Pengerusinya, Karpal Singh telah memberi amaran keras jika larangan itu tidak ditarik balik ia boleh menjejaskan kerjasama Pas-DAP dalam Pakatan Rakyat.

Seperti biasa, dalam isu apa pun bila ada bantahan dari DAP, para pemimpin Pas akan mengambil sikap "mengendur"dan mengalah. Yang peliknya bila Pas berdepan dengan UMNO ia kelihatan seperti seekor singa yang ganas. Tetapi bila Pas melayani kerenah DAP ia ibarat seperti seekor tikus.

Pas sering melaungkan bahawa ia adalah parti alternatif dan mampu mengambilalih peranan UMNO sebagai parti orang melayu dan Islam di negara ini. Pas sanggup bekerjasama dengan DAP dan PKR bagi menjatuhkan UMNO. Pas menolak mentah-mentah kerjasama yang dihulurkan UMNO.

Pas lebih rela berada dibawah ketiak DAP dan PKR demi mencapai kuasa politik dan kepentingan parti. Di mana peranan Pas sebagai sebuah parti tertua dan senior dalam Pakatan Rakyat ? Apa yang kelihatan DAP dan PKR lebih berpengaruh dan berkuasa dalam Pakatan Rakyat. Pas hanya sebagai "tukang sokong" dan membantu DAP bagi memecah undi orang melayu.

Sekiranya Pas ingin menggantikan UMNO ia perlu membuktikan bahawa ia tidak berada di bawah dagu DAP dan PKR. Ia perlu tunjuk sedikit "kuasa" dengan DAP dan memainkan peranan utama dalam Pakatan Rakyat. Pas sekurang-kurangnya harus lakukan sebagaimana UMNO buat dalam Barisan Nasional.

UMNO bukanlah parti terbaik dan sempurna, namun ia bukanlah parti terburuk. UMNO lebih dominan dan berperanan besar dalam Barisan Nasional, baik dalam merangka dan melaksanakan polisi dan dasar. Ada tempat ia bertolak ansur dan adakalanya ia bertegas berkerat rotan.

Tetapi Pas, nampaknya seperti "Parti Angguk Saja" pada mainan politik DAP dan PKR. Sudah sampai masa Pas mempamerkan sedikit "keangkuhannya" pada dua rakannya itu. Tunjuk belanglah sikit !

Kalau Pas dapat buktikan ia boleh menguasai dan menerajui Pakatan Rakyat dan bukannya DAP dan PKR yang memainkan peranan utama, maka akan berbondonglah orang-orang melayu mengisi borang menjadi ahli Pas. Bolehkah Pas lakukan ?

Baru-baru ini di dalam Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) wakil DAP telah berhujah dengan menggunakan sepotong Hadis. Tindakan wakil DAP itu telah mendapat bantahan dari wakil Barisan Nasional, Datuk Mohamad Satem yang mempertikai niat wakil itu menyalahguna dan mempermainkan sumber tradisi umat Islam selepas Quran.

Walau apapun alasannya, orang bukan Islam tidak boleh sewenang-wenangnya mentafsir dan menggunakan Hadis sesuka hati, lebih-lebih lagi untuk tujuan politik.

Ekoran bantahan Datuk Satem itu beliau diarah keluar dan digantung dari menghadiri sidang DUN. Tragisnya, semua wakil rakyat Pas dalam dewan membisu seribu bahasa dan tidak berbuat apa-apa.

Begitu juga dalam gerakan Bersih. Ketuanya ialah Datuk S. Ambiga dan Timbalannya ialah Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu. Pergilah mana-mana Pas tetap akan berada di bawah orang bukan Islam.

Di manakah kredibiliti Pas sebagai parti yang ingin menggantikan UMNO ?

Bagi saya, UMNO adalah sebuah parti yang teruk. Tetapi Pas, teramatlah teruk !











Ahad, 17 Julai 2011

Warna kuning yang meresahkan


SEJAK timbul isu Bersih warna kuning yang menjadi seragam para penganjur dan pengikutnya telah menjadi satu "taboo" dan meresahkan setengah orang. Ia telah menjadi satu fenomena baru dan trend yang boleh memberikan pelbagai tafsiran.

Khabarnya, setiap Sabtu bagi yang pro Bersih digalakkan memakai baju berwarna kuning. Apalah yang ada pada warna ?

Kuning melambangkan institusi raja dan kesetiaan. Kuning juga diertikan sebagai budaya kuning yang negatif yang dibawa dari pengaruh luar. Di negara jiran Thailand, kumpulan Baju Kuning adalah pihak yang tewas dalam pilihanraya baru-baru ini.

Raja Pumipon dan Abhisit Vejjajiva diketahui umum sebagai pihak yang mendapat sokongan dari Baju Kuning.

Awang Selamat dalam ruangannya, Bisik-Bisik, hari ini menyiarkan sekeping gambar sebahagian daripada peserta demonstrasi penyokong gay yang memakai baju warna kuning di Toronto, Kanada baru-baru ini.

Dalam arena bolasepak pula jurulatih negara Datuk K. Rajagopal merungut bahawa jersi kuning tidak memberi tuah pada pasukannya kerana persembahan anak buahnya sering buruk bila turun bermain dengan warna kuning. Tegasnya, bila bertemu dengan Singapura nanti pasukan negara akan memakai jersi biru yang dikira membawa tuah.

Apalah ada pada warna ?

Namun kini warna mampu memberikan pelbagai tafsiran dan tidak kurang meresahkan sesetengah orang. Juga mendamaikan serta menakutkan.












Bolasepak : Barisan pertahanan goyah


SHEBBY SINGH dalam kolumnya di harian Metro beberapa hari yang lalu menggesa K. Rajagopal memperkemaskan barisan pertahanan Harimau Malaya yang kelihatan mudah goyah dan bocor sebelum pertemuan mereka dengan Singapura dalam Kelayakan Piala Dunia 23 Julai ini di tempat lawan.
Shebby Singh


Pandangannya itu berdasarkan selepas dua perlawanan terakhir menentang Taiwan dan Arsenal, di mana gol kita telah dibolosi sebanyak lapan gol. Kebanyakan jaringan lawan tersebut adalah mudah dan hasil kesilapan para pemain pertahanan.

Dan ini terbukti sekali lagi semalam bila kita tewas dengan Liverpool 3-6. Seperti dua perlawanan yang lalu barisan pertahanan banyak melakukan kesilapan dan terlalu longgar sehingga memberi ruang pihak lawan menghasilkan gol.

Namun perlawanan dengan Liverpool semalam boleh diberi pujian kerana persembahan mereka lebih baik jika dibandingkan semasa melawan Arsenal. Jurulatih The Reds, Steve Clarke, memuji prestasi pasukan negara kerana berjaya memberi saingan yang sengit dan menyukarkan para pemainnya.

Apapun jaringan tiga gol dari Safiq Rahim dan Safee Sali memang cantik dan menghiburkan para penonton termasuk para pegawai kelab Liverpool. Cuma barisan pertahanan agak mengecewakan terutama Muslim Ahmad dan Fadli Shas. Mereka tidak boleh ulangi kesilapan yang sama bila bertemu Singapura nanti.

Singapura yang dibarisi beberapa pemain import yang diberi taraf warganegara seperti Serbia, Bosnia dan China boleh menghukum kelalaian barisan pertahanan negara dan menyekat kemaraan kita ke pusingan seterusnya.

Setelah kita bergelar juara Piala AFF di Jakarta yang lalu, rasanya pertemuan dengan Singapura ini adalah perlawanan yang paling getir dan menguji kekuatan sebenar pasukan negara. Pasukan Singa ini berpotensi menghampakan harapan pasukan negara. Peluang adalah 50-50.

Tetapi setakat ini Harimau Malaya mempunyai segala ramuan dan harapan bagi menundukkan Singapura. Apa yang perlu dilakukan Rajagopal ialah memperkemaskan lagi barisan pertahanan yang mudah rapuh bila menerima asakkan dan tekanan pihak lawan. Jika ini dapat diatasi dengan segera pasukan negara mampu menjinakkan pasukan Singa itu.

Singapura tentu akan bermain bermati-matian dengan harapan agar dapat mencalar imej Malaysia sebagai juara baru di rantau Asean. Sebelum ini Singapura merupakan juara Piala AFF beberapa kali dan Malaysia ini adalah kejuaraannya yang pertama.

Pasukan negara tidak punya banyak pilihan melainkan mesti mencapai kemenangan dalam perlawanan ini. Ini bukan saja soal sukan, tetapi lebih pada soal maruah negara yang dipertaruhkan.

Kita sudah mengalahkan Indonesia dan Thailand, kini giliran Singapura pula sebagai pelengkap juara AFF yang kita menangi baru lalu.









Sabtu, 16 Julai 2011

STOP PRESS


SEHARI dua ini blog "renungan" agak terganggu sedikit akibat komputer riba mula "meragam". Kerja menaip dan posting tidak lancar dan licin seperti biasa. Kes tidak berat hanya batuk-batuk kecil dan kini sedang dalam proses pembaikian di bengkel. Barangkali, tidak henti menggodamnya akhir-akhir ini menyebabkan ia perlu "beradu" seketika.

Mungkin setelah berada di bengkel dan diberi satu atau dua biji "panadol" ia akan kembali segar bugar dan bersedia untuk digodam.

Bagi saya pula, bila besi yang tidak ada mata dan telinga ini buat hal ia cukup lemas dan merimaskan. Terlalu banyak isu dan masalah yang perlu diulas dan diikuti. Kadangkala ia memberi tekanan pada diri sendiri. Ini semua kerana saya berpegang pada sebuah sajak yang ditulis oleh seorang penyair yang tidak diketahui namanya. Antara kandungan sajak tersebut;

                             Sekadar berhajat untuk
                             menjadi penulis
                             anda tidak akan jadi penulis.
                             Jika hari-hari anda menulis
                             anda boleh dan akan menjadi
                             penulis yang baik.

Atas semangat itulah saya berazam untuk memenuhi hajat sebagaimana yang dimaksudkan sajak tersebut. Saya berharap besi yang tak ada mata dan telinga ini tidak akan "meragam" lagi bila ia keluar dari bengkel nanti.

Dan saya boleh terus menaip dan mencatat dengan lancar dan licin tanpa apa-apa gangguan lagi.











Jumaat, 15 Julai 2011

Antara revolusi dan jawatan Perdana Menteri


DATUK Seri Anwar Ibrahim telah membuat kenyataan pada media Indonesia bahawa negara ini sudah hampir dengan revolusi ekoran insiden Bersih pada 9 Julai lalu. Banyak yang membantah kenyataan beliau itu kerana perkataan revolusi itu agak asing dengan suasana rakyat negara ini.

Perhimpunan Bersih baru-baru ini, walau apa pun tanggapan ramai orang, ia tidaklah berjaya sebagaimana yang diharapkan oleh penganjurnya lebih-lebih lagi pada Datuk Seri Anwar. Pihak polis telah berjaya mengawal keadaan dari mencetus keadaan menjadi lebih buruk, sekaligus memberi imej buruk pada kerajaan dan pihak pembangkang pula meraih simpati.

Anwar Ibrahim sudah tentu mengharapkan berlaku sesuatu yang luar biasa yang boleh dieksploitasi dan memberi keuntungan politik padanya. Tetapi itu semua tidak berlaku dan suasana ibu kota kembali tenang dan ramai orang, terutamanya para peniaga kembali menjalani rutin kehidupan seperti biasa.

Sebagai seorang yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri beliau akan melakukan apa saja untuk mencapai hasratnya hatta ia perlu mengorbankan nyawa orang. Beliau nekad kerana dia tahu masalahnya di mahkamah dan skandal video seks menghantui dan menghalangnya menuju ke Putrajaya.

Dengan kenyataannya bahawa revolusi sudah hampir dia sebenarnya memang mengharapkan ia akan berlaku kerana dengan tercetusnya revolusi segala masalah peribadinya akan terhapus dengan sendirinya. Apakah revolusi akan berlaku di negara kita ?

Kalau ada pihak yang menunggu dan mengharap ianya berlaku sebenarnya mereka sedang berkhayal dan bermimpi di siang hari. Ia tidak mungkin berlaku lebih-lebih lagi ciri-ciri revolusi itu sendiri bertentangan dengan sifat dan sikap orang melayu yang menjadi bangsa majoriti di negara ini.

Orang melayu sudah terkenal dengan sifat lemah lembut, sopan dan penyabar. Mereka tidak akan melakukan sesuatu yang bertentangan sifat-sifat semulajadi mereka. Budaya demonstrasi, sikap ganas dan kasar adalah budaya luar yang diimpot meresap dalam masyarakat melayu. Budaya ini mesti ditentang habis-habisan dari menjadi darah daging orang-orang melayu.

Teringat pula puisi Sasterawan Negara, A. Samad Said, yang memilih dua perkataan iaitu "mensucikan" dan "memurnikan" dalam baris kata-kata dalam puisinya tentang Bersih. Dua perkataan keramat itu perlu di renung semua pihak dalam mencari kejernihan bagi mengembalikan jati diri melayu yang sebenarnya.

Kepada pemimpin politik yang bercita-cita besar dan bernafsu serakah demi mencapai impian menjadi Perdana Menteri, pertimbangkanlah kepentingan majoriti rakyat terbanyak di atas segala kepentingan. Rakyat tidak perlu dijadikan mangsa dan perisai demi memenuhi cita-cita peribadi.

Selesaikan dahulu masalah peribadi yang merupakan pra syarat paling penting sebelum menjadi pemimpin. Buktikan pada rakyat bahawa semuanya adalah fitnah dan konspirasi bukannya mencari helah dan berdiam diri.

Dan tanggungjawab beliau membersihkan namanya dari segala tuduhan amatlah mudah dan ia boleh dilakukan sekiranya beliau mempunyai kemahuan. Namun respon dan tindak balasnya dalam menepis segala tuduhan terhadapnya semakin hari semakin samar dan keliru.

Ini memburukkan lagi keadaan bila tokoh-tokoh agama yang mempunyai kepentingan parti tampil membuat pembelaan. Tidak pasti adakah pembelaan ini untuk kepentingan umum atau hanya demi survival parti politik berkenaan.

Apa pun semuanya akan berakhir bila sampai masanya. Lama kelamaan orang akan tahu juga kebenaran dan kebohongan serta kepalsuan akan terhapus.


















Khamis, 14 Julai 2011

Tiga gergasi EPL uji pasukan negara


BELUM pernah dalam sejarah tiga pasukan tersohor dalam Liga Inggeris berkunjung dalam bulan yang sama ke Malaysia bagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan negara.

Arsenal, Liverpool dan Chelsea akan menguji pasukan Harimau Malaya dan Harimau Muda dengan barisan pemain terkuatnya. Kesempatan dan peluang ini harus dimanfaat secukupnya sebagai persediaan menghadapi Singapura dalam Kelayakkan Piala Dunia. Bagi Harimau Muda pula pertemuan dengan Chelsea akan menjadi medan ujian sebelum menghadapi Jepun bagi kelayakan Sukan Olimpik.

Sebelum ini FAM begitu sukar untuk mencari pasukan yang baik bagi mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan negara. Kebanyakan negara hanya sudi menghantar pasukan bawah umur mereka dan bukan pasukan senior.

Ini menyebabkan kita kekurangan perlawanan persahabatan yang bermutu bagi meningkatkan kualiti pasukan negara. Pasukan-pasukan yang kita mampu jumpa hanyalah pasukan kerdil seperti Maldives, Sri Langka dan sebagainya.

Amat payah sekali untuk kita mengatur perlawanan persahabatan dengan pasukan yang bertaraf tinggi seperti Korea Selatan dan Jepun, umpamanya. Alasannya mudah mereka juga memandang tahap dan taraf permainan pasukan kita yang masih lagi di peringkat Asean .

Tetapi setelah pasukan negara mencapai keputusan yang baik kebelakangan ini ia ada menunjukan kesan yang positif. Kesanggupan tiga pasukan gergasi EPL berkunjung ke ibu kota bagi mengadakan perlawanan persahabatan ini sebenarnya membuktikan pencapaian di Sukan SEA dan Piala AFF ada kesan impaknya.

Kita perlu berusaha meningkatkan dan mengekalkan prestasi ini agar berterusan agar imej pasukan negara akan dipandang tinggi oleh pasukan-pasukan kuat yang lain. Ini akan mendorong mereka berminat bagi mengatur perlawanan-perlawanan ujian yang akan memberi banyak faedah untuk pasukan negara.

Pertemuan dengan Arsenal, Liverpool dan Chelsea perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi membuktikan belang harimau yang sebenarnya.

.














Rabu, 13 Julai 2011

Tun Musa Hitam tinggalkan Sime Darby


BEKAS Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, diberitakan telah menghantar notis ingin berhenti dari jawatan sebagai Pengerusi Sime Darby hujung tahun ini. Jawatannya sebagai Pengerusi akan berakhir November ini. Sime Darby adalah sebuah konglemerat terbesar negara. Ia kecoh sekejap baru-baru ini lantaran berlakunya kelemahan pengurusan mengakibatkan kerugian dalam jumalah yang besar. Sebagai Pengerusi, banyak pihak telah memberi tekanan pada Tun Musa agar dia meletakkan jawatan ekoran terdedahnya kerugian tersebut.

Namun setelah diadakan siasatan didapati ada berlaku "salah urus" di kalangan para pengurusan dan kes ini telah pun dibawa ke mahkamah. Notis Tun Musa untuk berhenti itu akan dipertimbangkan oleh lembaga pengarah, sama ada akan diterima atau ditolak akhir tahun ini. Sekiranya mereka menolak hasrat Tun Musa, kemungkinan beliau akan meneruskan jawatan tersebut sebagai Pengerusinya.

Tun Musa Hitam telah lama bersara dari politik yang beliau ceburinya sejak zaman Tunku Abdul Rahman. Pada satu masa beliau kelihatan mempunyai potensi besar sebagai pengganti Dr.Mahathir sebagai Perdana Menteri. Barangkali rezekinya tiada dia hanya bertahan selama tiga tahun sebagai Timbalan Perdana Menteri lalu meletakkan jawatan ekoran tidak bersefahaman dengan Dr.M.

Selepas dia letak jawatan, dia cuba "come back" dengan bergabung dengan Tengku Razaleigh melawan team Dr. M, tetapi gagal. Setelah berlakunya perebutan dan persaingan tersebut dalam parti, maka UMNO telah berpecah menjadi dua kumpulan; team A dan B. Sehinggalah masalah parti berlarutan sehingga UMNO diharamkan. Sebenarnya, Tun Musa mempunyai sahamnya sendiri dalam peranannya yang mengakibatkan UMNO diharamkan.

Beliaulah orang yang memainkan peranan penting mempengaruhi Tengku Razaleigh bertanding jawatan Presiden UMNO sedangkan pada masa itu beliaulah yang mempunyai masalah dengan Dr. M bukannya Tengku Razaleigh. Semua orang tahu strategi Tun Musa ialah bersifat pisau mata dua belah. Pertama, dia ingin diskreditkan Dr. M sebagai Presiden parti. Kedua, dia tahu Tengku Razaleigh tidak akan menang melawan Dr. M.

Strategi beliau berjaya, cuma yang silapnya ialah beliau tewas di tangan Tun Ghaffar Baba bagi jawatan Timbalan Presiden UMNO. Sekiranya dia menang menewaskan Tun Ghaffar, sudah tentu senario politik UMNO mengalami perubahan besar dan suasananya tidaklah seperti hari ini.

Bagaimanapun, semuanya telah menjadi sejarah dan Tun Musa Hitam akan tetap dikenang sebagai antara pemimpin UMNO yang banyak berjasa pada parti dan negara sepanjang beliau berkhidmat dalam kerajaan sejak dari zaman Tunku sehingga era Tun Dr. Mahathir.

Tun Musa Hitam pernah diramalkan oleh majalah TIMES sebagai salah seorang ahli politik yang pintar dan mempunyai potensi menjadi pemimpin negara. Tetapi takdir dan rezekinya setakat jadi orang nombor dua itulah.
--------------------------------------------------------------------

 .










Selasa, 12 Julai 2011

Datuk Ibrahim Ali pemimpin kontroversi


PRESIDEN Perkasa, Ibrahim Ali begitu menonjol kebelakangan ini malah kadang-kadang popularitinya boleh mengatasi Presiden dan Timbalan Presiden UMNO sendiri. Itulah Ibrahim Ali, dari satu isu ke satu isu melibatkan kepentingan melayu beliau berada di depan dan seolah-olah pada ketikanya dia berjaya menguasai suasana.

Trade mark Ibrahim Ali ialah melayu dan segala berkaitan dengannya. Beliau bukan ahli UMNO malah banyak ahli UMNO tidak menerimanya. Pemimpin UMNO yang sering bertelagah dengannya ialah Ketua Pemudanya, Khairy Jamaludin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Tan Sri Aziz.
Ibrahim Ali

Kedua tokoh UMNO ini tidak sebulu dengannya kerana sikap dan pendirian Ibrahim Ali bagi mereka boleh menjejaskan UMNO dan slogan satu Malaysia.

Ibrahim Ali sebenarnya berasal dari parti Pas semasa Datuk Asri Muda sebagai Yang Dipertua Pas. Dia keluar dari Pas ketika krisis politik Kelantan bergolak semasa Datuk Mohamad Nasir yang ketika itu sebagai Menteri Besar Kelantan dipecat oleh Pas pusat.

Akibat krisis politik Kelantan pada masa itu dia telah menyertai Datuk Mohamad Nasir menubuhkan parti Berjasa yang kemudian menganggotai Barisan Nasional. Selang beberapa lama Berjasa hilang taringnya dan tidak lagi berjasa pada Barisan Nasional dan kemudiannya telah hanyut dan mati tanpa kubur.

Justeru itu beliau telah menyertai UMNO dan berjaya menjadi salah seorang hulubalangnya. Dalam UMNO Ibrahim Ali menjadi seorang pengikut setia pada Tengku Razaleigh Hamzah yang telah mencabar Dr.Mahathir bagi jawatan Presiden UMNO.

Setelah Ku Li tewas pada Dr.Mahathir dan membuka laluan pada penubuhan parti Semangat 46 yang dipimpin oleh Ku Li, Ibrahim Ali terus menjadi salah seorang pemimpin tertinggi dalam parti tersebut. Semasa dalam 46 beliau mengecam hebat pimpinan Dr.Mahathir.

Tetapi setelah Ku Li membubarkan parti 46 (parti tak cukup angka) itu beliau bersama Ku Li serta para pemimpin lainnya telah menyertai semula UMNO.  Dalam UMNO dia tidak lama kerana beliau sekali lagi mencetuskan kontroversi gara-gara tidak berpuas hati dengan UMNO pusat yang tidak memilihnya sebagai calon dalam pilihanraya sedangkan beliau adalah Ketua UMNO Bahagian Pasir Mas.

Oleh kerana dia tidak terpilih sebagai calon di kawasan parlimen Pasir Mas, dia telah bertindak bertanding juga di kawasan tersebut sebagai calon Bebas. Dalam pilihanraya tersebut beliau tewas di tangan calon Pas. Akibat tindakannya itu UMNO telah memecatnya dari menjadi ahli.

Pada PRU 12 yang lalu Ibrahim Ali sekali lagi masuk bertanding sebagai calon Bebas di Pasir Mas. Pasir Mas merupakan kubu kuat beliau. Namun rekod menunjukkan beliau tidak pernah menang di kawasan ini sebelumnya. Dalam PRU 12 lalu, Pas mempunyai strateginya sendiri dengan menarik diri calonnya dan memberi laluan pada Ibrahim Ali sebagai calon Bebas, tetapi bertanding atas tiket Pas.

Strategi Pas berjaya kerana Ibrahim Ali telah memenangi kawasan itu dengan majoriti yang selesa, sesuatu yang beliau tidak mampu lakukan sebelum ini walaupun semasa berada dalam UMNO. Dengan kata lain, Pas telah berjaya dan berjasa pada Ibrahim Ali kerana menghantarnya ke parlimen.

Setelah beliau berada di parlimen, apa pula ceritanya ? Seperti biasa Ibrahim Ali tetap seperti Ibrahim itu juga seperti mana sejak beliau berpolitik semasa Datuk Asri lagi. Dalam parlimen suaranya lantang lebih lantang dari para pemimipin UMNO dan Barisan Nasional. Ironinya, beliau menyerang Pas, parti yang telah membuka laluan untuknya ke parlimen.

Persoalannya, dalam PRU 13 nanti di manakah beliau akan bertanding ? Di Pasir Mas ? Atau di mana ? Di tempat lain selain Pasir Mas adalah sesuatu yang tidak mungkin berlaku. Kawasan dan kubunya hanya di Pasir Mas. Itupun harapan beliau untuk menang di kawasan ini adalah tipis.

Menurut tinjauan, rakyat Pasir Mas kini sedang menunggu ketibaannya dalam PRU 13 nanti. Apakah Ibrahim Ali ada berani ?

Ibrahim sering menggambarkannya  sebagai Panglima Adijagat pada para pengikutnya. Bagi para pemimpin pembangkang, terutamanya Karpal Singh beliau dianggap sebagai "katak"yang suka melompat. Terserahlah pada rakyat untuk menilai peranan dan sumbangannya dalam politik tanahair.

Namun apapun gambaran tentang Ibrahim Ali, beliau tetap merupakan salah seorang figur yang cukup menarik dan penuh kontroversi. Kehadiran beliau telah mewarnakan suasana politik negara.







.











Ahad, 10 Julai 2011

Usaha terakhir Anwar - Najib

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berucap di depan para pemimpin UMNO malam tadi menegaskan bahawa perhimpunan haram kelmarin adalah usaha terakhir Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyelamatkannya dari kes liwat dan skandal seks.

Menurut Najib, ia merupakan "the last chance" dari Ketua Pembangkang itu untuk mencapai matlamatnya dengan menghalalkan cara asalkan ia tercapai hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri.

Dengan demonstrasi dan menimbulkan suasana tegang antara orang awam dan kerajaan ia berharap kes liwatnya itu dapat dialihkan tumpuannya. Kes liwat di mahkamah akan bersambung Rabu ini.

Kita berharap kes ini akan berjalan lancar tanpa apa-apa gangguan dan penangguhan lagi. Kes liwat ini telah berlarutan dengan begitu lama dan kerap bertangguh.

Bapa kepada mangsa dalam kes ini telah merayu pada Datuk Seri Anwar baru-baru ini agar tidak mengganggu kelancaran perbicaraan kes ini di mahkamah. Beliau menuntut keadilan untuk anaknya yang terpaksa menunggu begitu lama dalam menegakkan keadilan.

Pihak kena tuduh pula kelihatan tidak begitu "ghairah" untuk meneruskan kes ini. Segala alasan fitnah atau konspirasi menyelubungi kes ini adalah tidak relevan lagi.

Kes ini ada asas dan prima facie. Sekirannya dia tidak bersalah, dia perlu membela dirinya dan melawannya habis-habisan dengan memberi segala keterangan di mahkamah.

Orang awam bukanlah bodoh sehingga tidak dapat menilai dan membezakan antara yang benar dan salah. Kes liwat ini tidak akan selesai di jalanan melainkan di mahkamah juga.

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh mengelak, dia perlu membersihkan namanya di mahkamah.















Sabtu, 9 Julai 2011

Pilihanraya umum tangguh lagi

APA yang berlaku terkini di Kuala Lumpur insiden antara pihak polis dan orang ramai yang berhimpun anjuran Bersih akan memberi kesan terhadap kerajaan. Setakat ini beberapa pemimpin ditahan dan 120 orang ditangkap.

Atas alasan apa pun dari kedua pihak "kerosakkan" telah berlaku dan meninggalkan kesan. Bagi kerajaan ia sedikit sebanyak memberi kesan negatif pada pandangan umum. Suasananya seolah sama dengan apa yang sedang berlaku di negara-negara Arab.

Sebelum isu Bersih ini panas dan hangat banyak peramal politik menjangkakan tarikh pilihanraya umum ke 13 (PRU 13) akan diadakan akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan. Tempoh mandat kerajaan hari ini berakhir pada 2013.

Dengan perkembangan yang terbaru kemungkinan PRU 13 diadakan dalam waktu terdekat tidak mungkin akan berlaku. Datuk Seri Najib tidak mungkin sanggup mengambil risiko dengan apa yang telah berlaku.

Sekiranya kita masih ingat sebelum PRU 12 semasa Pak Lah berlaku beberapa demonstrasi dan insiden antara Hindraf dan pihak keselamatan seperti apa yang berlaku di ibu kota hari ini. Tetapi Pak Lah pada masa itu tidak mengambil kira perkembangan yang berlaku dengan membubarkan juga parlimen. Sedangkan jarak masa insiden itu berlaku dengan bubarnya parlimen tidaklah begitu jauh.

Tidak siapa dapat nafikan insiden Hindraf itu telah mempengaruhi keputusan PRU 12 yang menyaksikan kerajaan pimpinan Pak Lah hilang dua pertiga dan UMNO kehilangan banyak kerusi di parlimen.

Kini datang pula Bersih yang terus memberi tekanan pada kerajaan dan SPR. Nampaknya peranan yang dimainkan Bersih serta parti-parti pembangkang telah memberi impak yang berkesan terhadap senario politik negara.

Pihak kerajaan pula selepas ini perlu banyak "homework" yang perlu dilakukan bagi membersihkan imej yang tercalar kesan dari insiden di ibu kota tadi. Manakala pihak pembangkang akan terus menuduh dan menggambarkan bahawa kerajaan tidak telus dan adil dalam melayani segala tuntutan mereka.

Tarikh matang mandat kerajaan pada 2013 masih panjang. Barangkali, Perdana Menteri terpaksa mengikut jejak Datuk Seri Amar Taib Mahmud di Sarawak yang membubarkan DUN di penghujung tempoh mandat kerajaan negeri.

Tempoh dua tahun tidaklah begitu lama tetapi banyak perkara yang boleh dilakukan kerajaan dalam memulih dan memperbaiki imej tercalar itu. Ia bukan satu tugas yang mudah, apatah lagi dengan perkembangan teknologi media baru, seperti blog, facebook, twitter dan sebagainya.

Apapun yang berlaku hari ini golongan terbesar yang menerima kesannya ialah bangsa melayu. Pemimpin yang ditahan adalah melayu. Orang-orang awam yang ditangkap juga majoritinya bangsa melayu. Kerajaan yang ingin ditumbangkan juga adalah sebuah kerajaan yang pro melayu. Pihak keselamatan yang menjalankan tugas serta amanah mengawal keselamatan juga majoriti melayu.

Kini mereka bertempur dan mengakibatkan kecederaan dan sebagainya. Orang melayu sekarang sebenarnya berada dipersimpangan. Kebanyakkan mereka keliru. Bingung pun ada.

Kenyataan Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi baru-baru ini bahawa Angkatan Tentera Malaysia bersedia mengambil alih tugas polis sekiranya mendapat titah dari Yang di Pertuan Agong menggambarkan betapa seriusnya suhu politik kini.

Semoga tidak akan berlaku insiden lebih serius seperti hari ini pada hari-hari mendatang dan barang dijauhkan dari segala tragedi hitam terpalit sesama bangsa seperti apa yang berlaku di Timur Tengah. Orang melayu belum bersedia menghadapi senario itu.













Jumaat, 8 Julai 2011

Baju Merah buat tuntutan


TIDAK sampai seminggu parti Puea Thai, pimpinan Yingluck Shinawatra memenangi pilihanraya di Thailand dengan sokongan kuat dari puak Baju Merah kini dia berdepan dengan berbagai tuntutan yang mesti dipenuhi.

Baju Merah yang memberi sokongan kuat bagi kemenangan parti Yingluck telah menuntut keadilan berhubung dengan protes berdarah tahun lalu yang melibatkan 91 orang terbunuh dan hampir 2000 cedera. Mereka menggesa dijalankan siasatan terperinci mengenai peranan tentera dalam insiden pada Mei tahun lalu.

Tuntutan ini dilihat sebagai satu ancaman dan ugutan pada Yingluck sekiranya tidak dipenuhi akan menggugatkan sokongan yang telah diberikan padanya.

Yingluck, bakal Perdana Menteri baru sudah tentu akan berhati-hati dalam langkahnya kerana pihak tentera kini sedang memerhati kerajaan yang bakal ditubuhkannya. Jika dia melayani tuntutan pihak Baju Merah dengan menyiasat insiden ganas itu pihak tentera tentu tidak akan berdiam diri.

Dan sekiranya dia tunduk pada tentera para penyokongnya yang terdiri dari Baju Merah akan kembali semula berarak dijalan-jalanraya dan berdemonstrasi sehingga permintaan mereka dipenuhi.

Inilah yang dikatakan demokrasi. Sebelum ini Baju Merah telah mengadakan perhimpunan dan demonstrasi di jalanan menuntut diadakan pilihanraya baru. Tetapi setelah impian itu tercapai, nampaknya masalah tidak juga akan selesai dan muktamad.

Sekiranya Yingluck gagal memainkan peranan dan menyelesaikan masalah itu dengan baik, kemungkinan politik Thailand akan kembali bergolak. Ini tentunya akan memberi ruang pihak tentera masuk campur dan merampas kuasa untuk kesekian kalinya.

Begitulah sistem demokrasi yang bukan sempurna sifatnya. Banyak negara-negara di dunia tidak aman dan stabil walaupun menganutinya. Malah setengah negara menjadi semakin porak peranda dan hancur setelah diberi peluang mengamalkannya.

Jadi rakyat seharusnya mengamalkan dan menggunakan sistem demokrasi sebaik mungkin agar kehidupan mereka lebih baik dari sebelumnya. Jika kita salahguna sistem yang ada, maka tidak mustahil kehidupan menjadi lebih sengsara.

Demokrasi ibarat seperti sebilah pisau. Pegang dihulu, bukan dimatanya.









 

Khamis, 7 Julai 2011

Bukan mudah jadi usahawan - Dr.M

TUN Dr. Mahathir berucap dalam satu seminar SME di Shah Alam antara lain menyatakan bukan mudah untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya.

Semasa beliau menjadi Perdana Menteri beliau sering menggesa dan menggalakkan orang ramai agar menceburi bidang tersebut. Tetapi setelah beliau bersara dari kerajaan pada 2003, beliau sendiri telah mencuba dan menerjun dalam bidang perniagaan dengan membuka sebuah kedai roti di Langkawi berjenama The Loaf.

Kini The Loaf mempunyai lima cawangan di seluruh negara, kebanyakkannya disekitar Kuala Lumpur. Menurut Dr.Mahathir lagi, beliau menceburi bidang ini sebagai mengisi masa lapangnya dan paling penting beliau suka pada cabaran.

Setelah beberapa tahun The Loaf beroperasi beliau masih lagi belum mendapat keuntungan. Beliau menganggap bidang ini adalah suatu yang beliau minat dan faham, namun tidak menyangka yang perniagaannya itu masih belum mampu memberinya pulangan.

Justeru itu beliau berterus terang menyatakan sebelum ini beliau menggalakkan rakyat agar berniaga sendiri, tetapi setelah beliau sendiri mengalaminya ia tidak semudah yang dijangka.

Menurut Tun lagi, dalam perniagaan seseorang itu memerlukan modal yang cukup jika ingin berjaya. Misalnya sesuatu perniagaan itu memerlukan modal satu juta, kita perlu mempunyai tiga juta. Kerana bila kita mula menjalankan operasi perniagaan banyak yang perlu kita belanja dan sebagainya. Ertinya, sebelum menjalankan perniagaan kita perlu ada modal yang mencukupi.

Bagaimanapun, Tun menasihatkan agar sesiapa jangan berhutang untuk membuat modal perniagaan. Ia akan menyusahkan kemudian kelak. Beliau sendiri tidak suka berhutang kerana dengan berhutang ia boleh mengganggu tidurnya.

Apa yang disampaikan oleh negarawan kita ini memang ada benarnya. Saya sendiri mempunyai pengalaman selama 30 tahun dalam perniagaan. Setiap hari kita bergelut dengan masa dan wang serta mengejar ibarat berada di medan "perang" kerana bila berniaga banyak perkara yang perlu dibelanja dan dilangsaikan tepat pada waktunya.

Jadi dalam hal ini pengurusan yang cekap amatlah penting dan dalam masa yang sama memastikan perniagaan itu membawa keuntungan. Lihat saja The Loaf sampai sekarang belum mampu keluar dividen !

Dalam perniagaan sekali imbas nampak mudah, tetapi seperti kata Tun bila beliau sendiri terlibat baru tahu betapa peritnya untuk membuat keuntungan.

Namun, di dalam memulakan sesuatu perniagaan jalan paling selamat ialah dengan memulakan dengan secara kecil-kecilan dulu. Dan paling mustahak, jangan berhutang !

Rabu, 6 Julai 2011

Politik Bersih berjaya

SETELAH seminggu isu perhimpunan Bersih menjadi panas dan hangat dengan berbagai reaksi dari semua pihak, akhirnya menjadi sedikit reda bila Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agong masuk campur dan bertitah agar ianya dibatalkan.

Datuk S.Ambiga, Perkasa dan Mahaguru Silat Lincah membuat reaksi spontan dengan mengambil sikap akur dengan titah Tuanku dan membatalkan perhimpunan dijalanraya 9 Julai ini.

Tetapi Ambiga sebagai Pengerusi Bersih, cepat respon dengan tawaran dari kerajaan dan Perdana Menteri agar ianya diadakan di stadium. Datuk Seri Najib membuat tawaran tersebut dengan syarat ia dibuat secara aman dan selesai secara aman serta Bersih mesti bertanggungjawab di atas segala kerosakkan harta benda di stadium.

Apakah Datuk Seri Najib tersilap langkah bila membuat tawaran tersebut ? Bagi S.Ambiga dan anggota Bersih jika perhimpunan ini berjaya diadakan di stadium ia sudah dianggap berjaya mencapai matlamatnya.

Kini sudah ada suara membantah ianya diadakan di dalam stadium dan berpendapat perhimpunan tersebut perlu dibatalkan sepenuhnya. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah menawarkan  stadium Shah Alam sebagai venuenya.

Apakah perhimpunan Bersih diadakan di jalanraya atau dalam stadium tidak memberi banyak kesan. Pokoknya perhimpunan itu tetap akan diadakan. Stadium Shah Alam boleh menampung lebih kurang 60,000 hingga 70,000 orang dalam satu masa.

Sekiranya pihak Bersih dapat kumpulkan kehadiran orang ramai sebanyak itu, apa pula reaksi kerajaan ? Bagi Bersih ini akan memberi satu "signal" pada kerajaan agar tidak ambil mudah dengan segala tuntutan yang diperjuangkan mereka. Bagi kerajaan pula dengan kehadiran seramai itu ianya boleh memberi sedikit tamparan dengan sambutan yang diterima pihak Bersih.

Dari segi politiknya dalam konteks ini Bersih lebih ke depan dari UMNO dan kerajaan dalam mengatur langkahnya. Oleh kerana tawaran berhimpun di stadium keluar dari mulut Perdana Menteri sendiri, maka ia tidak mungkin ditarik balik.

Jika UMNO dan kerajaan cuba memberi berbagai alasan untuk membatalkan juga perhimpunan dalam stadium, maka rakyat akan membuat berbagai tafsiran negatif terhadap kerajaan. Jadi kerajaan tidak punya pilihan melainkan membenarkan perhimpunan itu diadakan dalam stadium seperti mana tawaran yang diberikan oleh Perdana Menteri sendiri.

Lainlah kalau tawaran itu datangnya dari Ibrahim Ali atau pemimpin UMNO di peringkat cawangan. Kalaulah cadangan ini datang dari mulut mereka, mudah sahaja PM atau TPM menolak cadangan tersebut. Tetapi cadangan berhimpun dalam stadium datang dari Perdana Menteri sendiri.

Itulah kelemahan UMNO dan kerajaan dalam apa saja isu, walaupun kadang-kadang sesuatu isu itu berpihak pada mereka, namun mereka sentiasa berada dalam situasi defensif. Kerana mereka tidak bersifat offensif dalam isu ini, Bersih berjaya mencapai sasarannya. Ibarat kata, tak dapat peha, betis pun jadilah.

Dalam perkembangan terbaru pihak Bersih akan berunding dengan kerajaan mengenai perhimpunan tersebut yang akan diadakan secepat mungkin dan syarat-syarat yang akan dikenakan. Bersih sudah tentu begitu komited agar perhimpunan ini berjaya dilaksanakan sebagaimana yang dirancang.

Helah kerajaan hanya satu ia boleh mengenakan berbagai syarat yang sukar dipenuhi pihak Bersih. Sekiranya ini benar berlaku akan timbul lagi masalah baru.

Selasa, 5 Julai 2011

Demokrasi kembali pulih di Thailand

SEJAK Thaksin Shinawatra digulingkan pihak tentera pada 2006 negara gajah putih itu terus bergolak dan politiknya tidak stabil. Tentera bertindak ke atas Thaksin yang juga seorang jutawan di atas tuduhan beliau menyalahgunakan kedudukannya memperolehi keuntungan dan saham di dalam syarikat-syarikat miliknya.

Segala tuduhan ini dinafikan Thaksin yang tetap mempertahankan bahawa segala kekayaannya adalah diperolehi sebelum beliau menjawat jawatan Perdana Menteri. Selepas dia digulingkan, kerajaan yang baru pimpinan Abhisit Vejajiva telah mendakwanya di mahkamah di atas tuduhan rasuah.

Dalam perbicaraan tersebut mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun ke atas Thaksin di atas kesalahan menyalahgunakan kuasanya sebagai Perdana Menteri. Semasa proses rayuan di mahkamah, Thaksin telah ke luar negeri dengan alasan untuk menghadiri upacara Sukan Olimpik yang lalu.

Sejak dia keluar negeri dia tidak pulang sehingga ke hari ini. Musuh-musuh politiknya menuduh beliau melarikan diri dan cuba mengelak dari dipenjarakan. Namun Thaksin dengan tegas menyuarakan bahawa perbicaraan ke atasnya di mahkamah lebih bersifat politik yang dilakukan oleh musuh politiknya.

Dengan itu bermulalah konflik dan ketegangan di antara para penyokong setia Thaksin dengan kerajaan pimpinan Abhisit. Penyokong Thaksin tidak dapat menerima keputusan mahkamah dan menuduh pihak tentera masuk campur dalam urusan politik. Mereka menuntut hak demokrasi dikembalikan dan menganggap tindakan tentera menggulingkan pemimpin mereka sebagai mencabuli hak rakyat yang telah memilih parti Thaksin sebagai pemerintah.

Justeru itu wujudlah kumpulan yang disebut sebagai Baju Merah. Perjuangan kumpulan ini ialah menuntut diadakan semula pilihanraya bagi memilih kerajaan yang baru. Mereka tidak dapat menerima dan mengikhtiraf Abhisit Vejajiva sebagai Ketua Kerajaan.

Sebenarnya parti Demokrat pimpinan Abhisit tidak pernah memenangi pilihanraya bagi membolehkannya menubuhkan kerajaan. Kejayaan Demokrat dengan bantuan parti-parti kecil menubuhkan kerajaan sebelum ini adalah kerana mendapat campur tangan pihak tentera yang mempunyai hubungan dingin dengan Thaksin.

Bertahun lamanya perjuangan kumpulan Baju Merah yang menuntut hak mereka dengan melakukan demonstrasi dan perhimpunan secara besar-besaran di seluruh negara. Banyak yang telah terkorban akibat pertempuran dengan pihak tentera. Ada yang dipenjarakan dan dituduh di mahkamah.

Abhisit pula meminta tempoh setahun bagi membuka ruang untuk diadakan pilihanraya. Baju Merah tidak dapat menerima cadangan tersebut malah menggesa pilihanraya diadakan segera dan secepat mungkin.

Sehinggalah pilihanraya yang dituntut itu berjaya diadakan baru-baru ini dengan menyaksikan parti Phuea Thai di bawah pimpinan Yingluck Shinawatra yang mendapat sokongan Baju Merah telah mendapat kemenangan selesa dengan memperolehi 260 kerusi dari 500 kerusi parlimen. Parti Abhisit hanya memperolehi 160 kerusi.

Pihak tentera terpaksa menerima hakikat kemenangan Yingluck yang juga adik kepada Thaksin yang mereka tumbangkan pada 2006 melalui rampasan kuasa. Tentera tidak dapat menerima Thaksin, apatah lagi slogan Baju Merah yang sering dilaungkan "Thaksin Thinks, We Act " bergema sepanjang kempen mereka.

Kini Yingluck akan menjadi Perdana Menteri Wanita pertama Thailand dan di Asia Tenggara. Dengan usianya yang masih 44th dan tidak berpengalaman, apakah Yingluck berjaya mengemudi Thailand yang politiknya agak kompleks itu ?

Ada sumber mengatakan jika Yingluck tidak berhati-hati serta gopoh dalam tindakannya, pihak tentera tidak akan ragu-ragu bertindak sebagaimana apa yang berlaku dalam sejarah politik Thailand. Peranan dan fungsi Angkatan Tentera negara itu agak unik dan berpengaruh.

Beban dan tugas Yingluck amat berat sedang menunggu di hadapan. Selain berusaha menyatukan kumpulan-kumpulan tertentu, mengembalikan kestabilan politik dan memulihkan keadaan ekonomi negara itu, beliau mesti berusaha memulihkan hubungannya dengan pihak tentera yang boleh mempengaruhi kedudukan kerajaan dan partinya.

Isnin, 4 Julai 2011

Malaysia akan berdepan Singapura

MALAYSIA mara ke pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia bila berjaya menyekat Taiwan dalam perlawanan semalam. Walaupun tewas 2-3 pasukan negara layak berdasarkan peraturan gol di tempat lawan setelah menang di Kuala Lumpur 2-1. Kedudukkan agregat 4-4.

Seperti kata jurulatih K.Rajagopal, walaupun kita layak ke pusingan seterusnya, beliau tidak berpuas hati dengan prestasi pasukan keseluruhannya. Kita mendahului sebanyak dua kali, tapi Taiwan bangkit menyamakan kedudukkan seterusnya mengatasi kita melalui sepakan penalti.

Namun pujian harus diberikan pada semua pemain yang telah bermain dengan bersungguh-sungguh dan mempamerkan semangat juang yang tinggi. Dalam perlawanan malam tadi ia banyak mendedahkan beberapa kelemahan pasukan negara yang perlu dibaiki dan diperkemas sebelum pertemuan dengan Singapura.

Singapura boleh dikira musuh tradisi pasukan negara sejak berzaman. Setiap kali pertemuan ia tetap sengit dan menarik kerana ia melibatkan soal "maruah negara". Malaysia seakan tidak sanggup tewas ditangan pasukan republik itu. Manakala Singapura sentiasa bercita-cita mahu menumbangkan pasukan negara.

Pertemuan di Singapura pada 23 Julai ini sudah tentu mendapat tumpuan dan perhatian ramai peminat bolasepak di Asia Tenggara. Malaysia sebagai juara dalam acara bolasepak di Sukan SEA dan Piala AFF Suzuki harus mempertahankan dan membuktikan meraka adalah "kuasa baru" di rantau ini dan seterusnya pada masa akan datang.

Pasukan negara mempunyai segala ramuan untuk mengatasi Singapura. Cuma Rajagopal perlu bijak mencatur dan menyediakan stail taktikal yang sesuai bagi menghadapi musuh tradisi itu.

Bagi para peminat pula masalah yang paling menakutkan ialah pengadil yang akan mengadili perlawanan itu nanti. Sebagaimana perlawanan dengan Taiwan semalam pengadil dari Vietnam kelihatan terlalu memberi kelebihan "advantage" pada pasukan tuan rumah.

Menurut Rajagopal, sepanjang kariernya dia belum pernah melihat seorang pengadil memberi tiga kali sepakan penalti pada sesebuah pasukan. Dua gol Taiwan adalah dari sepakan penalti. Dan sepakan penalti ketiga dapat diselamatkan oleh Sharbinee Allawee Ramli.

Kita berharap akan mendapat seorang pengadil yang cekap dan neutral dalam perlawanan itu nanti. Pengadil yang bagus akan merancakkan lagi suasana perlawanan dan kalau sebaliknya ia akan merencatkan momentum perlawanan.

Semoga perlawanan Malaysia-Singapura akan berlangsung dalam suasana "fair and square".

Ahad, 3 Julai 2011

Akhbar Siasah lambat sampai

SIASAH yang terbit setiap Jumaat biasanya akan sampai di Kota Bharu paling cepat Ahad atau Isnin. Di tempat saya, Rantau Panjang, lebih teruk kerana setiap minggu akhbar tersebut hanya tiba setiap hari Rabu.

Di Kuala Lumpur sudah pasti ia sudah berada di pasaran setiap Jumaat. Bila saya tiba di Melaka baru-baru ini ia sudah pun berada di setiap stesen minyak dan gerai akhbar pada pagi Sabtu. Inilah kali pertama setelah berada di Melaka saya dapat menatap Siasah lebih awal dari biasa. Sebelum ini setiap minggu hanya dapat membacanya pada hari Rabu.

Saya tidak pasti adakah pihak pengurusan Siasah mengetahui kelewatan akhbar tersebut berada dipasaran, terutamanya di pinggir bandar. Kalau ya atau tidak, pihak yang bertanggungjawab dalam masalah pengedaran perlu mengambil tindakan segera.

Setiap minggu pihak editorial dan para pemberita mengejar dan bergerak pantas mencari bahan untuk memenuhi "deadline", tetapi dalam masa yang sama terdapat kelewatan dan kelemahan dalam masalah pengedaran.

Akhbar bukan seperti majalah, isi dan bahannya mesti cepat dan pantas. Bila terlewat ia bukan lagi bersifat akhbar. Isu-isu baru terus muncul dan perlu diikuti dengan cepat dan tepat. Jadi bila akhbar lewat berada dipasaran segala isu dan berita dalam akhbar tersebut sudah jadi basi dan tidak menarik lagi.

Siasah mempunyai potensi menjadi akhbar tabloid yang popular dan tinggi sirkulasinya jika masalah pengedaran di pertingkatkan. Kadang-kadang dalam industri penerbitan ini pihak editorial telah menunaikan tanggungjawab dengan baik dan sempurna, namun kerana sistem pemasaran dan rangkaian pengedaran begitu lemah ia membawa kepada "tutupnya" sesuatu penerbitan itu.

Hal ini tidak mustahil berlaku pada Siasah. Sebelum ini akhbar Mingguan Tanahair, Mingguan Bumi, Watan dan sebagainya adalah seumpama Siasah menjadi tabloid politik mingguan yang bukan kecil peminatnya. Tetapi semua akhbar tabloid tersebut tidak panjang usianya dan salah satu faktor kelemahan ialah seperti yang disebut tadi.

Siasah boleh menjadikan Sinar Harian sebagai model. Bermula dengan Sinar Banar dengan cuma berharga 50 sen dan tidak begitu diberi perhatian para pembaca, tetapi kini telah bertapak dan menjadi sebuah akhbar yang berjaya. Semuanya kerana sistem pemasaran dan pengedarannya yang cekap.

Siasah jangan ikut jejak Mingguan Tanahair dan Mingguan Bumi.

Dua hari di Melaka

GENAP dua hari dua malam berada di Melaka dan kini bersiap untuk pulang. Tidak banyak program yang dapat dilakukan selain hanya sibuk seharian menemani anak saya di tempat bakal dia belajar dan memenuhi segala keperluannya termasuk tempat tinggalnya.

Sebagai bapa saya rasa puas dengan apa yang saya lihat suasana dan persekitarannya. Semoga dia dapat menumpukan perhatiannya pada kuliah dan berjaya mencapai cita-citanya menjadi seorang akauntan.

Dalam keluarga saya hanya adik bongsu saya sahaja yang belajar ke peringkat tertinggi dan dianggap berjaya dalam bidang akademik. Dia kini sedang melanjutkan pelajarannya ke peringkat Doktor Falsafah. Sebelum ini adik saya itu adalah seorang pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan.

Saya sering menasihati dua anak saya ini agar menjadikan bapa saudaranya ini sebagai contoh. Sebagai bapa tidak ada perkara yang paling bernilai selain dari ilmu untuk anak-anaknya. Harta yang banyak tidak memberi erti apa-apa tanpa ilmu.

Sayidina Ali Abi Talib pernah berpesan, kalau ada harta, kita perlu menjaganya, sedangkan ilmu ia akan menjaga dan menyelamatkan tuannya. Dan lagi harta jika dibelanja akan berkurangan, manakala ilmu semakin diguna semakin bertambah.

Kami datang ke Melaka bertiga dan kini pulang berdua saja. Jarak Melaka dengan Kelantan tidaklah jauh sangat. Tetapi maklumlah anak perempuan saya ini tidak biasa dan tidak pernah berjauhan sebelum ini. Ini merupakan pengalamannya yang pertama. Jadi adalah perasaan sedih dan sayu bila saat kami berpisah di asramanya itu.

Perasaan sayu itu tidaklah sampai menangis, cuma matanya kelihatan bertukar merah berair. Saya dan adik lelakinya biasa saja dan masih sempat bergurau dan mengusiknya. Kami ketawa berderai di depan asramanya yang diperhatikan pemandu teksi yang sabar menunggu.

Selama di Melaka saya rasa bertuah kerana dapat kenalan baru. Dia adalah pemandu teksi yang begitu peramah dan baik yang sentiasa setia menurut kemahuan saya. Bayaran yang dikenakannya pun juga berpatutan dan menasabah. Senang berkira orangnya. Namanya Henry, berbangsa Cina. Usianya lebih kurang 50an dan berbadan gempal.

Saya tertarik dengannya yang bersikap peramah dan berbudi bahasa. Dari sejak hari pertama saya tiba hinggalah hari terakhir saya berada di Melaka hanya teksinya saja yang saya naiki untuk ke sana ke mari. Kadang-kadang dia sanggup menunggu dengan sabar sehingga selesai kerja saya.

Kesian melihatnya kadang-kadang menunggu, saya menyuruhnya tinggalkan kami saja dan kalau keperluan saya akan menelefonnya. Pada suatu pagi pernah saya memintanya menjemput kami di tempat penginapan pada jam 9 pagi untuk ke tempat urusan pendaftaran anak saya, tapi dia sudah pun berada di situ menunggu seawal 8 pagi.

Dalam perjalanan menghantar saya ke Tampin untuk menaiki keretapi pulang dia menceritakan tentang dirinya yang asalnya bekerja di kilang. Oleh kerana usia semakin meningkat dia berhenti kerja dan memandu teksi. Katanya, dia mempunyai dua orang anak lelaki, semuanya bekerja. Isterinya hanya duduk di rumah. Kehidupan mereka sederhana dan tidaklah susah sangat. Kerana menurut Henry, dia serta dua anak lelakinya yang bekerja telah meringankan sedikit bebanan mereka sekeluarga. Kata Henry lagi, kalau hanya dia yang bekerja tentu tidak mencukupi menanggung keluarganya.

Bila sampai di stesen Tampin yang mengambil masa satu jam dari Melaka itu, Henry berpesan agar menghubunginya lagi sekiranya saya datang ke Melaka kelak. Henry bagi saya bukan sahaja seorang pemandu teksi, malah sebagai seorang sahabat. Saya rasa beruntung kerana dapat seorang kenalan baru.